mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Adil, jamin hak semua kaum

NEGARA bagaikan satu jasad dan perlembagaan pula dianggap sebagai roh kepada sesebuah negara yang memerlukan di antara satu sama lain.

Tanpa roh, jasad tidak bermaya dan tanpa jasad pula roh langsung tidak berguna. Itulah yang boleh diumpamakan Perlembagaan Malaysia kepada tanah air yang tercinta ini.

Penulis buku Sejarah Perlembagaan Malaysia, Datuk Abd. Manaf Ahmad berkata, setiap negara di dunia pasti mempunyai perlembagaannya yang tersendiri bagi mentadbir dan mengurus negara dengan lancar, aman serta damai.

"Perlembagaan amat penting bagi membolehkan negara itu mencapai kemerdekaan dan ia bukanlah perkara yang baharu kerana telah wujud ribuan tahun lalu," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Mengikut sejarah, perlembagaan bertulis pertama di dunia adalah Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad S.A.W pada tahun pertama penghijrahan dari Mekah ke Madinah.


ABD. Manaf Ahmad menunjukkan salinan laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957
yang dikeluarkan oleh Her Majesty's Stationery Office London.

Menurut Manaf, ia adalah antara perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda untuk menyatukan penduduk Madinah atau dikenali dengan Ansar serta kaum Muhajirin yang datang dari Mekah.

Tidak dilupakan juga kaum-kaum lain seperti Yahudi dan Nasrani serta kaum-kaum lain yang menetap di Madinah tetapi tidak memeluk agama Islam.

"Itu menunjukkan betapa pentingnya perlembagaan yang digubal bagi menjadikan ia sebagai panduan masyarakat di sesebuah kawasan itu agar dapat hidup dengan harmoni.

"Ia telah berlaku ribuan tahun lalu dan sehingga kini perlembagaan masih menjadi alat terpenting bagi sesebuah negara untuk mencapai kemerdekaan dan menyatukan mereka dalam satu persekutuan," jelasnya.

Begitu juga dengan sejarah Perlembagaan Malaysia yang digubal melalui proses berperingkat-peringkat dalam memberi hak kepada semua rakyat negara ini.

Sebelum merdeka, masyarakat di Tanah Melayu mengikuti peraturan dan undang-undang negeri di bawah kuasa raja-raja dan pentadbiran British bagi Negeri-negeri Selat.

Dalam membentuk sebuah negara, kerajaan pusat perlu dibentuk bagi menyatukan seluruh negeri-negeri Tanah Melayu dalam sebuah kerajaan pusat.

Proses itu telah berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 selepas penentangan terhadap Malayan Union oleh masyarakat Melayu pada ketika itu.

Sehinggalah UMNO menggabungkan parti MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC mewakili kaum India dalam satu perikatan yang dinamakan Parti Perikatan bagi meneruskan agenda kemerdekaan.

"Pungutan suara yang diadakan pada tahun 1955 dimenangi oleh Parti Perikatan dengan kelebihan 51 kerusi berbanding 52 yang dipertandingkan bagi membolehkan mereka merangka jalan untuk kemerdekaan negara," katanya.

Bagi merealisasikan tujuan itu, sebuah suruhanjaya bebas dibentuk yang dinamakan Suruhanjaya Reid sempena nama pengerusinya iaitu Lord William Reid.

Untuk mengekalkan kebebasan dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, suruhanjaya itu turut diwakili oleh lima wakil lain dari Australia, India, Pakistan dan Kanada.

"Dari situlah wujudnya perlembagaan yang diguna pakai sehingga hari ini yang bebas daripada sebarang sentimen dan memberi hak kepada semua masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu," jelasnya.



Artikel Penuh: Utusan Malaysia Online Rencana 20130907
Tags: adil, perlembagaan, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments