mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rasulullah ajar Ali dan Fatimah dua kalimah

Ali melaporkan ketika bernikah dengan Fatimah, Rasulullah SAW mengirimkan bantal baldu, dua biji pinggan dan dua biji gelas kepadanya. Suatu hari selepas mereka berumah tangga, Ali berkata kepada Fatimah: “Aku telah menimba air hingga dadaku sakit. Allah ada menganugerahkan kepada Rasulullah SAW beberapa orang pembantu. Oleh itu, pergilah ke sana dan mintalah seorang pembantu untuk kita.”

Fatimah berkata: “Demi Allah, aku juga telah menumbuk gandum sehingga kedua-dua tanganku melepuh. Lalu, Fatimah menemui Rasulullah. Melihat kedatangan puterinya, baginda bertanya: Ada apa puteriku? Fatimah menjawab: Aku datang untuk memberikan penghormatan kepada ayah.”

Fatimah berasa malu untuk meminta sesuatu kepada Nabi sehingga dia pun pulang dengan tangan kosong. Akhirnya, mereka berdua (Ali dan Fatimah) menemui Rasulullah. Ali menceritakan keadaan mereka berdua kepada Baginda SAW. Mendengar perkara itu, Rasulullah bersabda: “Demi Allah, aku tidak boleh memberikan apa-apa pun kepada kamu. Aku juga meninggalkan ahli suffah yang kelaparan. Aku tidak mempunyai apa-apa yang boleh diberikan kepada mereka. Tetapi, aku menjual sesuatu (pembantu) dan hasilnya kuberikan kepada mereka.”


Ali dan Fatimah pulang ke rumah mereka. Kemudian, Nabi SAW mendatangi mereka dan mendapati mereka sedang berbaring berselimutkan kain baldu yang sangat kecil. Apabila mereka menariknya untuk menutup muka, kedua-dua kaki mereka terbuka. Sebaliknya, apabila mereka menariknya bagi menutup kedua-dua kaki, muka mereka pula terbuka.

Rasulullah SAW bersabda: “Tetaplah di tempat kamu! Mahukah aku beritahu kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu minta kepadaku? Ali menjawab: Sudah tentu. Nabi SAW bersabda: Terdapat dua kalimat yang telah diajarkan oleh Malaikat Jibril kepadaku, iaitu kamu membaca kalimat tasbih, tahmid dan takbir masing-masing sepuluh kali selepas selesai melaksanakan solat. Sebelum tidur, bacalah kalimat tersebut setiapnya tiga puluh tiga kali.”

Pada waktu lain, Ali berkata: “Demi Allah, aku tidak pernah meninggalkan semua itu sejak diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ibn al-Kiwa’ bertanya kepada Ali: Meskipun pada malam Peperangan Siffin? Ali menjawab: Semoga Allah membinasakan kamu, wahai perompak! Ya, meskipun pada malam Peperangan Siffin.” (Direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga - Jilid 2 Berita Harian Online Agama 13/05/2013
Tags: kalimah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments