mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Waspada ancaman akidah umat Islam

BAGAIKAN bergerak mengikut peredaran arus semasa, pelbagai budaya dan fahaman songsong luar baru dilihat kian rancak memasuki segenap penjuru negara dari semasa ke semasa.

Ajarannya bukan sahaja berjaya mempengaruhi mentaliti golongan berpendidikan rendah, tetapi fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam itu dikatakan telah menular kepada golongan berpelajaran dan juga berpengaruh.

Pelbagai usaha telah diambil banyak pihak dalam mengekang ancaman akidah itu dari terus berleluasa, namun malangnya ia seperti tiada noktah dan kesudahan apabila hanya berakhir dengan sia-sia.

Perkara tersebut yang membabitkan isu penyelewengan akidah dan semakin membimbangkan itu dikhuatiri memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu tetapi dipercayai mampu mencetuskan kebinasaan terhadap negara.

Itulah yang diketengahkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Perasmian Seminar Pemurniaan Akidah 2013 di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang meluahkan rasa bimbang dengan keadaan yang berlaku itu berkata, inilah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh badan bertanggungjawab untuk memantau dan mengelakkannya daripada terus berleluasa.


Semua pihak terutama umat Islam perlu bersatu padu dalam menegakkan kesucian Islam. - Gambar hiasan oleh AIZZUL A.MAJID

Ini kerana katanya, sekiranya ajaran-ajaran penyelewengan akidah itu tidak dapat ditangani daripada peringkat akar umbi, ia akan membawa kebinasaan yang serius kepada masyarakat dan berkemungkinan mengancam masa depan negara.

"Jika kita lihat pada masa ini, pelbagai fahaman yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam ahli Sunnah wal Jamaah semakin menular dan kuat dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini yang merupakan serangan terbesar umat Islam dilihat semakin bahaya kerana sudah hampir sampai kepada tahap teras.

"Apabila, serangan ke tahap teras yang dirancang secara halus oleh golongan-golongan sesat ini berjaya dilakukan, maka mati dan rosaklah keseluruhan pohon (individu) yang terasnya telah dipengaruhi dengan fahaman tersebut," katanya.

Bukan sahaja menyelewengkan akidah individu, malah Wan Zahidi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan pelampau ini boleh bertindak ganas dengan menubuhkan pasukan militan.

"Antaranya apa yang kita bimbang adalah kumpulan ini jika dibiar mengembangkan pengaruh, ia akan bertindak ganas sebagai contoh fahaman Syiah yang turut dikhuatiri akan menubuhkan pasukan militan yang berkemungkinan memberi ancaman terhadap negara," ujar beliau.

Justeru, Wan Zahidi yang juga Pengerusi Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berharap perkara itu dapat dibendung melalui pendedahan dan merungkai kekeliruan akidah dalam kalangan masyarakat dari peringkat awal.

Seminar sehari anjuran Jabatan Mufti Wilayah dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (Yapeim) itu bertujuan memberi pencerahan dan pendedahan mengenai kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar dan menjelaskan implikasi aliran sesat kepada akidah dan bahayanya kepada masyarakat.

Seminar bertemakan 'Manhaj Quran dan Sunah dalam Memelihara Akidah itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin. Turut serta Wakil Yapiem, Mohd Yusof Abd Rahman dan Mufti Sabah, Aziz Jaafar.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan pada seminar itu disampaikan oleh tokoh pemikir Islam antarabangsa dari Lubnan dan Australia.

Pada majlis sama, Razali turut menyempurnakan pelancaran buku berjudul Melihat Dari Jendela Islam tulisan Wan Zahidi dan Islam dan Pluralisme Agama oleh Dr. Khalif Muammar A. Harris.

Punca perbalahan

Dalam pada itu, seorang pembentang, Dr. Syeikh Jamal Saqr al-Husainiyy dalam kertas kerjanya bertajuk, 'Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan yang Terselamat' berkata, pergolakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat sehingga mengorbankan ribuan nyawa dipercayai adalah disebabkan wujudnya perbezaan fahaman oleh golongan pelampau.

Ia menurutnya berlaku apabila penyebaran fahaman sesat yang menghalalkan pertumpahan darah dan melakukan apa saja demi menyebarkan pengaruh dan kuasa mendapat semakin kukuh di negara tersebut sehingga tidak dapat dibendung.

"Cubaan untuk menyebarkan ajaran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah ini berlaku di seluruh dunia. Golongan ini cuba menyesatkan umat Islam dalam apa cara sekali pun sehingga menghalalkan darah manusia yang tidak ingin mengikuti fahaman mereka.

"Sasaran kumpulan ini adalah kepada golongan berpengaruh seperti para pemimpin. Jika tidak berjaya, mereka sanggup menghasut rakyat untuk memberontak bagi menggulingkan kerajaan kerana tidak mengikut petunjuk mereka.

"Inilah yang berlaku di beberapa negara Islam di Asia Barat yang sedang mengalami pergolakan hanya disebabkan perbezaan fahaman sehingga mengakibatkan ribuan nyawa tidak berdosa terkorban," katanya.

Tambah pensyarah, Universiti al-Masyari al-Khairiyyah al-Islamiyyah, Beirut, Lubnan itu, diibarat bom jangka, golongan sesat yang berselindung di sebalik nama Islam dan jihad ini menyebarkan fahaman mereka bukan kerana ajaran sahaja tetapi untuk mendapatkan kuasa.

"Fahaman mereka ternyata jauh berbeza dan sebaliknya dengan ajaran Islam sebenar yang menitikberatkan kesederhanaan dan berkasih sayang. Dan mereka ini adalah golongan yang menentang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Ia dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: "Ketahuilah bahawa orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada 72 kumpulan dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 (kumpulan), 72 daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah. (riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)," katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di Malaysia terus berpegang teguh dengan kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jamaah demi mengekalkan keamanan di negara ini.

"Menjadi kewajipan kepada para ulama dan badan yang bertanggungjawab untuk terus memantau perkembangan fahaman dan ajaran sesat selain Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada terus berleluasa di negara ini.

"Di samping itu, kita juga harus memperbetulkan kembali akidah golongan yang telah terpesong daripada jalan kebenaran agar ia tidak menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara ini suatu hari nanti," katanya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/08/2013
Tags: akidah, jamaah, sunnah, syiah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments