mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan afdal mohon keampunan

Organisasi adalah institusi yang didukung oleh pekerja dan majikan untuk mencapai matlamat berasaskan pengurusan kasih sayang. Ia ibarat rumah kedua bagi pekerja yang perlu dipelihara kesejahteraannya.

Justeru, pada Ramadan ini, setiap amalan juga perlu dihasratkan untuk mencapai kesejahteraan, kejayaan dan keberkatan termasuk kerja. Antaranya melalui amalan berdoa, munajat dan pengharapan.
Ibadat kita kepada Allah SWT dan hanya Dialah memakbulkan segala hasrat serta impian. Malah yang tidak berdoa kepadaNya adalah hamba yang sombong, rugi dan hina.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina. (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Tuntutan berdoa seperti sabda Rasulullah SAW: Keadaan seseorang paling dekat dengan Allah adalah ketika sujud maka perbanyakkanlah doa. (Riwayat Muslim)

Doa adalah senjata bagi orang beriman yang menjadi sumber kekuatan. Dalam bekerja, manusia amat memerlukan kekuatan sama ada jasmani, rohani mahupun mental. Kekuatan bertapak dalam jiwa menyuburkan hati supaya bersih, luhur, ikhlas, cekal, bersemangat dan baik.

Pelihara silaturahim

Majikan dan pekerja yang memiliki kekuatan ini akan berjaya memelihara hubungan silaturahim dengan berkesan iaitu majikan menghargai pekerja, pekerja menghormati majikan, merasa bangga dengan organisasi dan melahirkan semangat, kesungguhan bekerja serta ketaatan kepada Allah SWT.

Namun, kesilapan dan perselisihan juga berlaku di tempat kerja, tempat kita luangkan banyak masa serta tenaga itu sudah tentu banyak kekhilafannya.

Berlaku suasana kerja tidak harmoni disebabkan hubungan antara majikan dengan pekerja seperti kurang bertimbang rasa, tidak bertanggungjawab, panas baran, khianat, hasad, sombong, buruk sangka dan kesalahan lidah seperti mengata, memfitnah dan mengadu domba.

Justeru, wajarnya kita saling berdoa, mendoakan dan bermaafan supaya mendapat keampunan. Dalam banyak perkara yang boleh kita mohon, memohon keampunan paling afdal pada Ramadan.

Saidatina Aishah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang akan baginda pohon sekiranya mendapat malam Lailatul Qadar. Lalu jawab baginda: Aku akan berdoa: Ya Allah Engkaulah Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunilah aku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, selain berdoa untuk keampunan diri sendiri, doakan juga keampunan untuk pekerja dan majikan. Selain itu, ajaran Islam menggalakkan kita saling mendoakan kesejahteraan dan kebaikan antara satu sama lain serta dijauhkan daripada segala keburukan atau kemudaratan.

Sifat majikan dan pekerja saling mendoakan ini perlulah dihebahkan kerana ia akhlak terpuji dan perlu menjadi budaya dalam organisasi.

Doa majikan kepada pekerja dan pekerja kepada majikan adalah suatu ibadat dan pengerat silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya doa itu adalah ibadat. (Riwayat Imam Ahmad)

Terfikirkah jika kita boleh mendoakan saudara Islam yang tertindas, dalam kesusahan dan bergolak di negara lain yang jauh dan tidak dikenali, tetapi mengapa tidak juga mendoakan mereka yang berada di sekeliling lingkungan hidup walaupun mereka dalam keadaan sejahtera.

Justeru, status orang yang berpuasa ditingkatkan Allah SWT darjatnya dan dimakbulkan doanya serta lebih afdal, maka sebaik-baiknya kita merebut peluang ini dengan saling mendoakan kejayaan bersama majikan dan pekerja dalam bulan mulia ini.

Doa tak ditolak

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang puasa ketika berbuka memiliki doa yang tidak akan ditolak. (Riwayat Ibnu Majah)

Ini adalah sunnah Rasulullah SAW mendoakan kaum lain dan sahabat, sahabat juga mendoakan baginda.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Kaum Aslam semoga Allah memberi keselamatan kepada mereka dan kaum Ghifar semoga Allah memberikan keampunan kepada mereka. Bukan aku yang berkata tetapi Allah yang berfirman begitu.

Rasulullah SAW juga berpesan supaya Saidina Umar al-Khattab mendoakan baginda apabila ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Saidina Umar juga memohon Uwais al-Qarni seorang tabiin mendoakannya.

Amalan ini walaupun dilakukan secara senyap dan tidak diketahui pekerja, rakan dan majikan adalah sangat mulia dan daripada apa yang dikisahkan Rasulullah SAW, boleh menjadi penyebab seseorang masuk syurga.

Inilah juga menjadi tanda bagi pengurusan berasaskan kasih sayang yang sangat dianjurkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: Tiga orang yang doanya tidak tertolak, orang yang berpuasa sampai dia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang dizalimi. (Riwayat al-Tirmidzi)

Berita Harian Online Agama 03/08/2013
Tags: ramadhan, silaturahim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments