mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menyuburkan semangat perpaduan

MALAYSIA adalah sebuah negara unik bukan disebabkan oleh sifat geografinya mahupun sejarah dan cuacanya, tetapi keunikan yang sering diperkatakan mengenai negara tercinta ini selama ini ialah kerana keharmonian kaumnya.

Keunikan itulah yang dibanggakan kita selama ini yang menghirup udara kemerdekaan negara dengan rasa keharmonian, kegembiraan, muhibah dan semangat perpaduan yang tinggi.

Semangat majmuk itulah juga yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan kemakmuran seperti yang dinikmati hari ini.

Maka itu, semangat perpaduan itu harus sentiasa disuburkan. Rasa muhibah itu harus berterusan ditingkatkan. Semangat saling hormat-menghormati antara kaum itu wajar digemburkan supaya kesejahteraan yang dikecapi akan terus kekal selamanya.

Tentunya ramai kesal kerana sejak kebelakangan ini isu berkaitan agama sudah mula menjadi topik besar yang boleh memecahbelahkan perpaduan yang dibajai dan disemai sekian lama.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu, Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) telah menganjurkan Bengkel Masyarakat Malaysia Hidup Bersama. Berlangsung di Kampung Sungai Haji Dorani, Kuala Selangor bermula 23 Ogos hingga 25 Ogos lalu, nyata banyak memberi manfaat dan membuka minda kepada kira-kira 20 peserta yang berbilang bangsa dari institusi pengajian tinggi terpilih.

Meskipun masyarakat di negara ini dipecahkan dengan kaum, agama dan budaya, tetapi kita sudah membuktikan, keharmonian dapat dicapai kerana adanya sikap saling hormat-menghormati, perpaduan dan semangat muhibah.

Apabila PPLI mengadakan bengkel seumpama ini, ia bererti satu tanggungjawab diambil untuk memastikan kehidupan bermasyarakat rakyat negara ini, khususnya generasi muda akan dapat dibentuk untuk memastikan masa depan negara sentiasa harmoni.

Penganjuran bengkel ini sesuai dengan falsafah dan matlamat penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sendiri yang bertujuan untuk memberi kefahaman dan meningkatkan pemahaman mengenai Islam kepada umat Islam dan bukan Islam.

Meskipun ia cuma tiga hari, tetapi sekurang-kurangnya bengkel ini mendedahkan banyak perkara dan menerbitkan rasa ingin tahu antara peserta Islam dan bukan Islam, untuk saling mengetahui mengenai Islam, Buddha dan Hindu.

Ia bukan sahaja memberi kesedaran mengenai perlunya untuk mengambil tahu serba sedikit mengenai anutan orang lain tetapi lebih bermakna keperluan untuk menghormati hak penganut agama lain, termasuklah hak untuk menghormati Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Persoalan demi persoalan menerusi interaksi antara peserta mengenai cara ibadah, cara berpuasa dan cara solat antara agama menjadi bahan menarik yang dibincangkan.

Penekanan kepada aspek keperluan mendesak kepada pengamalan nilai murni antara kaum di negara ini adalah wajar demi memastikan bangsa Malaysia itu boleh terus hidup bertoleransi, bersatu padu dan bersemangat majmuk dalam erti kata sebenar.

Pengisian yang padat tetapi ringkas namun berkesan nyata berbaloi untuk para peserta. Ia mungkin pengalaman pertama mereka dengan aktiviti berjalan di waktu malam di tengah sawah padi, menumbuk padi, mencanting batik, membuat layang-layang dan gogoh (menangkap ikan menggunakan tangan), selain mempamerkan aksi tarian kuda kepang.

Dalam keseronokan dan keterujaan mereka menghayati alam persekitaran dalam suasana perkampungan tradisional Melayu, jiwa dan hati mereka dipupuk dengan semangat gotong-royong, perpaduan dan bersatu hati.

Dalam gelak tawa mereka melihat rakan sekumpulan yang kekok untuk menangkap ikan dalam kolam, mereka sempat untuk beramah mesra dan saling kenal-mengenali secara lebih intim.

Dalam sorak sorai meraikan kejayaan kumpulan dalam aktiviti lawatan di kilang di kampung, mereka berasa lebih menghargai satu sama lain meskipun berbeza agama dan bangsa.

Malahan menerusi Bengkel Masyarakat Malaysia Hidup Bersama itulah juga, ia menyaksikan kali pertama mereka berkenalan dan saling wujud rasa hormat-menghormati.

Pujian harus diberikan kepada PPLI yang berjaya menghasilkan satu bentuk kursus semangat perpaduan yang ringkas tetapi cukup memberi impak.

Ia mungkin bukan saja membekas di jiwa peserta tetapi juga di kalangan pengendali kursus dan mereka yang memberi ceramah.

Seharusnya, program sedemikian diperbanyakkan dalam usaha memberi kesedaran kepada generasi muda terutama di kalangan pelajar universiti sebagai pelapis kepimpinan masa depan.

Tugas untuk memelihara keharmonian, perpaduan dan semangat bersatu padu di kalangan rakyat majmuk di negara ini bukan saja kepada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun pemimpin negara, tetapi kesedaran ini juga mestilah datang daripada hati sanubari rakyat Malaysia yang menghargai keamanan, kesejahteraan, kesetiaan dan kemakmuran.



Artikel Penuh: Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130911
Tags: perpaduan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments