mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rumah terbuka kena ikut bajet bukan untuk bermegah

Dalam mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri, tidak dinafikan terdapat segelintir individu yang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Ada yang mengambil kesempatan untuk mempamerkan perabot-perabot baru, pakaian yang mewah-mewah, dan barang perhiasan yang mahal-mahal untuk tatapan para tetamu yang hadir.

Apabila para tetamu yang hadir memuji kemewahan dan kecantikan perhiasan yang dimiliki oleh seseorang penganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri itu, dia akan mula merasa megah dan tinggi diri dengan pujian tetamu yang hadir sehinggakan lupa untuk mengembalikan pujian itu kepada Allah s.w.t.

Adakan rumah terbuka untuk bermegah

Mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri dengan tujuan untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga diri adalah jelas dilarang oleh Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)” (Surah al-Qasas ayat 76).

Oleh itu, dalam mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri ini, setiap umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah s.w.t. seperti bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.

Bagi golongan yang berkeinginan untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi tujuan meraikan sanak saudara dan sahabat handai, tetapi bajetnya tidak seberapa, mereka bolehlah mengadakannya mengikut kemampuan yang ada atau secara sederhana.

Islam tidak menolak apa-apa saja yang dianggap baik, asalkan tidak bertentangan dengan syarak. Dalam hal ini, janganlah kerana terlalu ingin bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dalam mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, seseorang yang kurang bajet itu sanggup berhutang.

Jangan sampai berhutang adakan rumah terbuka

Dalam hal ini, kita tidak perlu malu dan segan kerana tidak mampu untuk menyediakan juadah setanding seperti orang lain. Janganlah sampai ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang akhirnya mencipta hutang baru sedangkan hutang lapuk masih belum dilangsaikan.

Sebaik-baiknya majlis rumah terbuka Aidilfitri hendaklah dianjurkan mengikut kemampuan masing-masing, besederhana dan tidak membazir. Untuk mengelakkan pembaziran, penyediaan juadah makanan perlu disesuaikan dengan jumlah tetamu yang dijemput.

Sebagai nasihat kepada para penganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri ini, mereka hendaklah mempunyai niat yang murni iaitu untuk bersedekah, mengeratkan hubungan silaturrahim dengan ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai; dan untuk menghubungkan kembali talian persaudaraan yang mungkin telah lama terhakis atau renggang.

Di samping itu, janganlah sama sekali lupa menjemput golongan yang tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah kebakaran, kehilangan orang tersayang. Kadangkala dalam kerancakan dan keghairahan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, kita terlupa menjemput jiran tetangga dan orang miskin yang tinggal di sekeliling kita.

Carilah rahmat dan keberkatan Allah s.w.t sepanjang Syawal ini. Hindarilah daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang boleh merosakkan harmoninya sesuatu penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri ini. Bukan kekenyangan dan kemegahan yang didambakan melainkan lindungan dan syafaat Allah s.w.t yang berkekalan.


Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang. Berita Harian Online Agama 19/08/2013
Tags: rumah terbuka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments