mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bertindak bijak hadapi provokasi musuh

Rakyat bertanggungjawab kekalkan kemerdekaan selepas dibelenggu penjajah

Hari raya masih diraikan dengan meriah di seluruh negara dan jemputan rumah terbuka bersusun untuk dipenuhi. Bulan ini juga kita akan menyambut hari kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, iaitu wujudnya gabungan Persekutuan Tanah Melayu berserta Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Malaysia.

Kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957, menandakan pembebasan daripada belenggu penjajah yang silih berganti sejak 1511 iaitu kejatuhan Empayar Melaka kepada Portugis.

Tanah Melayu seperti dikenali pada zaman dulu pernah menjadi pusat dagangan terkenal dan bahasa Melayu pada suatu ketika pernah menjadi bahasa pertuturan pedagang.

Melaka pusat sebaran Islam

Menurut sejarah, Empayar Melaka pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam di Nusantara sejak pengislaman Kesultanan Melayu Melaka dan diikuti hamba rakyat pada ketika itu.

Sejak itu sistem perundangan Islam sudah diambil dalam sebahagian besar sistem perundangan di Melaka seperti yang boleh disemak semula dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka.
Tanah Melayu telah menggunapakai sistem perundangan Islam sejak sebelum Empayar Kesultanan Melayu Melaka berikutan penemuan undang-undang syariah yang tertulis di Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu dengan tarikh sebelum pengislaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh disangkal lagi.

Namun, bermula dengan kejatuhan Empayar Melaka di tangan Portugis, kemudian Belanda, selanjutnya British, Jepun sebelum British mengambil alih semula, sistem perundangan dan pentadbiran Tanah Melayu berubah mengikut acuan dan gaya penjajah yang memerintah silih berganti selama beratus tahun.

Perundangan berasaskan syarak dilupakan

Sistem perundangan berasaskan hukum syarak telah dilupakan. Berkat kesatuan seluruh rakyat, kemerdekaan dicapai melalui meja rundingan tanpa berlakunya pertumpahan darah seperti di negara lain.

Kemerdekaan harus bererti kita bebas daripada cengkaman penjajah baik dari aspek sistem pemerintahan mahupun acuannya. Atas desakan rakyat juga, Perlembagaan Persekutuan yang didrafkan oleh orang asing melalui Suruhanjaya Cobbold telah dipinda sebelum diluluskan dengan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan peruntukan itu kekal sehingga kini.

Peruntukan ini penting dalam usaha mengembalikan sistem pemerintahan dan perundangan secara Islam seperti yang pernah diguna pakai sebelum kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Setelah 56 tahun merdeka, sistem berasaskan syariah diterapkan walaupun belum secara keseluruhan.

Kewujudan Mahkamah Kadi yang kemudian berkembang menjadi Mahkamah Syariah yang lebih moden membuktikan usaha mengembangkan Islam lebih baik. Adalah diharapkan perkembangan ini akan berterusan dan pemimpin memberi perhatian kepada pemeliharaan agama Islam.

Khususnya menambah baik sistem yang ada sekarang ke arah sistem menurut hukum syarak yang dituntut Islam dan diperintahkan dalam kitab al-Quran.

Cabaran kekalkan kemerdekaan

Cabaran mengekalkan kemerdekaan juga adalah satu tugas berat dan memerlukan perhatian serius. Begitu juga usaha mengembalikan zaman kegemilangan Islam di Nusantara dan di Malaysia.

Kemerdekaan bukan jaminan kepada kemerdekaan selama-lamanya. Akhir-akhir ini kita dihidangkan dengan tindak-tanduk yang menghina agama, memperlekehkan Islam dan anasir memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Usaha harus digembleng bagi menguatkan Islam dan umatnya supaya bersatu padu menangani usaha menjatuhkan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan dengan memecahbelahkan umatnya baik dari luar atau dalam.

Empayar Islam Melaka jatuh akibat antara faktornya ialah perpecahan dalam kalangan orang Melayu Islam ketika itu yang memudahkan Portugis memperoleh maklumat sebelum memulakan serangan. Kita tidak mampu untuk mengulangi dan melalui semula zaman kejatuhan itu.

Serangan hari ini lebih berbentuk psikologi dan provokasi yang mana jika kita tidak bijak menanganinya, akan mudahlah musuh mengambil kesempatan. Ilmu harus menjadi keutamaan untuk memperjuangkan Islam yang lebih baik dan adil, bukan kekuatan fizikal secara melulu.

Kita tidak mahu Islam dilabel dan dikaitkan dengan keganasan. Islam harus diperjuangkan secara bijaksana dengan memberi contoh yang baik untuk diikuti, bukan sekadar melalui amalan ritualnya saja.

Kebijaksanaan dan contoh yang baik untuk diikuti adalah senjata paling ampuh masa kini untuk mengekalkan kemerdekaan dan meletakkan agama Islam di tempat yang tertinggi.

Semoga bulan kemerdekaan ini direnungi dengan keinsafan dan semangat yang baik. Fahami dan hayati erti kemerdekaan sebenar dan jangan lupakan sejarah bahawa Islam pernah menjadi sistem pemerintahan yang dikagumi ramai. Semoga kita dapat mengembalikan kegemilangan itu.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Berita Harian Online Agama 21/08/2013
Tags: bijak, merdeka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments