mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Atlet perlu patuhi tuntutan agama

Lahirkan pemain bertanggungjawab, laksana amanah

Rasuah sememangnya satu penyakit sosial yang merebak dalam pelbagai lapangan kehidupan manusia. Amalan rasuah bukan dalam bidang politik dan perkhidmatan saja, malah dunia sukan pun tidak terkecuali menerima tempias yang sama.

Contohnya, sukan bola sepak yang menjadi sukan nombor satu negara pernah digegarkan dengan amalan rasuah sejak kebelakangan ini. Sesungguhnya sangat malang apabila dunia sukan dicemari perbuatan terkutuk ini dan tindakan membanterasnya wajar dilaksanakan.

Seseorang pemain bola sepak yang unggul itu bukan hanya memerlukan bakat dan keupayaan skil yang hebat, tetapi juga mesti memiliki keperibadian jiwa yang utuh. Keutuhan jati diri dan keperibadian seseorang pemain wajar dilihat daripada beberapa sudut.

Antaranya, kuat pegangan agama kerana seandainya prinsip agama diletakkan di puncak kehidupan maka sukar dipengaruhi gejala negatif bertentangan dengan aturan agama.

Perbuatan buruk seperti tidak berdisiplin di padang ketika bermain, bertindak agresif keterlaluan di luar batas normal dan mengamalkan rasuah akan mampu dikikis dalam kalangan pemain apabila mereka sudah mempunyai ilmu agama dan tahap iman yang mantap kepada Allah.

Kita tidak mengesampingkan dunia sukan dengan kehendak agama kerana Islam itu mencakupi dalam segenap sisi kehidupan manusia.

Seorang pemain yang kuat imannya dan sentiasa mengamalkan ajaran agama pasti bimbang jika tidak berdaya menunaikan amanah dipertanggungjawabkan jurulatih serta pengurusan pasukan. Dia tidak akan membiarkan diri tidak menunaikan amanah ketika bermain.


Dia tentu sentiasa ingat pesanan Rasulullah SAW mengenai orang munafik dan mengelak sifat munafik. Sabda Rasulullah SAW: “Tanda-tanda orang munafik itu tiga; jika ia berkata maka ia berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika diberi amanah berkhianat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terikat aku janji

Keterangan Rasulullah SAW seharusnya menjadi garis panduan kepada setiap pemain. Dunia sukan bola sepak masa kini yang bertaraf profesional bermakna sama seperti pekerja di sektor lain yang terikat dengan aku janji, amanah atau tanggungjawab.

Sebarang kecuaian atau penyelewengan bermakna dia tidak amanah dan terjerumus ke kancah sifat golongan munafik.

Pemain yang beriman dan kukuh pegangan agamanya pasti sentiasa takut dengan pengawasan rapi oleh Allah terhadap apa saja perbuatan dilakukan. Tiada suatu sudut pun terlepas daripada pemerhatian Allah.

Sabda Rasulullah SAW: “Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada kerana Allah selalu memperhatikan perilaku hamba-Nya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Peringatan Rasulullah SAW ini wajar dijadikan rujukan dalam menjalani kehidupan, termasuklah dunia sukan. Takwa bukan setakat di atas sejadah atau dalam masjid semata-mata. Takwa mesti menjadi benteng diri kerana tanpa takwa, godaan syaitan dan gelombang nafsu mudah mempengaruhi jiwa.

Pemikir Islam tersohor, Sayid Qutub menegaskan dalam Fi Zilal Quran, “Tidak ada jasad diresapi rasuah kecuali ia akan rosak, tidak ada satu aktiviti yang diwarnai dengan rasuah, kecuali ia akan kacau-bilau, tidak ada sistem atau peraturan dihiasi dengannya kecuali dia akan terkoyak. Wang yang haram terasa lazat dan mudah didapati, sementara yang halal sukarnya bukan kepalang. Seburuk-buruk masyarakat ialah yang terjerumus dengan harta haram.”

Ingat pesanan Rasulullah SAW

Sebagai pemain, seharusnya berusaha memperagakan bakat dan keupayaan diri dan ingat pesanan Rasulullah SAW dalam mencari sumber ekonomi hidup.

Sabda Rasulullah SAW, “Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah dan perbaiki dalam mencari dunia (harta). Sesungguhnya individu tidak akan mati sebelum rezekinya dipenuhi, meskipun rezeki itu terlambat datangnya. Takutlah kepada Allah dan perbaiki mekanisme mencari rezeki. Ambil rezeki yang halal (menurut syariat) dan tinggalkan yang haram.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kedua, bersyukur bakat kurniaan Allah dengan bermain penuh komitmen demi mencari sumber pendapatan yang halal. Ini teras yang semesti diikat kukuh dalam jiwa setiap pemain. Terlucut sifat ini bermakna akan mudahlah gelora nafsu tamakkan keduniaan mewarnai hati.

Justeru, sebagai pemain yang jiwa sentiasa bersyukur dengan anugerah bakat dikurniakan Allah dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa mencemarkannya dengan perbuatan bertentangan tuntutan agama.

Pemain yang bersyukur pastinya insaf bukan semua orang berkebolehan bermain dengan baik.

Adalah wajar seandainya pihak berkenaan seperti persatuan sukan mengadakan sesi ceramah agama dan moral yang memfokuskan kepada keburukan amalan rasuah. Ini boleh dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) secara berkala.

Dengan adanya siri penerangan atau ceramah sebegini, tentu pemain akan menyedari dan menerapkan amalan baik dalam permainan mereka.


Berita Harian Online Agama 16/05/2013
Tags: rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments