mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan sarat ganjaran

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang gembira dengan datangnya bulan Ramadan, Allah haramkan jasadnya daripada sentuhan api neraka."

Safwak Sa'adallah al-Mukhtar menceritakan, pada suatu hari ada sepasang suami isteri yang kaya raya sedang makan bersama-sama di rumah mereka.

Tiba-tiba pintu rumah diketuk seseorang. Setelah dibuka ternyata seorang pengemis meminta-minta.

Melihat pengemis itu, isterinya sangat kasihan dan hiba dan ingin memberikan sesuatu.

Dia meminta izin daripada suaminya bolehkan dia memberikan sesuatu kepada pengemis itu.

Suaminya dengan suara kasar berkata: "Usir sahajalah, tutup pintu itu dan mari makan."

Setelah masa berlalu, kehidupan keluarga itu mengalami masa suram. Perusahaan makin merosot dan menanggung banyak hutang. Keluarga itu jatuh miskin, rumah tangga mereka kelam kabut sehingga berlaku perceraian.

Kata Safwak, suaminya sangat menderita dan bekas isterinya itu berkahwin pula dengan seorang pengusaha kaya dari daerah lain.

Pada suatu hari, ketika pasangan suami isteri yang baharu itu sedang makan bersama-sama, tiba-tiba pintu rumah diketuk.

Setelah dibuka, ternyata yang datang itu seorang pengemis yang meminta belas kasihan.

Wanita (isterinya) masuk dan meminta izin pada suaminya: "Bolehkah saya memberikan sesuatu kepada pengemis itu?"

Lalu dijawab suaminya: "Boleh, boleh... berilah dia makan. Mana tahu dia sangat lapar dan berjalan dari daerah yang jauh."

Setelah pengemis itu diberi makan, alangkah terkejutnya si isteri, kerana ternyata yang dia beri makan itu adalah bekas suaminya.

Dia menangis kerana merasa prihatin dan hiba. Melihat keadaan itu, si suami dengan hairan lalu bertanya: "Mengapa engkau menangis isteriku, adakah saya salah kalau menyuruhmu memberi makan kepada pengemis itu?"

Isterinya menggeleng kepala dengan nada sedih teresak-esak lantas berkata: "Saya sangat beruntung mendapatkan suami yang baik sepertimu. Namun saya sedih melihat perjalanan takdir hidup bagi seseorang yang sungguh menakjubkan hati, maafkan saya."

Akhirnya si isteri berkata: "Tahukah engkau suamiku, siapa pengemis yang kita beri makan di luar itu? Dia adalah bekas suamiku yang pertama dahulu."

Mendenar kata-kata itu, suaminya terkejut namun tetap memperlihatkan sikap arif.

Beberapa saat kemudian, suaminya bertanya: "Tahukah engkau, siapa saya yang saat ini menjadi suamimu ini?" Isterinya menjawab, "Tidak tahu."

Kemudian suaminya berkata: "Suamimu ini adalah pengemis yang pernah diusir dahulu oleh bekas suamimu dan Allah berikan kepadaku rezeki hingga aku punya harta dan memberi pula rezeki-Nya hingga kita pun dipertemukan Allah dalam satu ikatan akad sebagai suami isteri yang insya-Allah mawaddah wa rahmah."

Kisah di atas mengajar kita bahawa hidup dan kehidupan ini sesungguhnya seperti roda.

Kerap kali kita menyangka bahawa apa yang kita peroleh hari ini tidak akan berubah esok atau lusa tetapi tidak mustahil juga hilang dalam sekelip mata.

Hanya kerana kecuaian dan keangkuhan kita terhadap sesama insan, kita menutup pintu pada orang yang miskin dan kelaparan. Natijahnya, tertutup pintu rezeki rezeki kita.

Dalam al-Quran dinyatakan: "Dalam harta kamu ada hak peminta-minta (sedekah)."

Ibadat puasa mendidik kita bahawa sesuatu yang diberikan, waima seteguk air, sesuap nasi atau seulas kurma akan menjadikan kita tetap kaya dalam erti nilaian pahala berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.

Ibadat puasa dapat menambah apa yang ada, menutupi kekurangan serta membuka pintu rahmat, rezeki, berkat dan hikmah Allah SWT.

Untuk mendapatkan apa yang kita perlukan, maka berpuasalah untuk mendapat kemaafan Allah. Berpuasalah untuk memperoleh syurga. Bahkan untuk memohon segala hajat kepada Allah maka berpuasalah.

Ibnu Abbas RA berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud 'andai umatku tahu tentang rahsia yang terkandung dalam Ramadan, pasti mereka mengharap seluruh bulan dalam setahun menjadi bulan Ramadan, sebab Ramadan menghimpun segala kebaikan, doa-doa yang mustajab (dipenuhi), dosa mereka diampunkan dan syurga merindukan mereka."



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/07/2013
Tags: ganjaran, ramadhan
Subscribe

  • Didik masyarakat benci arak

    TIDAK syak lagi meminum arak atau ketagihannya adalah haram di sisi agama Islam. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang memudaratkan…

  • Waspada terhadap sumber yang haram

    DALAM era globalisasi melalui pelbagai aspek, khususnya ekonomi kian merudum memberikan satu cabaran kepada kita untuk berusaha menjana sumber…

  • Orang malas 
haram dapat zakat?

    Baru-baru ini ada seorang ustaz menyatakan bahawa orang miskin yang malas tidak layak dan haram diberikan zakat. Ini kerana, ia akan menjadikan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments