mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Terapi hati bentuk personaliti, minda positif

Jiwa perlu ditansformasikan elak diri cepat bosan, berputus asa

Membina disiplin kerja seharian secara berterusan membolehkan pekerja menyedari ia bukan suatu perkara mudah, tetap dan tidak berubah-ubah. Ia juga tidak boleh berlaku dalam sekelip mata walau sehebat manapun kekuatan diri, kesabaran, pengetahuan dan kemahiran seseorang.

Ia kerana manusia mempunyai perasaan, naluri dan emosi yang sering berubah-ubah disebabkan pelbagai faktor dalaman diri serta keadaan persekitaran. Malah, nabi juga digambarkan mempunyai perasaan bersedih, rasa lemah, bimbang dan hampir putus asa apabila berdepan cabaran.

Firman Allah SWT dalam al-Quran (Surah al-Qasas, ayat 56) yang menegaskan Nabi Muhammad SAW tidak berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikasihinya tetapi Allahlah yang Maha Berkuasa memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki.

Rasulullah bersedih

Ayat ini merujuk kepada keadaan Rasulullah SAW yang bersedih kerana bapa saudaranya Abu Talib tidak mengakhirkan hayatnya dengan syahadah. Justeru, dalam membina disiplin diri berterusan, selain usaha dan latihan gigih, hidayah Allah SWT sangat penting.

Kata-kata seperti, ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih’ adalah gambaran kemahuan hati yang memiliki kekuatan menggerakkan sumber daya lain pada diri manusia iaitu daya fizikal, akal dan jiwa. Hati juga boleh mentransformasikan perasaan negatif seperti bosan, putus asa, malas, marah, resah dan benci kepada jiwa positif. Justeru, peranan hati ternyata penting dalam merubah perasaan dan membangkitkan tenaga sebagai sumber disiplin berterusan, keseronokan dan kepuasan kerja.

Perasaan negatif dalam hati walaupun suatu lumrah dan tabii manusia tanpa mengira kerjaya, status, pangkat, gaji dan suasana persekitaran, perlulah sedaya upaya ditransformasikan kerana ia boleh membawa kepada keburukan diri dan orang lain.

Jejas kualiti kerja

Antara keburukannya ialah menghasilkan kerja tidak berkualiti, tidak sepenuh hati atau komited, rasa terpaksa, gagal menyelesaikan masalah, kemurungan, tidak hadir bekerja, menimbulkan masalah hubungan dengan pekerja lain dan majikan di tempat kerja.

Semua ini boleh menjejaskan prestasi pekerja dan organisasi akan terdedah kepada risiko kerugian serta imej buruk.

Sabda Rasulullah, daripada Abu Hurairah: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada bentuk tubuh dan rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu sambil baginda mengarahkan jari-jari ke dadanya.” (Riwayat Muslim)

Justeru, dalam membina disiplin kerja berterusan mengikut matlamat, piawaian dan prosedur yang ditetapkan, pekerja perlu mengenali situasi hati supaya dapat terus disuburkan dan ditransformasikan dalam bentuk kerja yang berkualiti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Shams, ayat 8-10)

Transformasi hati

Beberapa usaha terapi dan transformasi hati perlulah dilakukan pekerja meliputi memandu dan mengemudi hati ke arah yang baik dan positif dengan mensyukuri nikmat seperti nikmat hasil kerja yang telah dikecapi.

Sesekali renunglah dalam diri dan imbau saat ketika memulakan pekerjaan dulu, bagaimana keadaan susah dan senang yang ditempuhi, bandingkan dengan keadaan serta pencapaian hari ini supaya terbit perasaan syukur, reda, bertuah dalam hati.

Kedua, meyakinkan hati pada setiap kepayahan itu ada hikmahnya jika kita bersabar. Rasulullah mententeramkan Saidina Abu Bakar daripada kebimbangan ketika bersembunyi di Gua Thur dengan kata baginda: “Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita.”

Sebagai pekerja dan manusia, kita juga sering mempunyai perasaan tidak puas hati, merasa ketidakcukupan pada apa yang dimiliki dan berkeluh kesah pada apa yang tidak dikecapi.

Ketiga, kuatkan hati untuk merebut kebaikan sementara diberi peluang kesihatan, kemampuan dan waktu kerana semua pekerjaan yang halal lagi baik cara melaksanakannya akan menjadi bekalan di hari akhirat kelak.

Keempat, berusaha memelihara nikmat yang ada supaya tidak hilang daripada genggaman dan kelima, memperhebatkan munajat supaya hati sentiasa segar serta kuat melalui solat, membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan berdoa.

Mudah-mudahan dengan kelima-lima terapi ini akan melindungi dan mentransformasikan hati daripada perasaan negatif yang menghilangkan keseronokan kerja kepada perasaan positif yang menghidupkannya sehingga mampu membentuk disiplin kerja berterusan.

Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Berita Harian Online Agama 27/04/2013
Tags: hati, jiwa, kualiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments