mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memakmurkan Masjid Al-Aqsa

PALESTIN... akan terbayang krisis kemanusiaan, kekejaman Israel serta penderitaan umat Islam yang bagaikan tiada noktahnya di sana. Kisah keganasan demi keganasan ini sehingga banyak bumi Palestin ini kian dipinggirkan.

Bumi Palestin sememangnya sarat dengan kisah sejarah serta kesan peninggalan para perjuangan para Anbia mahupun tokoh-tokoh terbilang di dalam sejarah Islam. Sebagai negeri yang menjadi pusat dakwah dah penyebaran Islam para Nabi dan Rasul terdahulu, bumi suci ini juga menjadi tempat persemadian ramai tokoh-tokoh Islam, para Nabi dan Rasul. Pun begitu, paling istimewa adalah binaan Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga terpenting bagi umat Islam seluruh dunia.

Maka tidak hairanlah mutakhir ini, semakin ramai rakyat Malaysia mula mengatur langkah berkunjung ke Palestin waima dengan pelbagai niat dan misi selain mengambil kesempatan meraih keberkatan Ilahi dengan memakmurkan Masjid Al-Aqsa. Tidak kurang juga yang kini telah memasukkan destinasi Masjid Al-Aqsa dalam kunjungan ziarah umrah masing-masing.

Pada musim cuti persekolahan Mac lalu, seramai kira-kira 32 jemaah dari Malaysia telah berpeluang mengunjungi bumi Palestin, melalui program 'Kembara Universiti Kehidupan - Umrah dan Ziarah Palestin' anjuran ALCC Al Amin Travel Sdn. Bhd., di bawah bimbingan Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin.

Palestin merupakan persinggahan pertama rombongan sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah dan seterusnya ke Mekah bagi melaksanakan ibadah umrah.

Peluang menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa sememangnya merupakan sebuah pengalaman yang sangat menakjubkan. Masjid Al-Aqsa terletak di dalam kawasan Kota Lama Baitulmaqdis atau kini lebih dikenali dengan nama Kota Lama Jerusalem.

Kota Lama Jerusalem ini merupakan sebuah kawasan dikelilingi tembok berusia kurunan tahun. Bagi menuju ke Masjid al-Aqsa, majoriti daripada para jemaah memilih untuk berjalan kaki melepasi pintu-pintu masuk utama, melalui deretan kedai dan kediaman penduduk Islam di Jerusalem.

Keunikan tembok serta binaan-binaan lama ini membuatkan setiap langkah perjalanan yang diambil menuju ke masjid terasa seolah-olah bagaikan kembali ke zaman silam kegemilangan kerajaan Islam.

Masjid Al-Aqsa dari segi bahasa membawa maksud 'masjid terjauh', memiliki keluasan 144,000 meter persegi, di mana keseluruhan kawasan masjid ini juga dikenali sebagai Al-Haram asy-Syarif yang bermaksud 'tanah suci yang mulia'. Terdapat dua bangunan masjid utama iaitu bangunan utama Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of Rock), yang memiliki kubah keemasan terletak di tengah-tengah kawasan tanah suci tersebut.

Faktor keluasan serta jarak di antara kedua-dua masjid utama ini sering menjadi punca kekeliruan. Ramai yang menyangka bahawa hanya bangunan Kubah Batu (Dome of Rock) itulah Masjid Al-Aqsa, walhal pada hakikatnya keseluruhan kawasan yang meliputi kedua-dua bangunan masjid utama itulah Masjid Al-Aqsa atau tanah suci Al-Haram asy-Syarif.

Oleh kerana itu, sebaik memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa, umat Islam bebas untuk beriktikaf mahupun menunaikan solat, sama ada di bahagian laman atau perkarangan masjid. Meskipun tidak masuk ke bangunan masjid utama, ia sudah dikira berada di tanah suci atau di Masjid Al-Aqsa.

Setiap langkah terasa begitu istimewa kerana setiap sudut di kawasan ini menyimpan begitu banyak kisah para Nabi dan Rasul yang pernah melakar sejarah di tanah suci ini. Menerokai halaman, kawasan dan monumen-monumen tinggalan sejarah di masjid ini membawa pengunjung menghayati kembali kegemilangan kerajaan Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, kisah Nabi Zakaria AS serta begitu ramai lagi para anbia serta tokoh-tokoh terbilang di dalam sejarah Islam.

Para pengunjung juga berpeluang melihat sendiri batu tempat Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit ketika peristiwa Israk dan Mikraj yang terletak di dalam Masjid Kubah Batu.

Selain dihiasi pepohon rendang, kawasan halaman masjid Al-Aqsa juga dipenuhi dengan binaan-binaan serta tinggalan-tinggalan sejarah yang memaparkan keindahan seni bina yang menakjubkan. Sebagai usaha untuk mempertahankan keutuhan masjid ini, pemerintah Islam terdahulu telah membina, menjaga serta membaikpulih bangunan masjid serta monumen-monumen di sekitarnya.

Maka tidak hairanlah, pengunjung masih dapat melihat keunikan tinggalan binaan dari zaman Kerajaan Bani Ummaiyah, Abbassiyah, Uthmaniyah serta beberapa usaha pemerintah Islam yang pernah menerajui pemerintahan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa suatu ketika dahulu.

Solat fardu berjemaah biasanya diadakan di masjid utama Al-Aqsa, manakala Kubah Batu pula dibuka untuk jemaah wanita menunaikan solat Jumaat. Kesempatan berjemaah solat fardu di sana beriringan dengan warga tempatan dan sebilangan kecil jemaah Islam dari Singapura dan Indonesia turut sama memakmurkan Masjid Al-Aqsa.

Bagi penduduk tempatan, selain daripada kebiasaan beriktikaf di dalam bangunan masjid, kelihatan juga di kalangan penduduk Islam di sekitar Jerusalem gemar melakukan aktiviti-aktiviti berkumpulan di bawah pohon-pohon rendang di sekitar kawasan masjid, mahupun mengajar al-Quran kepada anak-anak kecil di sekitar luar bangunan masjid.

Kegembiraan

Kedatangan jemaah Malaysia juga sering disapa ramah oleh penduduk tempatan. Tidak kurang juga yang menyatakan kegembiraan serta penghargaan mereka di atas usaha jemaah Malaysia yang sudi datang memakmurkan Masjid Al-Aqsa ini.

Apa yang lebih mengharukan para jemaah ialah apabila Imam Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusuf Abu Sneina turut meluangkan masa mengalu-alukan kedatangan jemaah Malaysia serta berkongsi serba sedikit kisah sejarah Masjid Al-Aqsa.

Terharu dengan sambutan penduduk tempatan, kami diberitahu jumlah umat Islam yang datang ke Palestin masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pelancong bukan beragama Islam.

Lantaran itu, kehadiran saudara seIslam ke bumi suci ini amat dihargai. Signifikannya kunjungan umat Islam ke masjid ini, membuktikan sokongan umat Islam dari seluruh dunia demi mempertahankan masjid ini, khasnya serta sokongan terhadap umat Islam, amnya.

Biarpun dilimpahi rasa syukur yang tidak terhingga atas keizinan Yang Maha Esa atas peluang tidak terhingga itu, namun jauh di sudut hati ada sedikit kesayuan acap kali memikirkan perjuangan serta pengorbanan umat Islam demi mempertahankan Masjid Al-Aqsa serta kedudukan Islam di bumi Palestin.

Ini kerana umat Islam tempatan juga sering menghadapi kekangan untuk mengimarahkan Masjid Al-Aqsa. Meskipun berada di bawah pentadbiran umat Islam, ada masa dan ketikanya pihak Israel mengenakan sekatan terhadap umat Islam untuk memasuki masjid ini. Ada ketikanya umat Islam lelaki di bawah umur 40 tahun tidak dibenarkan masuk dengan alasan lelaki-lelaki yang masih muda berupaya untuk melakukan keganasan dan pemberontakan di dalam masjid.

Selain dari berpeluang memakmurkan Masjid Al-Aqsa, para jemaah juga telah mengambil kesempatan sepenuhnya untuk bersedekah dan menghulurkan sumbangan seikhlas hati kepada penduduk tempatan di beberapa daerah berbeza di Palestin serta berwakaf di Tabung Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diletakkan di dalam masjid utama Al-Aqsa.

Pada kesempatan itu juga, kami turut menghulurkan sumbangan seikhlas hati kepada masjid-masjid yang menempatkan makam-makam para Rasul di beberapa daerah di Palestin. Sumbangan juga dihulurkan kepada penjaga-penjaga masjid kerana majoriti mereka ini telah melakukan tanggungjawab secara sukarela.

Walaupun, usaha serta nilai sumbangan yang dihulurkan itu masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan nilai perjuangan umat Islam Palestin, namun sumbangan ini diharapkan dapat mengeratkan silaturahim sesama Islam. Kesempatan sama juga diambil untuk bertukar-tukar cerita mengenai pengalaman serta kehidupan seharian mereka di sana. Sungguhpun rata-rata masyarakat Palestin menerima sumbangan jemaah Malaysia dengan tangan yang terbuka, ada juga yang menolak secara baik sambil berkata 'cukuplah dengan doa untuk kami'.

Inilah kunjungan paling berharga dan sebuah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Melihat sendiri keadaan sebenar kehidupan seharian umat Islam di Palestin sememangnya merupakan pengajaran yang mahal buat jemaah dari Malaysia.

Semoga Masjid Al-Aqsa terus dilindungi dan dibukakan lebih banyak ruang dan peluang serta keberkatan-Nya bagi umat Islam untuk memakmurkan Masjid Al-Aqsa seterusnya mempertahankan kedudukan Islam di bumi Palestin.



SITI MARDIANA ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/04/2013
Tags: aqsa, palestin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments