mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Manfaat masa kejar cita-cita mulia

Minggu lalu kita berkongsi mengenai pentingnya untuk sentiasa memperbaharui cita-cita bagi mengejar impian kerana cita-cita yang baik dan betul caranya akan memperoleh pahala serta rahmat daripada Allah SWT.

Persoalannya, bagaimana untuk merealisasikan cita-cita itu terutama apabila kita sudah berada di pertengahan tahun? Apabila seseorang pekerja mempunyai kesedaran mengenai masa, itu adalah suatu petanda dia akan berjaya.

Apa juga bentuk kejayaan yang dikecapi bermula daripada perjalanan masa yang tidak disia-siakan. Kesedaran mengenai masa mengingatkan kita pada tempoh iaitu detik, hari dan bulan yang perlu direbut serta digunakan.

Pepatah Arab menyebut, “Waktu itu umpama pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu”. Apabila ia telah berlalu, ia tidak akan kembali lagi dan jika tidak dimanfaatkan, kitalah yang rugi. Peribahasa Melayu juga menyebut, “Masa itu emas”.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Hisn al-Darimi, katanya: “Apabila dua orang daripada sahabat Nabi SAW bertemu kemudian ingin berpisah, mereka terlebih dulu membaca surah ini kemudian memberi salam antara satu sama lain.”

Banyak ayat dalam al-Quran menekankan nilai masa yang dalamnya juga mengandungi strategi menghadapinya. Antaranya, surah al-Asr yang hanya mengandungi tiga ayat namun kaya dan sarat dengan peringatan Allah SWT.

Menurut Ibn al-Qayyim, yang memetik kata-kata Imam Syafie: “Jika manusia berfikir dengan mendalam terhadap surah ini nescaya cukup untuk mereka.”

Empat strategi

Sesuai dengan lafaz sumpah yang Allah SWT firmankan dengan ‘demi masa’. Empat strategi digariskan Allah SWT untuk mengelakkan hamba-Nya menjadi hamba masa yang rugi iaitu beriman, beramal soleh, berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

Jika diteliti setiap satu, ia sangat relevan dan berguna untuk mencapai cita-cita. Kayu ukur kecemerlangan pekerja Muslim di sisi Allah SWT adalah dengan beriman. Tanda mereka yang beriman pula adalah yang beramal soleh.

Allah SWT sering menggandingkan seruan-Nya kepada mereka yang beriman dan beramal soleh. Firman-Nya: “Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)

Justeru, tiada ertinya cita-cita tanpa keimanan dan amal tindakan yang baik, teliti serta berstrategik. Namun, dua perkara ini belum cukup untuk melepaskan diri kerana sifat manusia yang sering leka dan lalai, ia perlu diikuti dengan tindakan saling berpesan-pesan.

Sikap kesalingan inilah yang membentuk teori hubungan kerjasama, jaringan kerja dan kerja berpasukan dalam organisasi. Sabda Rasulullah SAW: “Orang beriman sesama mereka seperti satu binaan yang mengukuhkan antara satu dengan yang lain.”

Dua kali Allah SWT mengulangi perkataan berpesan-pesan untuk memenuhi hak-Nya dan keperluan hati hamba-Nya. Semangat kesalingan ini untuk melakukan yang benar dan dengan kesabaran.

Ruang lingkup ‘benar’ boleh meliputi kerja mengikut arahan yang betul, prosedur, peraturan, keutamaan, bidang kuasa serta piawaian. Namun, tindakan kerja yang benar juga belum menjamin kejayaan kerana putaran dan kitaran dalam bekerja tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran.

Justeru, tindakan berpesan-pesan sesama pekerja dan majikan juga sangat berguna dalam mengingatkan perihal kesabaran. Banyak ayat al-Quran menunjukkan kejayaan akan dicapai oleh orang yang kuat jiwanya dengan kesabaran manakala yang lemah akan rugi.

Silaturahim warga organisasi

Firman Allah SWT: “Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Surah Fussilat, ayat 35)

Justeru, untuk sampai kepada tahap kesalingan dalam bekerja, silaturahim antara warga organisasi perlulah dititikberatkan. Ia perlu diusahakan secara terancang sama ada secara langsung melalui perbincangan berkala, penubuhan pasukan kerja, khidmat nasihat dan kaunseling.

Atau secara tidak langsung melalui penubuhan kelab serta persatuan yang melakukan aktiviti kebajikan dan rekreasi. Majikan perlu memberi sokongan penuh terhadap usaha menggalakkan budaya kerjasama erat serta berkesan ke arah pencapaian matlamat dan cita-cita.

Ingatlah, bagi yang mengamalkan kesalingan kerja melalui khidmat pesanan pada kebenaran dan kesabaran, itu menjadi sedekah serta pelaburan masa bagi dirinya sendiri.

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Berita Harian Online Agama 22/06/2013
Tags: masa, silaturahim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments