mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pembunuh tiada alasan pada Hari Pengadilan

Diharamkan kecuali pertahan diri, harta dan kehormatan

Manusia adalah binaan Allah SWT yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Oleh itu, tiada siapapun dibenarkan untuk menghancurkan binaan ini atau membunuh dirinya sendiri, apatah lagi menjadi pembunuh bagi mengambil tugasan Allah SWT melainkan dengan cara dibenarkan agama.

Sabda Baginda SAW: “Tidak halal darah seorang Muslim melainkan tiga cara, penzina yang sudah beristeri, pembunuh dan orang yang murtad.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadis Qudsi menyebut: “Hamba-Ku yang memusnahkan dirinya sendiri, akan Ku haramkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hanya Allah SWT sebagai empunya binaan yang berhak berbuat demikian. Baginda SAW bersabda pada penghujung hayatnya: “Sesungguhnya darah, harta dan kehormatan sesama Islam adalah haram.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengharaman Allah SWT terhadap pertumpahan darah sudah menjadi tradisi sejak zaman Bani Israel terdahulu. Allah SWT menegaskan kisah ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kerana yang demikian itu, Kami mengharamkan kepada kaum Bani Israel lagi bahawa sesiapa yang membunuh satu jiwa, maka seolah-olah dia membunuh seluruh manusia.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Maka, kedudukan pembunuh akan sentiasa dalam keadaan yang rugi seperti apa yang dipaparkan Allah SWT melalui kisah dua anak Adam iaitu Qabil dan Habil dalam al-Quran.

Dibenar atas tiga sebab

Bukan saja pembunuh mendapat kecaman daripada Allah SWT, malah Baginda SAW juga menempelak mereka yang membantu serta mendorong berlakunya pembunuhan serta pertumpahan darah.

Sabda Baginda SAW: “Jika seluruh penduduk bumi bersekongkol untuk menumpahkan darah seorang mukmin, nescaya Allah akan campakkan mereka ke dalam neraka.” (Riwayat Tirmizi)

Menunjukkan bahawa merancang, membantu atau memberi upah, akan menerima hukuman daripada Allah SWT. Islam hanya membenarkan pembunuhan berlaku atas dasar mempertahankan diri, harta benda atau kehormatan kerana ketiga-tiga sebab itu asas kepada jatuh bangun jiwa bebas merdeka.

Datang seorang lelaki bertanyakan Rasulullah SAW: “Jika seseorang masuk ke rumahku dan ingin merampas hartaku? Jawab Baginda SAW: “Jangan kamu serahkan hartamu kepadanya. Lelaki itu menjawab: Jika dia membunuhku atau sebaliknya? Jawab Baginda SAW: Jika kamu terbunuh, kamu mendapat syurga atau jika kamu dapat membunuhnya, dia akan ke neraka.” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Mereka yang melakukan apa saja perbuatan akan tetap mendapat pengadilan Allah SWT sama ada baik atau sebaliknya. Inilah tujuan Allah SWT mewujudkan hari pengadilan untuk mereka yang melakukan kesalahan di dunia terlepas daripada pengadilan.

Maka pada hari akhirat, tatkala bertemu Allah SWT, orang yang dibunuh akan bertanya: “Wahai Tuhanku, tanyalah orang itu kenapa aku dibunuh? Maka pembunuh tidak dibenarkan berkata-kata lalu mereka dicampakkan ke dalam api neraka kerana tiada alasan kukuh yang membenarkannya”.

Peristiwa terbaru yang masih hangat diperkatakan ialah pertumpahan darah yang berlaku di Mesir. Sebuah negara yang menghasilkan ilmuwan terkenal seperti Imam Laith Bin Saad yang disifatkan oleh Imam Syafie sebagai ilmuwan tersohor, ahli hadis iaitu Abdullah Bin lahua’h.

Tempat yang pernah dikunjungi oleh nabi dan rasul antaranya Nabi Ibrahim, Yusuf, Musa dan Harun yang dilahirkan di sana, Yusa’ Bin Nun, Khidir dan Nabi Ayub. Semuanya pernah hidup di sana dan sebahagiannya wafat di sana.

Jika kita menyebut Mesir, maka ia mengingatkan kita Kaabah dan Baitullah. Saidina Umar pernah mengarahkan wakilnya di Mesir untuk membuat kelambu Kaabah. Ia berlalu sehingga beratus tahun hinggalah pemerintahan bertukar pada masa kerajaan Mamalik.

Pusat kekuatan Islam

Allah SWT menyebut negeri Mesir dalam empat fasa dalam al-Quran. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dikatakan kepada Yusuf, masuklah ke negeri Mesir nescaya kamu mendapat keamanan.” (Surah Yusuf, 99)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berkatalah orang Mesir yang membelinya, semoga kita dapat manfaat atau jadikan dia seorang anak yang baik.” (Surah Yusuf, ayat 21).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya Harun agar menjadikan Mesir sebagai tempat tinggal mereka dan mendirikan solat.” (Surah Yunus, ayat 87)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka Firaun berkata, bukankah aku adalah raja negeri Mesir.” (Surah Zukhruf 51). Menunjukkan bahawa negeri yang menjadi kebanggaan Firaun dan dia tidak memilih negeri yang lain disebabkan kelebihan yang ada kepada negeri itu.

Secara tidak langsung juga Allah SWT menyebut Mesir pada 30 tempat sebagai menyatakan kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT bermaksud: “Maka masuklah Musa ke dalam sebuah bandar (dalam negeri Mesir) ketika penghuninya sedang berehat.” (Surah al-Qasas, ayat 15)

Selepas Allah SWT membebaskan Mesir daripada kezaliman Firaun, maka Allah SWT mengkhusus negeri Mesir dalam firman-Nya bermaksud: “Betapa banyaknya kamu tinggalkan taman indah dan mata air serta tanaman hijau serta kedudukan yang tinggi.” (Surah Dukhan, ayat 25)

Baginda SAW pernah berwasiat kepada orang Mesir dan penduduknya dalam sabda Baginda: “Apabila kamu membuka negeri Mesir, maka berbaiklah dengan ahlinya kerana mereka mempunyai kehormatan dan keunggulan.” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, Mesir adalah tempat lahirnya pejuang, ilmuwan dan kekuatan agama Islam. Keberkatan juga terdapat pada buminya serta penghuni negeri itu. Pertumpahan darah yang berlaku di sana adalah sesuatu yang menyedihkan kita semua walau apa saja alasan diberikan.

Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama di NSTP Berita Harian Online Agama 01/09/2013
Tags: adil, bunuh, hukum
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments