mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berusaha elak dijangkiti 'penyakit' di bulan Ramadan

MENURUT Islam, Ramadan adalah penghulu segala bulan. Dalam bulan ini, umat Islam berlumba-lumba mengerjakan ibadah dan amalan seperti bersedekah, bantu-membantu, bertadarus dan solat tarawih.

Kedatangan Ramadan amat dialu-alukan oleh orang beriman. Ketika Ramadan, masjid-masjid dipenuhi oleh jemaah, anak-anak yatim ditaja untuk berbuka puasa dan tidak kurang juga tajaan pakaian raya sempena Syawal.

Lagu-lagu raya mula berkumandang di radio dan televisyen mengasyikkan sesiapa yang mendengarnya. Namun, sepanjang Ramadan ini terdapat beberapa penyakit yang perlu dielak bagi memastikan kita dapat meneruskan ibadah dalam keadaan sebaik mungkin. Pertama, penyakit yang sering diulang setiap kali tibanya bulan Ramadan, iaitu penyakit boros berbelanja.

Bulan Ramadan bukanlah bulan untuk berboros. Menjelang berbuka puasa, lauk-pauk yang terhidang cukup banyak. Sebelum berbuka, semuanya ingin dimakan dan diminum. Tetapi kita tahu, berapa banyakkah makanan dan minuman yang boleh dijamah. Malangnya, apabila mengunjungi bazar Ramadan, segala-galanya mahu dibeli. Ini belum diambil kira persediaan hari raya dengan kuih-muih, pakaian baru dan kelengkapan rumah yang jika boleh semuanya ingin ditukar.

Pembaziran makanan menyebabkan sampah-sarap bertambah berlipat kali ganda pada bulan puasa. Semasa Ramadan jugalah, hutang juga bertambah demi persediaan raya. Penyakit sebeginilah yang perlu dielak kerana ia boleh memberi kesan kewangan. Namun, seperti biasa, penyakit ini masih diulang seolah-olah tiada iktibar daripada Ramadan yang lepas-lepas.

Penyakit kedua tidak lain tidak bukan penyakit bermain mercun. Acapkali ketika Ramadan, ada sahaja yang cedera akibat mercun. Bermain mercun bukan sahaja membazir tetapi juga jika tidak kena gaya, boleh membawa kecederaan.

Meskipun diwartakan bahawa bermain mercun adalah salah di sisi undang-undang, namun ia tidak dipatuhi. Mercun sudah sinonim dengan Ramadan dan Syawal. Anak-anak kecil bermain mercun sampaikan ada yang putus jari dan luka di mata yang boleh menyebabkan buta. Kesannya sepanjang hidup kanak-kanak tersebut. Undang-undang sahaja tidak cukup jika tiadanya kesedaran untuk berhenti bermain mercun. Tugas ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam menegah kanak-kanak daripada terus bermain mercun.

Seterusnya ialah penyakit hati dan lidah. Penyakit hati ini memerlukan keinsafan agar bukan sahaja wajib dielak ketika Ramadan tetapi juga sepanjang hidup. Penyakit malas umpamanya memberi kesan terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Ramadan bukanlah bulan untuk berehat panjang.

Produktiviti sewajarnya ditingkatkan semasa Ramadan, lebih-lebih lagi tiada masa diperuntukkan untuk bersarapan dan makan tengah hari. Masa itu boleh digunakan untuk perkara yang bermanfaat. Selain itu, penyakit hati yang wajib dibuang jauh ialah hasad dengki.

Tidak usahlah kita berdengki tatkala orang lain mendapat nikmat Allah SWT. Begitu juga, buang jauh-jauh penyakit hati suka melihat orang lain bermasalah. Sikap suka membenci orang yang mendapat manfaat dan suka melihat orang lain bermasalah adalah sikap yang sebenarnya menyebabkan seseorang itu tidak berasa tenang dalam hidup. Sedangkan ketenangan adalah penting dalam hidup.

Apabila hati tidak tenang, mulalah timbul fitnah dan mengumpat sesama Islam. Dari penyakit hati berakar umbi menjadi penyakit lidah. Jauhilah penyakit hati dan lidah kerana ia boleh menghancurkan ukhwah dan silaturahim. Masyarakat Islam akan porak-peranda hanya disebabkan penyakit ini. Tidak perlu anasir luar untuk memporak-perandakan Islam, sudah cukup dengan penyakit hati dan lidah.

Islam mengajar kita menjauhi kedua-dua penyakit ini. Sebagai contoh, jika mendengar berita daripada seseorang, periksalah terlebih dahulu dan janganlah terus percaya. Kita bimbang ia adalah fitnah dan boleh memutuskan silaturahim.

Penyakit terakhir yang perlu dielakkan sudah tentunya penyakit melibatkan fizikal iaitu demam, selsema dan batuk. Sering kali padabulan Ramadan, sudah menjadi seperti kemestian penyakit ini berlaku terutamanya kepada anak kecil. Penyakit berjangkit ini biasanya disebarkan melalui udara dan makanan.

Seboleh-bolehnya elakkan membawa kanak-kanak di kawasan yang terbuka dengan dipenuhi orang ramai. Kebersihan persediaan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur wajib diutamakan agar kesihatan kita tidak terjejas.

Bagi perokok pula, seelok-elok belajarlah berhenti merokok kerana pada bulan Ramadanlah merupakan masa yang paling sesuai untuk berhenti merokok. Merokok mahupun menghisap sisha, kedua-dua memberi kesan negatif terhadap kesihatan. Tiada gunanya berhenti apabila keadaan kesihatan terjejas teruk kerana berkemungkinan pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur. Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Ambillah peluang di bulan Ramadan ini untuk membersihkan segala penyakit kerana kita tidak tahu sama ada kita berkesempatan untuk berjumpa lagi dengan bulan Ramadan pada tahun depan. Semoga kita menjadi lebih bertakwa terhadap Yang Maha Esa. Amin.

ROHAMI SHAFIE Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,Pusat Pengajian Perakaunan (SOA),Kolej Perniagaan (COB),Universiti Utara Malaysia Utusan Malaysia Online Forum 22/07/2013

Tags: puasa, ramadhan, rokok
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments