mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Biar tersalah beri maaf

ISLAM mendidik manusia untuk mempunyai sifat saling di antara satu sama lain. Perkataan Islam yang berasal daripada perkataan asalnya salima yang bermaksud selamat, harmoni dan sejahtera. Ini bermakna, orang Islam perlu memperjuangkan keamanan dan keselamatan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk orang lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud daripada muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), lebih baik daripada yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)." (riwayat Ibnu Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Hadis di atas memberikan gambaran kepada kita betapa Islam amat menitikberatkan kemaafan dalam semua tindakan termasuklah dalam memberikan hukuman. Namun, ini tidak bermaksud Islam mengabaikan hukuman kepada pesalah sehingga membebaskannya secara membabi-buta. Sekiranya cukup saksi dan bukti, maka pesalah tersebut perlu dijatuhkan hukuman.

Akan tetapi, seseorang itu tidak boleh untuk dikatakan sebagai bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Dalam Islam, bebanan pembuktian terletak ke atas pihak yang mendakwa, bukannya yang didakwa. Selagi mana tidak wujud bukti yang kukuh untuk menentukannya bersalah, maka selagi itulah dia tidak wajar untuk menerima sebarang hukuman. Inilah keadilan dalam Islam yang menjaga hak dengan penuh keadilan dan kesaksamaan.

Demikian juga sekiranya kita perhatikan dalam hukum-hakam yang membabitkan hutang. Sekiranya peminjam tidak mampu membayar hutang pada masa yang ditetapkan, maka dia tidak boleh dikenakan sebarang denda kerana kelewatan pembayarannya. Bahkan, sekiranya pemiutang memaafkannya dan menghalalkan hutangnya, maka itulah yang lebih baik kepada kedua-dua belah pihak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (al-Baqarah: 280)

Antara pengajaran yang kita boleh diambil daripada contoh kemaafan dalam hukum-hakam ini ialah supaya kita sentiasa mengutamakan kemaafan dalam semua perkara. Apabila ada orang telah insaf setelah melakukan kesalahan terhadap kita, maka maafkanlah kesalahan tersebut walaupun berat.

Janganlah dengan sebab kesalahan yang dilakukan itu, kita terus menghukumnya tanpa memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan tidak mengulangi kesalahannya di kemudian hari. Janganlah kita bermasam muka dan tidak bertegur sapa hanya disebabkan kesalahan kecil yang mungkin tidak disengajakan.

Allah SWT bersifat ghafur iaitu Maha Pengampun. Dia akan memaafkan kesalahan dan kesilapan orang yang benar-benar bertaubat walau sebesar manapun dosa yang telah dilakukannya. Dengan maksud yang lain, Allah SWT sentiasa mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan kesalahan dan maksiat kepada-Nya.

Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT berfirman: “Wahai Anak Adam! Selagi mana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepada-Ku, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula." (riwayat Al-Tirmidzi)

Allah SWT juga cinta kepada orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberikan kemaafan (ke atas kesalahan orang), padahal ia mampu bertindak balas (di atas perbuatan tersebut), maka Allah SWT akan memaafkannya, di hari yang susah." (riwayat Thabroni)

Sebab itulah, sekiranya kita perhatikan hukum-hakam dalam Islam sebenarnya bukan untuk menghukum, sebaliknya ia diturunkan oleh Allah SWT sebagai didikan dan pencegahan supaya sesuatu jenayah atau maksiat itu dapat dielakkan dari awal akibat daripada rasa kegerunan manusia terhadap hukuman tersebut.

Oleh itu, janganlah kita terlalu cepat dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. Pastikan terdapat bukti yang kukuh terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman. Ia terpakai bukan sahaja dalam mahkamah kehidupan kita, sama ada dalam pekerjaan, rumah tangga dan hidup bermasyarakat. Ingat, lebih baik tersalah memberikan kemaafan, daripada tersalah memberikan hukuman.



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN penulis ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17/04/2013

Tags: maaf
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments