mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kukuhkan iman, takwa di jiwa ahli keluarga

Pelbagai jenis gejala negatif yang cukup menakutkan mewarnai masyarakat kita hari ini seiring peredaran zaman yang semakin canggih. Masalah sosial mencerminkan masyarakat yang tergelincir ke arah kepincangan ekoran tidak mematuhi perintah agama.

Umat Islam sepatutnya kaya dengan kasih sayang dan tidak suka menzalimi orang lain. Malah, sentiasa terpanggil untuk menolong pihak yang teraniaya kerana yakin balasan Allah SWT akan tiba jika kita enggan menolong orang yang teraniaya.

Penegasan Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi bermaksud: “Demi kemuliaan dan keagungan-Ku. Pasti akan Kubalas si penganiaya cepat atau lambat, dan pasti akan Kubalas orang yang melihat seseorang teraniaya tetapi ia tidak menolongnya padahal ia mampu melakukannya.” (Hadis qudsi riwayat At-Tabrani bersumber daripada Ibnu Abbas).

Perasaan kasih sayang dipupuk bermula di rumah kerana rumah tempat paling awal seseorang itu menerima didikan. Apabila asuhan dan kawalan yang longgar, menyebabkan anak mudah terperangkap dalam kancah tidak bermoral yang pasti menyalahi syariat agama.

Didikan agama sempurna kepada ahli keluarga

Lantaran itulah, Islam memerintahkan supaya ketua dalam rumah tangga (ibu atau bapa) memberi suluhan agama dengan sempurna dan berkesan, menetapkan disiplin yang telah digariskan dalam Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Memelihara diri dan keluarga seluruhnya daripada sentuhan ngeri api neraka adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan kerana kelalaian memenuhi tanggungjawab itu akan mengakibatkan tercetusnya perlanggaran terhadap batas syariat Islam.

Semua ini tentu saja akan menempah tempat dalam neraka yang penuh kesengsaraan yang memang tidak tergambar.

Tanggungjawab utama adalah menyuburkan jiwa ahli keluarga dengan siraman keimanan dan pembuktiannya ialah melakukan segala suruhan Allah serta menjauhi larangan-Nya terutama menegakkan solat fardu penuh kesabaran.

Suruhan mengerjakan solat

Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat apabila usia mereka meningkat tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka meninggalkannya) apabila usia mereka meningkat sepuluh tahun dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila solat sudah menjadi sebati dalam kehidupan anak, maka sesungguhnya solat mereka itu dapat mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar.

Ketekunan mengerjakan solat bermakna jiwa selalu mengingati Allah sekali gus menambah kemantapan iman di dada sehingga lahirlah sebagai seorang manusia yang berakhlak mulia, dirahmati serta dikasihi Allah serta terhindar daripada azab neraka di akhirat.

Apabila semua keluarga menjalankan peranan masing-masing dengan baik dan penuh insaf serta rasa tanggungjawab, nescaya keruntuhan akhlak remaja dan muda-mudi dalam masyarakat kita tidaklah seburuk apa yang terjadi sekarang.


Mohd Adid Abd Rahman Berita Harian Online Agama 03/09/2013
Tags: iman, solat, takwa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments