mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kesabaran orang Islam kian pudar

ISU agama merupakan antara perkara sensitif yang tidak sepatutnya dipermainkan mana-mana pihak sama ada individu berlainan agama mahupun penganut yang buta ilmu.

Namun, hinaan demi hinaan terhadap agama Islam semakin kerap dan banyak berlaku sama ada dalam kalangan rakyat biasa, pemimpin komuniti atau politik dan terkini oleh orang luar.

Kenyataan celupar Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini menyebabkan isu yang hampir reda itu kembali panas.

Ditambah pula sepasang kekasih berbangsa Cina menghina bulan Ramadan menyebabkan semakin ramai yang mempersoalkan apa yang akan dilakukan pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Walaupun bilangan orang bukan Melayu yang berterusan menghina Islam kecil sahaja, tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga, janganlah berterusan amaran demi amaran tanpa hukuman untuk mengingatkan orang biasa, pemimpin mahupun orang luar kedudukan Islam di negara ini.

Penghinaan beberapa individu ini boleh menyebabkan perbalahan besar antara kaum, masyarakat Islam juga dikhuatiri melihat kerajaan terlalu lemah dalam mempertahankan agama mereka sementara orang luar akan berterusan mempermainkan kedudukan Islam di negara ini.

Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Biro Sosiobudaya dan Warisan, Dunia Melayu Dunia Islam, Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar membantah keras campur tangan orang luar dalam hal-hal berkaitan agama Islam, khususnya oleh seorang wakil diplomatik.

“Marino itu duta, patut utamakan hubungan diplomatik, bukannya jaga kepentingan agama dia sahaja. Perlu hormati keadaan di sini, Islam agama rasmi dan telah ditetapkan kalimah Allah tidak dibenarkan untuk orang Kristian.

“Saya setuju dengan beberapa cadangan dikemukakan pihak-pihak yang turut membantah sebelum ini, perlu bertindak tegas sama ada batalkan statusnya ataupun hantar balik sahaja," tegasnya.

Tambah Abdul Latiff, jika dibiarkan perbuatan ‘kurang ajar’ sedemikian, orang lain akan melihatnya sebagai lesen besar untuk bermaharajalela menghina Islam tanpa pedulikan ia sensitif dan menyakiti umat Islam di seluruh negara.

Beliau berharap KDN akan betul-betul bertegas kali ini dan jangan terus bermain amaran dengan pihak-pihak yang mempermainkan kesucian Islam sama ada rakyat biasa, pemimpin komuniti atau politik mahupun warga asing.

“Perkara ini boleh menjejaskan pandangan orang di dalam dan luar negara terhadap usaha mempertahankan Islam iaitu agama Persekutuan yang perlu dilindungi kerajaan.

“Walaupun pelbagai peringkat telah tetapkan kalimah Allah eksklusif, tetapi masih ada mempermain isu ini tanpa mempedulikan bahaya apabila rasa tidak puas hati membuak dalam kalangan umat Islam," katanya.

Menurut Abdul Latiff, negara lain seperti China dan Singapura tidak pernah berkompromi dengan isu sensitif seperti mempermainkan agama tetapi di Malaysia sudah ada yang berani hina Islam, apatah lagi orang itu bukan Islam yang bangkit dengan angkuh dan berani.

Beliau sedih melihatkan terlalu ramai yang mempersenda agama Islam tanpa provokasi kebelakangan ini dan dikhuatiri boleh membawa kepada pergaduhan antara kaum dan agama.

“Ini bukan soal hak asasi, liberalisme dan kebebasan bersuara mereka untuk menghina Islam. Jangan ganggu dan permainkan agama kami kerana ia juga satu kesalahan dari segi undang-undang.

“Penguatkuasaan perlu kuat, jangan biarkan orang lain dengan mudah permainkan agama kita. Kes rogol atlet baru-baru ini dalam satu minggu sudah ditangkap, tetapi bila kes perkecilkan Islam lambat pula didakwa," ujarnya.

Abdul Latiff turut mengingatkan pihak berkuasa khususnya KDN agar bertindak tanpa mengira kedudukan pihak yang menghina Islam itu atau hukuman berbeza-beza memandangkan undang-undang sudah ada untuk menyekatnya.

Tegasnya lagi, penguatkuasaan terhadap pihak yang menghina Islam setakat ini sangat lemah walaupun heboh didebatkan tetapi tindakannya lambat, kerap kali berterusan ‘dalam siasatan’ dan akhirnya tiada yang dibawa ke muka pengadilan.

“Jika terus dibiarkan, makin lama semakin teruk mereka akan hina Islam. Jika rasa undang-undang yang ada lemah, gubal akta baharu tetapi pastikan siapa pun yang tidak patuh dan mempermainkan agama diambil tindakan segera.

“Ini sangat sensitif, jika terus-menerus senyap sahaja, lama kelamaan dikhuatiri kesabaran orang Melayu dan Islam akan meletup seperti gunung berapi," katanya.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) yang juga Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat pula menegaskan hubungan diplomatik mempunyai hadnya dan seorang duta tidak patut mencabar keimanan orang Melayu.

“Zahirnya memang lemah lembut tetapi keimanan Melayu tebal dalam mempertahankan maruah agama, kita tidak akan benarkan kalimah Allah digunakan sewenang-wenangnya.

“Dalam kes ini, kita boleh usir duta itu, gantung taraf diplomatik dengan negaranya ataupun memutuskan terus hubungan. Bukannya Malaysia tidak pernah putuskan hubungan diplomatik dengan negara yang tidak hormati kita lebih-lebih lagi dalam bab agama," tegasnya.

“Jika secara ‘suka-suka’ mempermainkan Islam, boleh juga diambil tindakan bawah Akta Hasutan kerana mencemar kesucian agama Islam, atau atas tuduhan menghina Raja-Raja Melayu yang memayungi Islam. Mereka juga boleh dituduh menghasut perpecahan kaum kerana jelas ini satu tindakan provokasi yang mahu umat Islam bertindak balas, jika orang Melayu bertindak ‘kasar’ tentu mereka juga akan balas sama," ujarnya.

Beliau melihat soal buta sejarah termasuk ‘Keluhuran Perlembagaan’ dalam Rukun Negara dalam kalangan orang bukan Melayu yang gagal menghayatinya menyebabkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada mereka tidak dibalas seperti dijanjikan.

“Muafakat antara kaum juga semakin terhakis apabila bukan Melayu mula menolak Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa Melayu bumiputera dan asas kontrak sosial lain seperti yang dijanjikan sebelum merdeka.

“Sistem pendidikan kita sememangnya gagal didik orang bukan Melayu mengenai asas-asas ini khususnya toleransi, muafakat dan pengorbanan antara kedua-dua belah pihak," dakwanya.

Khairul Anwar melihat penghinaan terhadap Islam, khususnya oleh golongan muda satu cerminan sikap kurang ajar untuk menafikan siapa tuan punya bumi bertuah ini, apatah lagi selepas Melayu gagal ‘dijatuhkan’ pada pilihan raya lalu.



NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 15/07/2013
Tags: puasa, sabar
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments