mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Makan berlebihan punca penyakit, jejas kewangan

Budaya makan rakyat Malaysia banyak mendatangkan mudarat dan pembaziran. Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara Asia yang paling ramai rakyatnya mengalami obesiti disebabkan makan melebihi keperluan badan dan kurang bersenam.

Realitinya, rakyat Malaysia bukan saja berdepan masalah obesiti, bahkan secara langsung mudah dijangkiti pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti barah, masalah jantung, diabetes yang mempunyai hubung kait dengan cara pemakanan serta aktiviti harian.

Tuntutan bersederhana

Amalan makan berlebihan mendatangkan banyak keburukan dan sebab itu ia ditegah dalam Islam. Islam menganjurkan amalan bersederhana dan mengelak melakukan perbuatan berlebihan yang banyak mendatangkan keburukan.

Firman Allah SWT: “Makanlah dan minumlah serta janganlah berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Nasib rakyat negara ini lebih baik berbanding rakyat di negara lain dalam soal mendapat bekalan makanan. Rakyat Malaysia tidak berdepan masalah kelaparan biarpun dikategorikan hidup miskin.

Mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seorang daripada lima (kira-kira 800 juta) penduduk dunia berada dalam kelaparan. Pada waktu sama, lebih dua bilion penduduk mengalami kurang zat pemakanan.
Islam tidak melarang menikmati makanan dan minuman yang diingini selagi ia tidak melampaui batasan. Malah, sesiapa yang menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman dengan sentiasa mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT, dialah orang yang beruntung.

Firman Allah SWT: “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Makan ikut nafsu tak beri kepuasan

Sesiapa mengamalkan makan mengikut nafsu, dia tidak pernah memberi kepuasan hakiki kerana lebih banyak dimakan, perasaan puas semakin tidak dirasai. Sebab itu, nafsu makan jika semakin dituruti, lebih banyak keburukan yang timbul.

Sebenarnya makan berlebihan bukan saja mendatangkan masalah kepada kesihatan, tetapi juga kewangan. Disebabkan terlalu mengikut nafsu makan, seseorang terpaksa berbelanja lebih untuk makanan dan harga barang makanan juga semakin meningkat.

Satu lagi kesan kewangan disebabkan makan berlebihan ialah kos rawatan. Rakyat Malaysia membelanjakan banyak wang untuk kurus dan merawat penyakit berkaitan tidak menjaga cara makan.

Kita perlu bersyukur dengan nikmat makanan dengan mengelak pembaziran serta makan secara berlebihan hingga memudaratkan.

Menurut kajian pada 2006, lebihan makanan membentuk hampir separuh buangan pepejal di negara ini. Daripada hampir 20,000 tan buangan pepejal yang dihasilkan setiap hari, 45 peratus terdiri daripada makanan dibuang.

Bayangkan berapa banyak wang dibazirkan ke dalam tong sampah melalui makanan? Bagi orang berkemampuan, makanan tidak dianggap satu nikmat besar. Nikmat makanan hanya akan dihargai apabila berlaku kekurangan makanan.

Makanan adalah nikmat yang besar. Melalui makanan juga Allah SWT menguji manusia berdepan dengan kesukaran.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan kepupusan buah-buahan, dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Bantu Muslim dalam kelaparan

Oleh itu, yang berkemampuan hendaklah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan. Masih ada jiran kita yang mengharapkan bantuan makanan untuk hidup lebih sihat. Wajib seorang Muslim membantu Muslim yang lain dalam keadaan kelaparan sekadar termampu.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu memasak satu kuali, maka banyakkan airnya (kuah). Kemudian lihatlah kepada sesetengah jiran tetanggamu untuk diberikan kepada mereka.” (Riwayat Muslim)


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 26/05/2013
Tags: makanan, sederhana
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments