mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ghairah jadi jaguh, lupa adat menegur pemerintah

Fahami cara bermuamalah bagi membetulkan kesilapan

Islam menyaran umatnya menjauhi sikap khuruj iaitu melakukan pemberontakan, penderhakaan dan lain-lain cara penentangan dengan cara yang salah. Ini bermakna, sekiranya wujud kesilapan oleh pemerintah, kita tidak boleh sesuka hati menentang. Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan agama.

Amalan itu adalah ajaran Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ramai yang lupa apabila keghairahan dan ketaksuban menguasai diri hingga sanggup menderhaka kepada raja (pemerintah) yang sah dan dipilih oleh rakyat. Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup menghasut masyarakat membenci raja. Perbuatan ini ternyata bertentangan dengan syariat Islam.

Cara bermuamalah dengan pemerintah

Sudah sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri tertentu.

Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibaiah oleh mereka. Ini adalah kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan baiah kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras.

Berhubung perkara ini Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barang siapa meninggal tanpa ikatan baiat, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah.” (Riwayat Muslim).

Harus diingatkan bahawa baiah kepada penguasa bukan seperti kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati – jika ia suka dipakainya dan apabila tidak suka ditanggalkan. Tetapi kewajipan baiah tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada baiah ini.

Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyarankan umatnya menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara penentangan yang salah). Adanya kesalahan pada diri pemimpin, bukan pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka.

Kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama. Perbuatan menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.

Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah SAW sebagai mana sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu.” (Riwayat Ahmad).

Sesungguhnya Allah SWT meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara dibenarkan oleh syariat. Berhubung perkara ini, Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang Mukmin tidak sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya.

Pertama, ikhlas beramal kepada Allah SWT; kedua, dalam menasihati pemerintah; dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah. Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi Mukmin agar tidak mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan terutama semata-mata hanya kerana Allah SWT.

Perkara ini penting untuk dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah hendaklah diasaskan atas rasa kasih sayang, ikhlas demi memperoleh keredaan-Nya semata-mata, bukan kerana kepentingan lain. Di atas keikhlasan itulah menyebabkan Mukmin seharusnya tidak sanggup keluar daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut.

Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan. Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri.” (Riwayat Tarmizi).

Daripada hadis tersebut dapatlah difahami bahawa sesiapa yang ingin menasihati sultan atau pemerintah, tidak harus secara terbuka atau di hadapan umum secara terang-terangan atau di atas pentas di tengah-tengah perhimpunan umum. Demikianlah ajaran yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.

Taat perkara bukan maksiat

Prinsip ketiga ialah kita harus mendengar dan taat kepada penguasa pada perkara yang bukan maksiat kepada Allah SWT. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Urusan jemaah tidak berjalan lancar melainkan dengan adanya imamah (kepemimpinan). Tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepemimpinan kecuali dengan ketaatan. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam hadis bermaksud: “Barang siapa taat kepadaku, sungguhnya ia taat kepada Allah. Barang siapa bermaksiat (melakukan kesalahan di sisi agama) kepadaku, sungguhnya ia telah bermaksiat kepada Allah. Barang siapa taat kepada Amir (penguasa), sungguhnya ia taat kepadaku. Dan barang siapa yang bermaksiat kepada Amir, sungguhnya ia bermaksiat kepadaku.” (Riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya.” (Riwayat Muslim).

Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka.

Tetapi apabila ia (Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima), tidak juga taat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana, tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara itu tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi lagi. Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah.

Prinsip yang keempat ialah kita tidak harus sewenang-wenangnya mengkafirkan penguasa Muslim. Takfir adalah hak Allah, tidak boleh dilontarkan begitu sahaja atau sewenang-wenangnya kepada orang tertentu kecuali kepada orang yang berhak dikafirkan dengan bersandarkan syariat.

Oleh yang demikian, adalah menjadi hak kita untuk mentaati umarak (pemerintah) meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Namun, kita tidak harus menghukumnya dengan cara penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam. Adalah penting bagi kita untuk memahami cara bermuamalah dengan umarak bagi meluruskan sesuatu perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.

Sesungguhnya Allah SWT melarang umat Islam melakukan sebarang bentuk keganasan. Ini ditegaskan secara jelas di dalam al-Quran bahawa unsur keganasan dan kekerasan boleh mendatangkan keburukan bukan saja kepada manusia, malah seluruh makhluk di muka bumi ini.

Perlakuan berciri kekerasan ditolak masyarakat

Perlakuan yang bercirikan kekerasan di abad ini ditolak oleh keseluruhan masyarakat dunia. Masyarakat dunia hanya akan menerima sebuah sistem yang berdasarkan atas prinsip kedamaian dan antikekerasan.

Tidak ada satu kebaikan pun yang diperoleh hasil daripada tindakan kekerasan. Apa sahaja yang muncul hasil daripada tindakan kekerasan akan mengembangkan sikap egoisme yang akhirnya menghancurkan manusia itu sendiri. Sebaliknya sikap lembut dan antikekerasan akan menjernihkan hati nurani siapa sahaja.

Antara ujian besar adalah memperjuangkan kehendak tanpa kekerasan, tetapi hendaklah dengan rasa simpati dan hati yang tenang serta dengan mengemukakan bantahan yang logik. Malah, apabila ada perbezaan pendapat yang boleh mencetuskan pergaduhan, hati harus tetap dingin dan tenang. Bukankah al-Quran secara tegas mengajar agar umat Islam berdakwah dengan hikmah, memberi peringatan dengan baik, berdialog dan bertukar fikiran dengan baik?

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat, ayat 34 yang bermaksud: “Dan tidakkan sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dengan perbuatan jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada kamu) dengan cara yang baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”


Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Berita Harian Online Agama 29/05/2013
Tags: pemerintah, pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments