mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perspektif IKIM: Kealpaan manusia hargai alam cetus jerebu

Semarak hikmah, tingkat ilmu agama dalam jiwa

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun 2013. Tema sambutan tahun ini ialah 'Fikir, Makan dan Jimat'. Ironinya, bulan penuh makna bagi alam sekitar ini disambut 'berjerebu' oleh warga Malaysia.
Keadaan itu mengajak kita berfikir sejenak seperti dianjurkan dalam tema sambutan sebagai satu usaha muhasabah diri. Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang mengajak manusia untuk berfikir, memerhati serta melakukan pengamatan.

Sesungguhnya, akal anugerah Ilahi bukan satu perhiasan tetapi perlu digunakan semaksimum mungkin, apatah lagi untuk muhasabah diri apabila berdepan alam seperti jerebu yang melanda negara.

Masalah jerebu memberi terlalu banyak pengajaran dan peringatan kepada manusia yang mahu berfikir antaranya mengenai sikap manusia. Mereka yang tidak peduli akhirnya menyebabkan kerosakan demi kerosakan kepada alam.

Kata orang, ‘berani buat, berani tanggung’. Jadi, manusia membakar hutan, maka manusia yang menanggung akibat tingkah laku jahil itu. Ini bertepatan dengan janji Allah SWT bahawa manusia yang melakukan kerosakan akan merasakan kesan daripada perbuatan tangannya.



Jerebu beri pengajaran dan peringatan kepada manusia untuk menghargai alam anugerah Allah. - Foto hiasan

Firman Allah SWT bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Rendah ilmu pengetahuan

Selain sikap, masalah jerebu yang berulang sejak 1997 menunjukkan rendahnya pengetahuan manusia terhadap peranannya di alam serba luas ini serta tidak memahami peranan setiap entiti alam yang diciptakan Allah SWT.

Sememangnya, perkembangan sains dan teknologi yang pesat banyak membantu manusia memahami peranannya serta peranan sumber alam. Namun, kenapa manusia masih mengganggu persekitarannya?

Pengetahuan berdasarkan perkembangan sains dan teknologi tidak dapat menyemarakkan hikmah serta hemah dalam jiwa manusia semasa berinteraksi dengan persekitarannya.

Oleh itu, menyemarakkan hikmah dan hemah dalam diri manusia perlu dengan menambah ilmu agama ke dalam jiwa kerana ilmu agama membuka mata manusia untuk memahami peranan, tanggungjawab, amanah, adil, mizan (kesetaraan), tawazun (keseimbangan) dan jamal (indah).

Manusia yang benar-benar faham konsep ini pasti tidak tergamak melakukan kemusnahan alam kerana tahu tindakannya itu akan disoal dan dihitung di hadapan Yang Maha Esa.

Ini juga kegagalan manusia memahami konsep pencemaran merentas sempadan kerana hanya melihat masalah alam sekitar tempatan. Pengetahuan terhadap masalah alam sekitar bersifat global atau merentasi sempadan amat penting dan kritikal.

Hakikatnya, kita berkongsi alam ini dengan orang lain. Kerosakan sumber alam yang dilakukan di satu tempat akan memberi kesan kepada tempat lain. Oleh itu, masyarakat perlu diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah alam sekitar sejagat.

Disebabkan kita semua berkongsi alam atau bumi yang sama, maka penyelesaian terhadap permasalahan ekologi memerlukan kerjasama utuh. Dalam banyak keadaan, kita suka menyalahkan orang lain terhadap apa yang terjadi.

Timbul ketegangan

Memanglah mudah dan mungkin menyeronokkan apabila menuding jari, namun ini tidak akan menyelesaikan masalah, malah boleh menimbulkan ketegangan. Masalah jerebu membabitkan tiga negara di rantau Asia Tenggara perlu diselesaikan dengan semangat setiakawan.

Kesudian bekerjasama juga satu usaha memuliakan jiran. Jika kita gagal bekerjasama dalam semangat serantau, maka bagaimanakah pula kita hendak bekerjasama menangani permasalahan alam sekitar global seperti masalah pemanasan dunia.

Penjelasan ini hanya dapat difahami jika kita mahu berfikir atau bermuhasabah dalam menghadapi keadaan persekitaran yang tercemar kini. Apabila berlaku sesuatu bencana seperti jerebu, kita boleh melihatnya dalam konteks hukuman Allah SWT terhadap manusia yang lalai.

Ini mengingatkan kita kisah diceritakan mengenai kaum Quraisy yang menentang serta mempermainkan risalah dibawa Rasulullah SAW. Akibat kekufuran itu, mereka ditimpa kemarau yang panjang hingga melihat asap di antara langit dan bumi.

Pada masa yang sama, bencana yang berlaku boleh dilihat dari sudut untuk menyedarkan serta membangkitkan manusia daripada kealpaan. Oleh itu, kita perlu sentiasa diingatkan supaya dapat kembali ke jalan yang benar.

Oleh itu, perlulah kita berlapang dada menerima dugaan ini dan berusaha ke arah kebaikan. Namun, jika kesilapan sama diulang berkali-kali, maka itu tanda kebodohan diri. Jadi, jangan biarkan masalah jerebu berulang kembali kerana ini menunjukkan pengulangan kesilapan yang sama. Maksudnya, tepuk dada tanya selera.


Azrina Sobian Berita Harian Online Agama 30/06/2013
Tags: jerebu, musibah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments