mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kepentingan guna akal dalam buat keputusan

Ulul albab bertindak bijak memanfaatkan fikiran, ilmu

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Sheikh Abdul Rahman bin Nasir As’adi dalam tafsirnya menghuraikan bahawa orang yang berakal sempurna atau ulul albab ialah pemilik akal yang bersih dan bijak. Mereka mengutamakan yang tertinggi daripada yang terendah, mementingkan ilmu daripada kejahilan dan mentaati Allah daripada menentang-Nya.
Mereka mempunyai akal yang memandu untuk melihat kesan yang berlaku pada masa akan datang di mana ia berbeza dengan orang yang tidak menggunakan akal dan menjadikan nafsunya sebagai Tuhan.

Imam Syarawi pula berpendapat ulul albab ialah pemilik akal yang berfikir, mengkaji apa yang dapat dirasakan dan membuat pemerhatian terhadap tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Ini dapat dibuktikan dengan kurniaan pancaindera kepada manusia yang berfungsi untuk mengesan rangsangan di mana akal akan menyaring maklumat sama ada maklumat itu baik atau buruk dan memilih melalui pendengaran, penglihatan atau melalui deria bau.

Kemudian akal yang akan menimbang untuk membuat keputusan memilih, mana baik dan mana buruk. Sudah tentulah akal sejahtera akan memilih yang baik atau jika ada pilihan, pasti dipilihnya daripada yang paling berfaedah dan bermanfaat.

Kepentingan berfikir

Islam agama menekankan kepentingan berfikir dan menggunakan akal secara murni kerana Islam agama yang benar dan mempunyai segenap bukti kebenaran ajarannya. Sesungguhnya, dalam hidup ini banyak perkara yang boleh difikirkan melainkan berfikir mengenai zat Allah SWT kerana ia di luar kemampuan kotak pemikiran manusia.

Antara yang boleh difikirkan manusia ialah nikmat Allah SWT yang cukup banyak disediakan dan dikurniakan kepada manusia. Sabda Rasulullah SAW: “Berfikirlah kamu mengenai nikmat-nikmat Allah, jangan kamu berfikir berkenaan zat Allah.” (Majma’ Azwaaid)

Satu perkara lagi ialah berfikir penciptaan Allah yang Maha Hebat berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imran, ayat 191)

Berhubung berfikir mengenai Allah SWT, seseorang itu dapat merasakan betapa hebat ciptaan Allah SWT apabila mereka melihat Allah SWT menurunkan hujan, menumbuhkan rumput dan sebagainya.

Penggunaan akal sangat penting dalam mengkaji dan menyingkap rahsia serta kebesaran Allah SWT di sebalik alam ini. Dengan berfikir, seseorang dapat melihat alam sebagai tanda-tanda bagi kewujudan dan kebesaran Allah SWT.

Seterusnya, berfikir mengenai hari pembalasan di mana Allah SWT mengangkat satu kaum dan menjatuhkan satu kaum yang lain berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat Kami sambil Kami berfirman: Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi setiap orang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 5)

Tidak berani lakukan kezaliman

Berbekalkan peringatan ini manusia tidak akan rakus dalam kehidupan dan tidak berani melakukan kezaliman kerana di sana pasti ada hari perhitungan. Selain itu, manusia digalakkan berfikir mengenai kematian dan peristiwa yang berlaku selepasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu ingatkan pemutus kelazatan (kematian).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang itu hendaklah menggambarkan keadaan kematiannya yang pasti berlaku dan balasan baik serta buruk yang bakal diterimanya.

Jika mereka mahu berfikir dengan fikiran yang waras, nescaya mereka akan menyedari hakikat diri yang tidak pernah berasal daripada diri mereka sendiri, sehingga perlu lalai daripada hakikat bahawasanya diri sendiri berasal daripada ciptaan Allah SWT.

Al-Quran mengkritik golongan yang tidak mahu menggunakan akal atau tidak mahu berfikir dengan fikiran baik dan cara yang betul.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya makhluk (binatang) yang paling buruk di sisi Allah adalah orang yang pekak (tidak mahu mendengar seruan kebenaran) dan orang yang tuli lagi tidak berakal (tidak mahu berfikir dengan baik).” (Surah Al-Anfaal, ayat 22)

Bahkan, orang yang kufur setelah disampaikan peringatan terhadap kebenaran ajaran tauhid adalah mereka yang tidak mahu berfikir dan tidak mahu menggunakan akal dengan sebaik-baiknya. Sudah pasti, tradisi tidak mahu menggunakan akal ini merugikan kerana ia membawa kepada seribu satu penyesalan.

Berfikir salah satu bentuk ibadah penting dan wajib dibudayakan. Justeru, banyak sekali paparan ayat-ayat al-Quran memberi gesaan dan dorongan supaya kita berfikir dalam setiap perkara yang berlaku dalam hidup, bukannya hanya sekadar menjadi pak turut atau pak pandir.

* Ahmad Shukri Yusoff ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources. Berita Harian Online Agama 06/09/2013
Tags: akal, fikiran, ilmu
Subscribe

  • Khutbah Jumaat: Ulama dan Ilmu

    Petikan Khutbah Jumaat 02 Julai 2021M / 21 Zulqa’dah 1442H: JAIS Ulama dan Ilmu Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapat menyaksikan usaha…

  • Khutbah Jumaat : Menggapai Reda Ilahi

    Petikan Khutbah Jumaat 05.03.2021 l 21Rajab 1442H JAIS Menggapai Reda Ilahi Seandainya kita berada di dalam sebuah perahu di tengah-tengah lautan…

  • Khutbah Jumaat : Emosi Dan Akal Sihat

    Petikan Khutbah Jumaat 11 Sept 2020M / 23Muharram 1442H: JAIS Emosi Dan Akal Sihat Ketika ramai manusia yang berfikir dahulu sebelum bertindak,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments