mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahami fakta hujah isu kalimah Allah

KALIMAH Allah merupakan antara isu sensitif yang membelenggu umat Islam negara ini yang rata-ratanya masih tidak faham mengapa dan apa tujuan pihak tertentu mahu menterjemahkan 'tuhan' mereka kepada kalimah suci tersebut.

Lebih pelik, mengapa perlu adanya terjemahan bahasa Melayu sedangkan penganut agama tersebut rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dalam urusan harian, sehingga ada yang tidak fasih bahasa kebangsaan.

Melihat kembali isu kepala lembu yang dikatakan sensitif kepada penganut Hindu, tindakan tegas diambil dan begitu juga dalam kes melibatkan gereja Kristian, hal-hal agama Buddha dan lain-lain agama tetapi berbeza pula dalam hal-hal berkaitan Islam sedangkan Perlembagaan Negara meletakkan Islam di kedudukan tertinggi.

Sudah tentu puncanya penguatkuasaan yang lemah dan perpecahan umat Islam sendiri tetapi mengapa sensitiviti orang Islam yang menjadi kumpulan majoriti di negara ini terus menerus dipermainkan atas alasan hak bersuara, hak asasi, kesamarataan dan sebagainya?

Jika di negara Islam lain, adakah golongan yang mempermainkan sensitiviti agama Islam ini berani bertindak sejauh itu tanpa mempedulikan perasaan mahupun risau akan tindak balas yang mungkin diambil sedangkan mereka ini mungkin hanya mewakili suara minoriti penganut agama-agama lain.

Walaupun umumnya ramai yang semakin hilang keyakinan terhadap orang politik khususnya pemimpin yang kononnya memperjuangkan Islam, umat Islam di negara ini masih cuba mengelakkan sebarang kekerasan dalam melindungi kesucian agama mereka.

Selaku masyarakat Timur, orang Melayu yang terkenal dengan santun dan sabar masih cuba menggunakan cara lembut menegaskan kepada semua pihak melalui asas dan fakta bahawa perkara-perkara sensitif bagi orang Islam tidak wajar dibangkitkan secara terbuka.

Ketua Penerbitan dan Penyelidikan, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Mohamed Ajmal Abdul Razak Al-Aidrus memilih mengemukakan hujah penuh isu tersebut dari pelbagai sudut melalui buku yang diterbitkannya pada Mei lalu.

Menurut beliau, antara hujah utama kononnya penggunaan kalimah Allah bermula 400 tahun lalu dalam kitab Injil dan gereja di negara ini tidak boleh diterima pakai kerana ketika itu merupakan era penjajah yang zalim.

"Ketika itu mereka penjajah, tidak pernah minta kebenaran orang Islam dan kita juga tidak pernah berikan kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian. Sama juga kesnya di Sabah dan Sarawak yang turut dijajah dan tiada kebenaran.

"Tidak kira 400 tahun atau berapa lama sekalipun, faktanya mereka tidak pernah mendapat kebenaran orang Islam tetapi sebagai penjajah ketika itu, tentu mereka boleh melakukan sesuka hati dalam bermacam perkara," tegasnya.

Beliau turut menempelak pihak yang mendakwa tiada bukti wujudnya usaha mengkristiankan orang Islam di negara ini bagi mengelak dikaitkan dengan isu kalimah Allah kerana banyak bukti telah direkodkan dan ada dinyatakan dalam buku tulisannya itu, 'Mencari Nama Tuhan; Penganut Kristian dan Hak Penggunaan Kalimah Allah.'

Tambahnya, cubaan memutar isu tersebut sebagai mengongkong dan tidak membenarkan mereka menjalankan ibadat seperti dalam Artikel 11 Perlembagaan Negara juga karut kerana orang Islam cuma tidak benarkan penggunaan kalimah-kalimah yang berkaitan dengan agama Islam sahaja.

"Ada juga mahu berhujah orang Arab benarkan guna kalimah Allah tetapi masalahnya penganut Kristian di negara ini tidak gunakan bahasa Arab (dalam urusan harian), orang Melayu sahaja yang gunakan Allah dan kalimah itu ada satu makna sahaja di Malaysia.

"Seperti di Sabah dan Sarawak, kalimah Allah digunakan untuk mengelirukan orang ramai, seterusnya mengkristiankan mereka yang tidak memahami perbezaannya (Allah dalam al-Quran dan Injil)," dakwanya.

Beliau menolak saranan mengikut cara negara Arab dan Indonesia membenarkan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam kerana sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak mempunyai pendirian sendiri bersesuaian dengan situasi dalaman negara dan tidak perlu mengikut cara orang lain.

Beliau juga mempersoalkan kenapa kalimah Allah mahu digunakan agama lain kerana tiada agama di dunia ini yang tidak mempunyai nama khusus untuk tuhannya sehinggakan perlu meminjam nama tuhan daripada agama lain.

"Di India, tiada pula mahu pinjam nama tuhan penganut Hindu. Dalam anutan Kristian sebenarnya ada nama-nama khas tuhan seperti Yahwah, Eli Eli dan Eloi yang digunakan. Tuhan (God) tidak pernah ada terjemahan, perkataan 'Lord' pula membawa makna 'tuan'.

"Semua agama adalah berkenaan tuhan, bagaimana pula Kristian tiada nama khas untuk tuhan mereka? Ini bukan masalah tidak boleh teruskan ibadat jika tidak dapat gunakan kalimah Allah, ini masalah linguistik," katanya.

Mohamed Ajmal mendakwa pernah dimaklumkan bahawa pihak Vatican juga tidak setuju menggunakan kalimah Allah sedangkan pihak yang membangkitkan isu tersebut mungkin tidak mewakili suara majoriti orang Kristian Katolik di negara ini sementara Kristian Protestan hanya mendiamkan diri.

"Saya tidak tahu berapa ramai daripada sembilan peratus penganut Kristian Malaysia yang menyokong usaha ini tetapi banyak gereja (di negara ini) mencadangkan agar gunakan nama asal tuhan mereka dalam bahasa Aramic sahaja.

"Kita tidak mahu perkara lebih buruk berlaku kerana saya rasa ada niat tidak baik dalam tuntutan ini seperti sengaja dijadikan isu dan mencari pasal dengan orang Islam. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu lebih tegas, kerajaan pula perlu peka kehendak rakyat khususnya umat Islam dalam isu sebegini," ujarnya.

Orang ramai yang mahu membaca hujah penuh mengapa kalimah Allah hanya untuk orang Islam boleh mendapatkan buku 'Mencari Nama Tuhan; Penganut Kristian dan Hak Penggunaan Kalimah Allah.' di ISTAC, UIAM; menempah melalui emel kalimahAllah2013@gmail.com atau menghubungi talian 011-23353785.



NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/08/2013
Tags: allah, kalimah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments