mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Struktur perlembagaan berpaksikan Islam

KEKELIRUAN sering timbul apabila seseorang itu bercakap tentang Perlembagaan. Bukan sahaja di kalangan rakyat awam tetapi ada juga sesetengah golongan yang mempunyai latar belakang perundangan masih kabur dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang utama negara, ia tidak hanya harus dibaca secara tersurat tetapi perkara tersirat juga memainkan peranan penting di dalam memahami Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan ini sebenarnya mengabsahkan susun atur masyarakat sebelum kemerdekaan lagi. Ia bukan wujud secara kebetulan sahaja. Ia juga merupakan dokumen toleransi antara kaum di Malaysia berdasarkan prinsip 'jus soli'.

Malah Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan ini menerima banyak memorandum daripada segenap lapisan masyarakat menyuarakan hak yang mereka inginkan dalam sebuah negara merdeka.

Selagi Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa, setiap rakyat Malaysia perlu menerima keluhurannya mengikut kerangka dan skema yang ada berdasarkan kepada tafsiran-tafsiran yang telah diputuskan mahkamah dari semasa ke semasa.

Sebelum Perlembagaan itu sendiri wujud sebenarnya telah ada undang-undang sama ada yang berkuatkuasa sebelum kedatangan penjajah ataupun yang digubal semasa penjajahan itu sendiri oleh pihak penjajah.

Beberapa peruntukan yang khusus mengenai undang-undang Islam juga telah terlaksana di Tanah Melayu. Sebagai contohnya Undang-Undang 99 Perak dengan tegas menyatakan jika didirikan hukum Quran dengan undang-undang di dalam negeri nescaya amanlah isi negeri.

Malah barang siapa yang tidak mengikut hukum tersebut hendaklah di luar negeri atau di dalam hutan. Pemerintah pula hendaklah memakai al-Quran sebagai panduan dan kegagalan menggunakannya tidak boleh memerintah negeri.

Menurut pakar undang-undang Perlembagaan tanah air terdapat tujuh struktur asas yang menjadi tulang belakang kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu;

l Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

l Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan

l Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan

l Pengasingan kuasa eksekutif, parlimen dan kehakiman

l Raja berperlembagaan

l Demokrasi berparlimen

l Badan kehakiman yang terpisah daripada penguasaan parlimen dan eksekutif.

Ketujuh-tujuh ciri asas ini tidak boleh dihakis daripada Perlembagaan kerana ia akan merosakkan teras Perlembagaan itu sendiri.

Sebarang usaha untuk menyahkan ciri asas ini akan dilihat sebagai menongkah arus dan membawa negara kepada kekacauan kerana kerangka Perlembagaan itu sendiri telah dipersetujui sejak dahulu lagi.

Pemansuhan ciri asas ini perlulah mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat seperti Raja-Raja Melayu, Kerajaan dan juga rakyat pelbagai kaum terutamanya orang Melayu yang merupakan anak watan negara.

Jika diteliti, sebenarnya terdapat begitu banyak peruntukan yang berkaitan dengan Islam dan hak orang Melayu disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya ialah Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan agama Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidangkuasa negeri.

Islam bukan sekadar agama rasmi sahaja tetapi ia adalah agama bagi Persekutuan. Implikasi agama bagi Persekutuan ini adalah berbeza dengan agama rasmi. Hal yang demikian dijelaskan oleh Hakim Mohd. Noor di dalam penghakimannya di dalam kes Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi yang berbunyi: "Islam adalah agama bagi Persekutuan tapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan…"

Di dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula Hakim Ahmad Fairuz memutuskan, "Islam itu bukan suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman…"

Jelaslah di dalam kedua-dua penghakiman di atas kedudukan Islam adalah jelas tersurat. Oleh itu konsep negara sekular sebagaimana yang dicanangkan oleh sesetengah pihak adalah tidak berlandaskan kepada Perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi perkataan sekular itu sendiri tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berbanding dengan kes terdahulu yang sering dirujuk bagi menyokong dakwaan Malaysia adalah negara sekular di dalam kes Che Omar bin Che Soh mlwn PP yang telah dipinggirkan oleh penghakiman-penghakiman yang lebih terkini.

l Zainul Rijal Abu Bakar  ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130912

Tags: perlembagaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments