mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memuktamadkan isu kalimah Allah

ISU penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam kembali mengambil tempat di dada-dada akhbar. Ini disebabkan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Tarikh 22 Ogos lalu merupakan detik penting bagi umat Islam. Tarikh tersebut ditetapkan bagi mendengar permohonan sebuah Gereja Katolik bagi mengenepikan rayuan pihak kerajaan di dalam kes larangan penggunaan kalimah suci Allah di dalam penerbitan Bahasa Melayu buletin gereja tersebut.

Permohonan pengenepian rayuan dibuat atas alasan terdapat surat yang ditulis oleh Perdana Menteri kepada Majlis Gereja Malaysia yang antara lain membenarkan penerbitan Bible berbahasa Melayu/Indonesia di Malaysia.

Oleh itu, pihak gereja berpendapat bahawa secara tersiratnya Kerajaan membenarkan pihak gereja menggunakan kalimah suci tersebut di dalam buletin mereka yang dikeluarkan secara berkala.

Umat Islam berasa lega dan bersyukur kerana pada tarikh tersebut juga panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya telah membuat keputusan menolak permohonan pihak gereja tersebut.

Hal yang demikian memberi kesan bahawa rayuan induk kes ini akan didengar pada 10 September ini.

Selain daripada pihak gereja dan pihak Kerajaan, terdapat enam Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) telah mencelah dan menentang penggunaan kalimah suci tersebut digunakan oleh orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama mereka.

Majlis-majlis agama Islam tersebut adalah dari negeri Trengganu, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka.

Apa yang menariknya, semasa perbicaraan galeri awam mahkamah dipenuhi oleh orang awam.

Malah ramai yang tidak dapat masuk menyaksikan perbicaraan tersebut kerana kesesakan.

Masyarakat Islam amat gusar dengan keputusan kes ini yang dilihat akan menghakis kedaulatan Islam serta kedudukan istimewa Islam di Malaysia.

Sebagai salah seorang peguamcara yang mewakili salah sebuah majlis agama yang berkenaan, saya amat bersyukur dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya tersebut.

Saya juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Majlis Majlis Agama Islam yang dinamakan di atas kerana turut serta di dalam perbicaraan rayuan kes ini.

Yang lebih menarik lagi ramai orang awam yang hadir memberi sokongan kepada kami barisan peguam semasa berhujah dan selepasnya.

Namun keputusan pada 22 ogos tersebut bukanlah segalanya. Rayuan induk kes ini masih lagi belum diputuskan dan ia dijadualkan pada 10 September kelak.

Saya tidak berhasrat untuk membincangkan merit kes ini dalam ruangan ini kerana khuatir akan menjadi subjudis kepada rayuan.

Namun, apa yang lebih penting selain persediaan rayuan tersebut oleh para peguam ialah pemahaman sepenuhnya tentang implikasi kepada keputusan kes berkenaan.

Jika rayuan induk dibenarkan ia akan membawa maksud orang bukan Islam dilarang daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada agama mereka. Manakala sekiranya rayuan pihak kerajaan dan tujuh yang lain ditolak maka orang Katolik bebas menggunakan kalimah Allah di dalam buletin mereka.

Oleh yang demikian tarikh 10 September 2013 lebih kritikal bagi umat Islam bagi menentukan sama ada pihak gereja dapat mengekalkan keputusan yang mereka peroleh di Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Lau Bee Lan tersebut membenarkan pihak gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berkala buletin mereka.

Bagi kami barisan peguam, segala usaha yang wajar akan digemblengkan bagi memenangi rayuan ini. Manakala bagi umat Islam yang lain pula kami mohon dititipkan doa kepada Allah SWT bagi kemenangan umat Islam.

Mudah-mudahan kejayaan menyebelahi agama Allah ini. Allah yang tidak beranak atau diperanakkan, yang tidak mempunyai bapa ataupun anak.




ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui e-mel di zainulrijal @abubakar.my Utusan Malaysia Online Bicara Agama 29/08/2013

Tags: allah, kalimah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments