mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mengundi proses keadilan pilih pemimpin

Melihat dari perspektif Islam, Nabi SAW menekankan penting wujud ketua dalam sesuatu kelompok manusia.

Diriwayatkan oleh Abu Said, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiga (orang Islam) keluar dalam satu perjalanan maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka menjadi ketua.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila dalam kelompok kecil pun memerlukan seorang pemimpin, apatah lagi dalam masyarakat bahkan negara yang mempunyai rakyat ramai.

Proses melantik ketua masyarakat sudah tentu datang daripada ahli masyarakat sendiri. Pelantikan ketua dibuat melalui perakuan taat setia, pungutan suara, musyawarah atau mengundi.

Pelantikan pemimpin Islam khasnya Khulafa al-Rasyidin, melalui baiah dan persetujuan ahli masyarakat. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi pemimpin melalui perakuan pembesar Quraisy dan pembesar Ansar yang mewakili kepentingan ahli masyarakat serta puak masing-masing.

Ini diikuti dengan perakuan taat setia oleh umat Islam ketika itu kepada Saidina Abu Bakar sebagai khalifah di masjid.

Proses mengundi

Proses mengundi memilih pemimpin sebenarnya satu bentuk tolong-menolong membabitkan ahli masyarakat. Tanpa ada undian mereka sudah tentu wujud ketidakadilan dalam pemilihan pemimpin yang dipertanggungjawab menjaga amanah dan kepentingan masyarakat.

Islam membenarkan tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Dalam konteks tolong-menolong memilih wakil masyarakat dan pemimpin, umat Islam perlu melihat matlamat kebajikan serta kebaikan yang perlu ada pada individu yang ingin dipilih. Antara ciri-ciri kebaikan pemimpin ialah memenuhi keperluan dan definisi kebaikan mengikut perspektif Islam.

Islam menggariskan, sesuatu yang baik dilihat oleh majoriti masyarakat, maka perkara itu adalah baik. Ini kerana majoriti masyarakat secara sunnah sudah tentu inginkan kebaikan dan kebajikan bukan sebaliknya.

Jauhi maksiat

Pemimpin perlu bertanggungjawab, beramanah dalam memimpin masyarakat melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi kemaksiatan kepada-Nya. Ketaatan kepada Allah turut membawa maksud, menjaga urusan serta pentadbiran masyarakat dan negara dengan baik.

Sentiasa berusaha mengislahkan atau menerapkan penambahbaikan kepada ahli masyarakat dalam semua aspek kehidupan, menjaga hak kemanusiaan semua golongan masyarakat tanpa mengira pertalian keluarga, status, bangsa ataupun agama. Memelihara alam persekitaran sebagai tempat ahli masyarakat tinggal dan hidup dengan suasana yang sihat.

Selain dirinya, pemimpin perlu membawa masyarakat menjauhi penderhakaan kepada Allah SWT atau maksiat. Ini bukan terhenti kepada keingkaran mendirikan solat, zakat, puasa wajib bahkan ia meliputi aspek kepimpinan yang diterima seperti ketelusan menguruskan harta awam.

Benar dalam menguruskan pentadbiran kawasan, negeri dan negara, menjauhi rasuah, menjauhi ketidakadilan menguruskan urusan masyarakat serta menjauhi perkara membawa kepada permusuhan serta pertikaian dalam masyarakat.

Sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, sudah tentu kita perlu tolong-menolong untuk keluar mengundi memilih wakil masyarakat dan pemimpin yang membawa kebaikan serta menjauhi anasir permusuhan.

Mohamad A'sim Ismail pegawai penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Berita Harian Online Agama 27/04/2013
Tags: maksiat, pemimpin, undi
Subscribe

  • Didik masyarakat benci arak

    TIDAK syak lagi meminum arak atau ketagihannya adalah haram di sisi agama Islam. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang memudaratkan…

  • Waspada terhadap sumber yang haram

    DALAM era globalisasi melalui pelbagai aspek, khususnya ekonomi kian merudum memberikan satu cabaran kepada kita untuk berusaha menjana sumber…

  • Orang malas 
haram dapat zakat?

    Baru-baru ini ada seorang ustaz menyatakan bahawa orang miskin yang malas tidak layak dan haram diberikan zakat. Ini kerana, ia akan menjadikan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments