mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kain tenun Melayu

SEHARI selembar benang, lama-lama jadi sehelai kain" adalah peribahasa Melayu yang menggunakan kerja menenun kain sebagai pembayang kepada maksud yang lebih mendalam iaitu usaha yang berterusan walaupun sedikit, lama-kelamaan akan berhasil.

Proses menenun merupakan salah satu daripada kepandaian masyarakat Melayu tempatan di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di kawasan Pantai Timur. Berlainan dengan songket dan limar yang terkenal di Kelantan dan Terengganu, kain tenun lebih popular di Pahang.

Kain tenun mempunyai corak jalur, melintang atau petak. Kain tenun dihasilkan menggunakan sejenis alat yang dipanggil kek Siam. Kain tenun dibuat menggunakan benang kapas atau sutera yang telah diwarnakan dalam pelbagai warna menarik.


KAIN tenun punca potong yang amat sederhana dari segi penampilan motif hiasan.

Industri pembuatan kain tenun telah mengalami jatuh bangun dari zaman sebelum merdeka untuk terus kekal sebagai warisan tekstil Melayu di Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke hari ini.

Namun peranan istana Melayu di Pantai Timur dalam memastikan kelangsungan warisan tekstil ini telah menyelamatkan kepandaian tempatan ini daripada pupus selepas Perang Dunia Kedua yang telah menyebabkan kekurangan bekalan benang dan bahan-bahan menenun yang lain serta harganya yang tinggi.

Salah seorang penaung industri tekstil Melayu yang telah banyak menyelamatkan industri kain tenun pada awal 1900-an ialah Tengku Ampuan Mariam Sultan Abdul Almuazzam Shah yang telah menggajikan penenun-penenun mahir di sekitar kawasan istana bagi menghasilkan kain-kain tenun untuk kegunaan istana. Usaha baginda ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan suri rumah dan juga menjamin kelangsungan kemahiran yang mereka miliki.

Corak tradisional kain tenun dikenali sebagai corak Muar, yang mempunyai corak petak yang besar dan menggunakan pilihan warna yang terang atau warna gelap. Satu lagi corak kain tenun yang masih dihasilkan ialah corak Bugis.

Corak ini diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh orang Bugis. Ia mempunyai pelbagai ragam corak dan petak yang dihasilkan juga adalah lebih kecil berbanding corak Muar.

Benang emas juga digunakan bagi sesetengah ragam hias kain tenun. Motif alam yang diadaptasikan di atas kain tenun ialah seperti corak batang pinang, corak biji peria, corak ayam sambas dan corak seluang mudik. Terdapat juga corak yang dinamakan sempena dengan nama seseorang tokoh seperti Tun Razak dan corak Tun Muda.

Di Kelantan dan Terengganu, kain tenun juga dikenali dengan nama kain punca potong yang banyak digunakan oleh golongan lelaki sebagai kain samping. Kain punca potong mempunyai warna yang terang dan corak di kedua-dua bahagian hujungnya mempunyai corak yang sama dan berlainan dengan corak utama di bahagian tengah.

Pada hari ini, kain tenun yang dikenali di Malaysia ialah kain tenun Diraja Pahang. Kain tenun ini mempunyai motif tersendiri yang dikenali sebagai tenun bercolek di mana benang emas digunakan dalam tenunan kain. Satu lagi ciri istimewa tenun Diraja Pahang ialah motif sepit udang. Kain tenun dikenali sebagai kain yang paling sederhana berbanding songket dan limar namun mempunyai warna-warna yang segar dan menarik.

Kunjungi pameran tekstil Melayu, Tradisi dan Kesinambungan bertempat Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam dan pelajari jenis, teknik dan hiasan tekstil Melayu Semenanjung Malaysia yang akan berakhir pada awal Julai.



ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA, Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/05/2013
Tags: kain tenun
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments