mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rutin ibadah sepanjang ramadan

RAMADAN ialah bulan untuk beramal ibadah. Masyarakat Islam diseru untuk melipatgandakan ibadah demi kebaikan diri sendiri. Apatah lagi sewaktu Iblis dibelenggu oleh Allah SWT dan waktu makan yang berkurangan daripada kebiasaan.

Untuk tujuan itu juga setiap individu Muslim perlu memenuhkan jadual harian Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah sambil mengharap keredaan-Nya. Ini boleh dimulakan dengan memasang niat untuk berpuasa pada setiap malam dan hendaklah dilafazkan sekurang-kurangnya sebelum terbit waktu fajar.

Ini kemudiannya diikuti dengan bersahur yang sunat muakad untuk dilakukan. Amalan bersahur mampu memberi kekuatan dan tenaga kepada orang yang berpuasa hinggalah waktu berbuka. Dengan melambatkan bersahur juga individu Muslim boleh mengambil kesempatan untuk dapat solat subuh berjemaah di surau dan masjid berdekatan yang kemungkinan jarang dapat dilakukan pada hari-hari biasa.

Justeru waktu terluang sebelum azan berkumandang dapat digunakan untuk bersuci, berwuduk dan hadir awal beriktikaf di Rumah Allah. Yang mana beriktikaf di masjid turut merupakan perkara yang dituntut untuk diamalkan.

Amalan tidur semula setelah bersahur adalah sesuatu yang tidak elok untuk kesihatan kerana proses penghadaman makanan sedang berlaku dan berkemungkinan menyebabkan seseorang luput waktu solat subuh dan terlewat sampai ke tempat kerja.

Usah jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, kerana puasa sepatutnya menjadikan individu Muslim lebih produktif dan berdaya maju. Ketika berehat aktiviti mengumpat, memburukkan orang lain atau bersembang perkara yang tidak bermanfaat hendaklah dijauhi kerana ia bakal menjejaskan pahala puasa sejak awal pagi lagi. Begitulah seterusnya hingga masuk waktu Zuhur dan waktu Asar, jika berkesempatan untuk solat berjemaah eloklah diusahakan, jika tidak sembahyanglah secara bersendirian.

Setelah tamat bekerja pasti ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka. Mereka dinasihatkan agar tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja kerana dikhuatiri lebih banyak yang dibuang berbanding yang dimakan. Apabila masuk waktu berbuka hendaklah segera berbuka dengan membaca doa, dan sunat berbuka dengan tamar ataupun sesuatu yang manis-manis ataupun dengan segelas air.

Setelah selesai berbuka, bersegeralah untuk menunaikan solat fardu Maghrib. Dewasa ini ramai yang seronok berbuka di luar, namun diingatkan agar tidak lengah untuk bersolat kerana apalah ertinya berpuasa jika ibadah solat wajib terabai.

Seusai solat Maghrib eloklah seisi keluarga bersiap sedia untuk mengikuti jadual Ramadan yang seterusnya iaitu Solat Isyak dan kemudian diikuti dengan Solat Tarawih dan Witir secara berjemaah. Bagi yang tiada aktiviti lain seusai bertarawih bolehlah mengambil kesempatan untuk bertadarus al-Quran. Malah inilah antara amalan mudah yang dilipatgandakan pahalanya di sisi Allah SWT.

Bagi yang ingin melipatgandakan lagi amal kebajikan bangunlah pula untuk bertahajud di sepertiga malam, sambil berdoa dan berharap agar diampunkan segala dosa dan diperkenankan segala hajat. Sandarkan juga permohonan agar puasa yang telah dilaksanakan diterima dengan sempurna oleh-Nya.

Begitulah uniknya Ramadan yang tanpa disedari mempunyai jadual ibadah tersendiri yang telah diatur oleh Allah SWT. Persoalannya adakah setiap daripada kita mampu dan ingin berusaha untuk mengikuti jadual tersebut ataupun termasuk dalam golongan yang suka melanggar segala peraturan yang telah ditentukan oleh-Nya. Pilihan terletak di tangan kita semua.



MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/07/2013
Tags: ibadah, ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments