mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Terlalu kejar harta dunia punca berpecah

Sudah lebih seminggu umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu dan menahan daripada melakukan perkara yang dilarang sepanjang Ramadan.

Kesempatan menyambut Syawal bersama keluarga dan rakan semestinya menggembirakan, lebih-lebih lagi agak sukar berkumpul beramai-ramai. Namun perbualan selalunya berkisar berkenaan duit, gaji, pangkat, bonus raya, kereta baru, pelaburan dan sebagainya.

Bagi yang lebih berani pula akan bertanya mengenai bayaran sebulan untuk kereta dan rumah. Tidak ketinggalan juga pertanyaan mengenai bayaran untuk taska, tadika dan transit anak. Agak merimaskan juga sebenarnya bila diaudit sebegini.

Sikap ini tidak hanya terhad kepada orang muda, malah orang yang sudah tua juga bersikap demikian.

Sikap pilih kasih

Ada juga datuk dan nenek yang melebihkan cucu yang digemari dengan memberi lebih duit raya berbanding cucu lain. Sikap pilih kasih ini jika berterusan diamalkan, akan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang. Apa salahnya memberikan layanan yang sama antara semua anak dan cucu?

Sikap membezakan antara anak dan cucu ini akan menyebabkan ada antara mereka yang kurang gemar pulang ke kampung bila tiba Hari Raya. Mereka akan sentiasa mencari alasan agar tidak perlu pulang ke kampung pada Hari Raya.

Rasanya tidak keterlaluan jika seluruh kehidupan kini berkisar mengenai kebendaan. Perkara ini akan menyebabkan suburnya budaya berhutang semata-mata untuk kelihatan berduit.

Contoh yang biasa adalah peralatan dan gajet telefon terkini yang cara mudah mendapatkannya adalah belian menggunakan kad kredit.

Jika seseorang berhutang dengan ceti haram, seluruh kehidupan keluarganya menjadi porak peranda kerana asyik ketakutan dikejar Ah long dan konconya. Harus juga diingat budaya kebendaan dalam masyarakat juga menyebabkan rasuah berleluasa.

Rasuah berleluasa

Rasuah adalah cara yang mudah untuk menjadi kaya. Persoalannya, mengapa ada di kalangan orang Islam yang mengambil rasuah walhal perkara ini dilarang keras.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya.” (al-Baqarah ayat 188)

Duit haram hasil mengambil rasuah yang diberi makan kepada anak dan isteri, akan menjadi darah daging mereka. Maka tidak hairanlah kita dapati anak semakin nakal dan tidak mendengar cakap ibu bapa.

Mangsa skim cepat kaya

Seperkara lagi adalah skim cepat kaya. Memang terdapat banyak skim cepat kaya yang hanya menunggu mangsa untuk diperdayakan. Semuanya berpunca kerana keinginan untuk menjadi kaya dengan cepat agar dipandang tinggi oleh masyarakat.

Kes curi, meragut dan merompak juga semakin hari semakin berleluasa. Ia berpunca daripada sikap masyarakat yang terlalu mengejar kebendaan. Memang tidak dinafikan wang adalah penting untuk kelangsungan hidup, namun ia bukanlah segala-galanya.

Jangan terlalu mengejar harta dan pangkat agar dipandang tinggi oleh masyarakat. Apa yang lebih penting adalah pandangan Allah SWT terhadap diri kita.

Berita Harian Online Agama 17/08/2013
Tags: harta, rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments