mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perginya di rumah Allah

TIAP yang bernyawa pasti merasai mati. Tiap yang hidup pasti akan binasa, tiap permulaan pasti ada kesudahannya. Mati adalah lumrah kehidupan, jauh mana pun berlari, kita pasti menemui maut suatu hari nanti.

Soalnya, bagaimana kesudahan kita nanti? Adakah kita menemui ajal dengan kemalangan kereta? Sakit tua? Atau secara tiba-tiba? Begitu juga persoalan lain yang timbul, di mana penghujung hayat kita nanti?

Mungkinkah kita menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak-anak, di sisi isteri, terlantar di hospital atau di tempat kerja.

Bagaimana jika kematian semasa kita sedang melakukan ibadah dan ketika berada di tempat penuh barakah?

Ini topik yang saya akan bincangkan minggu ini. Topik yang ramai takut untuk dibincangkan sebab ramai takut kepada mati.

Tidak semua orang dipilih oleh Allah untuk meninggal dunia di tanah suci Mekah atau Madinah. Sesiapa yang dipilih mesti ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan Allah sangat sayang lantas dia ditakdir pergi menghadap Allah sewaktu di tanah suci.

Sepanjang pengalaman membawa pesakit mengerjakan ibadah umrah di Mekah, saya jarang berkesempatan menguruskan jenazah di sana.

Ada pesakit lagi 10 hari hendak berangkat ke umrah, dengan takdir Allah, pesakit meninggal dunia walaupun semua persiapan telah dibuat.

Ada pula pesakit bila tiba di tanah air, dengan takdir Allah, meninggal dunia walaupun pesakit sangat teringin meninggal dunia di sana. Ini semua qadak dan qadar, hanya Allah yang menentukan di mana kita menghembuskan nafas terakhir.

Memang menjadi impian ramai untuk meninggal di tanah suci. Kita memohon tapi Allah menentukan.

Saya baru pulang dari Mekah selepas menghabiskan masa dua minggu membawa 126 jemaah pesakit dan ahli keluarga mengerjakan ibadah umrah serta membuat rawatan di Madinah dan Mekah.

Ini adalah aktiviti tahunan Pusat Rawatan Islam Al Hidayah di mana kami dengan kerjasama syarikat pelancongan Wirasaujana memberi perkhidmatan mengerjakan umrah sambil berubat di Madinah dan Mekah.

Selalunya rawatan bermula di Madinah di mana pesakit akan dirawat oleh saya sendiri. Mereka akan diberi ayat Al Quran untuk diamalkan. Puncak rawatan ialah di Mekah dan pesakit dirawat di Dataran Kaabah dan mereka akan melakukan tawaf sunat bersama-sama saya.

Kemudian kami akan membawa pesakit ke depan Multazam untuk berdoa kepada Allah. Dari Multazam kami membawa mereka ke dalam Hijir Ismail di mana mereka melakukan solat sunat taubat dan solat sunat hajat.

Bagi pesakit berkerusi roda, petugas kami berusaha untuk memapah mereka masuk ke dalam Hijir Ismail. Selepas itu semua pesakit akan dibawa untuk melakukan solat sunat di belakang Maqam Ibrahim.

Apa yang memberi saya kepuasan dan kesyukuran kepada Allah ialah apabila saya melihat wajah pesakit selepas mereka habis melakukan ibadah, wajah kegembiraan dengan air mata kesyukuran kerana dapat berdoa di tempat mustajab di Masjidil Haram.

Bukanlah mudah untuk membawa dan mengiringi pesakit sebab keadaan di keliling Kaabah penuh sesak dengan jemaah lain. Apabila Allah menolong kita, perkara yang mustahil boleh dilakukan dengan mudah, InsyaAllah.

Kejadian yang berlaku kepada seorang pesakit jemaah wanita berumur 60 tahun berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Arwah menghidap kanser pankreas tahap 4.

Semasa rawatan di Madinah, saya catat dalam nota bahawa keadaan beliau kritikal dan ketika itu mengalami sesak nafas.

Bila tiba di Mekah, arwah bersemangat melakukan ibadah umrah. Arwah diusung dengan kerusi roda melakukan tawaf dan saie. Arwah ditemani dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selesai lakukan saie, arwah diusung pulang ke hotel kediaman.

Ketika itu arwah mengadu sesak nafas serius. Pihak Wirasaujana memanggil ambulans dan arwah dibawa ke hospital jam 2 pagi.

Esoknya jam 11.50 malam, arwah menghembuskan nafas terakhir disaksikan anak perempuannya. Saya dengan anak lelakinya dan petugas Wirasaujana bergegas ke hospital. Tiada apa yang boleh dilakukan.

Esoknya kami ke pejabat muassasah untuk mengambil pasport arwah dan Kedutaan Malaysia di Jeddah untuk melaporkan kematian. Setelah mendapat semua dokumen, kami pulang ke pejabat muassasah di Mekah bagi mengambil jenazah dari hospital. Di Mekah telah disediakan sebuah tempat khas untuk pengurusan jenazah.

Saya, anak lelaki arwah dan petugas Wirasaujana menunggu hampir dua jam untuk jenazah dikapankan. Sementara menanti, saya sempat bertanya anak lelaki arwah, apa istimewanya arwah sehingga Allah memilih beliau meninggal dunia di Mekah.

Dengan linangan air mata, anak lelakinya memberitahu arwah ibunya sangat murah hati dan suka menolong orang.

Arwah anak sulung, mempunyai ramai adik-beradik dan berkorban untuk membesarkan mereka.

Arwah sanggup memberi didikan kepada adik-adiknya walaupun arwah tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

Arwah banyak bersedekah dari segi wang ringgit, tenaga dan bantuan apa saja yang dia boleh berikan. Itu keistimewaannya, kata anak lelakinya dalam tangisan.

Setengah jam sebelum asar, jenazah telah dikapan dan kami menaiki van jenazah untuk solat jenazah di Masjidil Haram.

Tiba di perkarangan masjid, empat petugas Pusat Rawatan Islam Al Hidayah sedia menanti membantu mengusung jenazah ke masjid.

Memang tradisi Arab berebut-rebut membantu mengusung jenazah. Saya terpegun melihat kesungguhan bangsa Arab dan jemaah umrah lain berebut berganti-ganti mengusung mayat.

Tidak lebih tiga minit jenazah telah diusung dari van jenazah ke tempat meletak jenazah di dalam Masjidil Haram, walaupun ketika itu jemaah di sekitar luar masjid penuh sesak dengan jemaah bersiap sedia untuk solat asar.

Jenazah diletakkan di dalam masjid bertentangan dengan sudut Hajar Aswad. Dalam masa beberapa minit ada 10 jenazah diusung masuk untuk disolatkan. Selepas solat asar, imam masuk ke tempat jenazah dan mengimamkan solat jenazah.

Alangkah beruntung mereka yang meninggal dunia dan jenazah disolatkan di sana. Beratus ribu jemaah di masjid turut mengaminkan solat jenazah.

Sabda Rasulullah s.a.w: Dari Abdullah bin Abbas, katanya; aku ada mendengar Rasulullah s.a.w, bersabda “mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya".

(Riwayat Muslim)

Selesai saja solat jenazah, mayat diusung keluar masjid, puluhan jemaah berebut-rebut mengusung jenazah masuk ke van. Kedengaran jemaah memberi arahan Tariq! Tariq! (bermakna beri laluan!).

Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Seraya berdekatan Arafah. Saya dan anak-anak arwah serta petugas Al Hidayah dan Wirasaujana mengiring jenazah.

Sampai di sana, petugas di situ menunggu kami. Lubang kubur telah siap digali dan jenazah terus diusung oleh petugas Al Hidayah dan anak-anak arwah.

Pengkebumian dilakukan begitu cepat dan efisien, dalam masa 10 minit jenazah selamat dikebumikan. Tiada talkin, doa atau tahlil dilakukan, tiada taburan bunga atau merenjis air dilakukan. Batu nisan hanya sebiji batu empat segi tanpa nama si mati.

Islam agama mudah, kita tidak perlu merumitkan sesuatu hingga merosakkan keindahan Islam.

Bukan tidak boleh menguruskan jenazah sepertimana diuruskan ditempat kita, namun kita harus ingat perbezaan antara syariat dan adat.

Jangan sampai adat mendahului syariat. Apa yang dituntut oleh Islam adalah menyegerakan pengkebumian jenazah. Seperti sabda Rasulullah s.a.w:

“Dari Abu Hurairah (r.a) berkata: 'Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Mempercepatkanlah kamu dengan urusan jenazah, maka sesungguhnya jika ada si mati adalah orang yang baik-baik maka mendekatkan kamu pada tempat yang lebih baik; dan jika ada si mati itu adalah orang yang tidak baik, maka meletakkan kamu pada keburukannya dari bahu kamu (yakni, dari ditanggung oleh kamu)."[Hadith Muslim]

Kesimpulannya, pengalaman mengendalikan kematian di bumi Mekah adalah pengalaman pertama saya setelah puluhan tahun di dalam bidang perubatan Islam.

Ini suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli dan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Pasti pengalaman ini menjadi guru berguna kepada saya dan disajikan kepada pembaca sebagai penghayatan bersama.



Haji Lokman Abdul Hamid Utusan Malaysia Online Bicara Agama 02/06/2013
Tags: mati
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments