mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Persiapan menyambut Ramadan

BULAN Syaaban kini sudah hampir melabuhkan tirainya. Ini bermakna fajar Ramadan kembali menyingsing lagi dan umat Islam di serata pelosok dunia mula bersiap sedia untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Justeru segala persiapan bagi menemuinya patut dimulakan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali lagi berlalu pergi, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan.

Justeru , umat Islam diseru melakukan yang terbaik bagi menghargai kesempatan terpilih bertemu Ramadan sekali lagi dengan secukupnya. Mukminin yang merindukan ketibaan bulan al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT.

Malah setiap individu Muslim perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan seikhlas jiwa dan raga. Sementara itu bagi golongan yang lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan akan disambut dengan pelbagai alasan untuk tidak berpuasa. Mereka ini diingatkan supaya bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini kerana ia akan dipersoalkan pada hari kemudian.

Setiap Muslim juga disarankan agar menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan mula berazam untuk menghindari diri daripada terlibat melakukan perkara keji dan mungkar selain bertekad dengan untuk mengimarahkan Ramadan dengan segala bentuk amalan kebajikan.

Begitu pula segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan nilai ibadah di sisi Allah SWT hendaklah segera dijauhi. Sifat negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit hati yang perlu dijauhi. Selain itu pekerjaan buruk berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga bertepatan dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Setiap Muslim perlu mengikhlaskan niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh pelbagai ganjaran di bulan Ramadan.

Adalah tidak molek jika matlamat dan tujuan berpuasa yang tiba setahun sekali diarahkan semata-mata untuk menyambut hari raya, sehingga segala persiapan seperti pakaian, kuih muih, mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan Ramadan di depan mata terabai dan tidak dipedulikan. Malah kecenderungan seperti itu elok diganti dengan membuat persiapan menyambut Ramadan dengan berpakaian serba baharu, menghias rumah dengan langsir baharu dengan niat serta tekad yang baharu. Ini selari dengan perintah Allah SWT supaya syurga dihias dan dicantikkan bagi menyambut Ramadan al Mubarak.

Bagi meraih bonus berlipat kali ganda dan yang tidak ternilai sewaktu Ramadan, persediaan dari sudut fizikal, mental dan material juga perlu diusahakan. Individu Muslim disarankan menjaga kesihatan tubuh badan, bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dengan berlebih-lebihan serta keinginan lain yang boleh menjejaskan kesempurnaan berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan dan material untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud; "Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka".

Seyogianya Ramadan dipenuhi dengan segala kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar semua beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka di sepanjang Ramadan. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang kurang berfaedah lagi berdosa.

Di sudut pandang yang berbeza, terdapat segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa yang cukup luas dan menyeluruh itu kurang difahami. Ini kerana selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala berpuasa ketika berpuasa.

Ramadan yang tiba setahun sekali turut menjanjikan kenikmatan bertemu malam lailatulqadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh. Setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad untuk berjihad mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.

Individu Muslim disaran untuk meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa tingkatan khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membatasi puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat turut dilaksanakan. Apalah ertinya seseorang berpuasa jika hanya tak makan dan tak minum tetapi kewajipan agama yang lain diabaikan.

Akhirnya setiap Muslimin perlu menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan;

"Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya, kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku". (Hadis riwayat Imam Ahmad)



AMOHD ALI MUHAMAD DON PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 08/07/2013
Tags: puasa, ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments