mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan masa perbaharui ikrar keimanan, muhasabah

Ramadan bulan untuk kebangkitan rohani dan memperbaharui ikrar taat setia keimanan kepada Allah Taala. Ramadan adalah bulan Allah menurunkan al-Furqan kepada hamba-Nya yang menjadi peringatan dan amaran kepada seluruh alam.

Allah SWT berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah) Ku dan beriman kepada-Ku, supaya mereka memperoleh kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Mudah-mudahan sepanjang Ramadan ini Allah memakbulkan doa dengan syaratnya kita mematuhi perintah dan beriman kepada-Nya. Malah, kita turut dianjurkan menghidupkan malam Ramadan yang menjanjikan ganjaran besar.

Diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lalu.’

Puasa bukan mendera badan

Puasa tidak bermaksud untuk menghukum tubuh badan dengan tidak menyalurkan makanan yang memberi tenaga pada waktu siang, tetapi puasa dapat memperkukuhkan minda serta fokus kepada perkara yang lebih tinggi.

Allah SWT menciptakan manusia yang mempunyai sifat lemah tubuh badan serta semangat. Oleh itu, manusia memerlukan bateri yang mampu memberi kuasa untuk memulih dan meningkatkan semula keimanan serta mematuhi perintah Allah dengan cara yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

Sebab itu, Ramadan dijadikan madrasah untuk umat Islam berusaha menambah amal ibadat kepada Allah dan mengukuhkan silaturahim. Keazaman untuk terus berpegang teguh kepada tabiat baik juga meningkat pada bulan puasa.

Ia dikuatkan lagi dengan dorongan untuk meraih ganjaran beramal seperti 1,000 bulan yang akan muncul hanya satu malam pada 10 terakhir Ramadan iaitu untuk mereka yang ingin bertemu lailatulqadar.

Justeru, puasa adalah satu latihan dalam disiplin kehidupan. Ramadan bukan bulan untuk memperbanyakkan tidur dan menjadi malas hingga produktiviti kerja menurun. Kepenatan berpuasa juga bukan alasan melengah-lengahkan kerja sepatutnya disiapkan mengikut waktu ditetapkan.

Bagi pelajar pula, Ramadan adalah bulan paling bagus untuk membaca buku mengenai Islam bukan menghabiskan waktu puasa dengan tidur, menonton televisyen atau melepak di pusat beli-belah.

Bulan bermuhasabah

Ramadan juga bulan untuk bermuhasabah, memikirkan sejauh mana kita mematuhi perintah Allah SWT dan kembali kepada ajaran al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW. Penghayatan terhadap isi kandungan al-Quran membawa umat Islam ke landasan yang betul.

Namun, semua usaha itu bergantung kepada kesungguhan umat Islam sendiri kerana Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang merubahnya. Oleh itu, marilah berusaha untuk melakukan transformasi supaya menjadi insan lebih baik. Tambahan pula, umat Islam perlu bersedia untuk berdepan dengan cabaran semasa termasuk tekanan dibuat musuh-musuh Islam hingga menyebabkan berlaku pergaduhan serta peperangan saudara di negara Islam.

Sempena Ramadan ini, marilah berdoa supaya kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sabar dan penuh tekad, memperbanyakkan sedekah, menunaikan zakat serta mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.



Razali Zakaria Berita Harian Online Agama 03/07/2013
Tags: iman, muhasabah, puasa, ramadhan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments