mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Profesional dalam pekerjaan

ALHAMDULILLAH, pada ruangan tafsir kali ini dan seterusnya insya-Allah saya akan menafsirkan satu ayat sahaja dengan syarahan tafsiran serta pendekatan masa kini agar manfaat dan juga inti pati dapat digunakan dalam kehidupan kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambilah Dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasa: 26)

Secara mudah, al-Amin (amanah) dalam ayat itu merujuk kepada orang yang beriman, manakala al-Qawiy (kuat) merujuk kepada profesional. Atau dalam istilah kontemporari, al-Amin juga boleh dirujuk sebagai integriti, manakala al-Qawiy sebagai kompetensi.

Allah SWT telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja tekun dan dedikasi. Istilah Islam untuk maksud ini ialah jihad. Petunjuk dan hidayat Allah itu sendiri adalah hasil daripada jihad.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-Ankabut: 69)

Bahkan, Allah SWT menentukan bahawa kemenangan agama-Nya bukan semata-mata kerana Islam itu datang daripada Allah SWT. Kemenangan Islam adalah hasil daripada jihad orang yang beriman dan beriltizam dengan ajarannya. Kemenangan itu tunduk kepada syarat-syarat kemenangan yang ditentukan oleh Allah SWT dalam sunnah-Nya.

Islam tidak mungkin menang jika penganut-penganutnya lemah, malas, jahil dan mundur. Apabila penyakit-penyakit ini menguasai ummah, Islam hilang kedaulatannya. Nilai-nilai Islam pudar dan hukum-hukum Islam disingkir walaupun jumlah penduduk Islam ramai. Manusia Muslim yang ramai tetapi kualitinya yang merosot tidak mungkin dapat menegakkan kembali kedaulatan Islam.

Orang-orang yang hebat selalu memusatkan perhatian mereka pada usaha yang sedang mereka lakukan. Bertindak dengan cepat dan tepat, sebab sebelum memulakan pekerjaan mereka telah menimbangkan semasak-masaknya.

Oleh itu, mereka berjaya dalam banyak hal. Ini kerana tumpuan dan pemusatan perhatian pada pekerjaan yang sedang dihadapi boleh menyelesaikan segala masalah yang rumit dan kesukaran hidup. Dalam buku Le Chamin du Honhuar, Dr. Victor Pouchat membahagi empat tahap cara membuat tumpuan iaitu perhatian, penyelidikan, ketenangan dan kemahuan.

Maka itu, tekun dalam sesuatu pekerjaan boleh menyebabkan hasil kerjaya menuju ke arah kecemerlangan.

Dengan sifat profesional, seseorang itu akan mempunyai kepakaran dan keterampilan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan dalam bidang pengurusan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan lain-lain.

Mukmin profesional ialah mereka yang berkemampuan menyejajarkan dan menyepadukan pelaksanaan fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab hamba dengan khalifah, kesinambungan ilmu naqli dengan aqli, kesucian zikir (kebersihan hati) dan kecanggihan teknologi dalam kehidupan.

Dengan sifat orang yang beriman, mereka mampu memperbaiki keadaan umat yang dilanda pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak.

Manakala dengan kepakaran, mereka mampu menyelesaikan masalah umat yang ketinggalan dalam bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.

Saya teringat kata-kata pujangga yang menyebut alam semesta ini dibangun di atas sebuah peraturan, kerana itu pakaian, rumah, meja dan kewajipan anda harus dikerjakan dengan rapi.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang."

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la daripada Aisyah. Mus'ab bin Thabit Ibn Hibban menthiqahkannya, sedangkan jamaah mendaifkannya.

Syeikh al-Albani berkata: "Al-Hakim telah mensahihkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Al-Suyuti telah menisbahkan hadis kepada al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman. Begitu juga hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir, sebagaimana disebut dalam al-Majma' (4/98)

Semoga kita menjadi golongan yang profesional lagi beriman kepada Allah. Amin



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL- BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/06/2013
Tags: pekerjaan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Khutbah Jumaat Bahtera Kasih Menuju Bahagia

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Oktober 2021M/ 15 Rabiulawal 1443H JAWI Bahtera Kasih Menuju Bahagia Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat…

  • Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul SAW

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Okt 2021M / 15 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Maulidur Rasul SAW Alhamdulillah, kita rafakkan pujian dan kesyukuran ke…

  • Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI Semarak Cinta Rasul Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments