mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pekerja setia lonjak prestasi

Berinteraksi secara berhemah lahirkan kepuasan kerja

Negara memerlukan kesetiaan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan, membangun, menjamin kesejahteraan dan keharmonian, begitu juga organisasi. Ia bukan saja memerlukan pekerja tetapi mengharapkan kesetiaan daripada mereka untuk melonjakkan prestasinya.

Kesetiaan organisasi bermaksud kecenderungan pekerja untuk setia bekerja dalam sesebuah organisasi dengan komitmen tinggi. Kesetiaan menjadi salah satu indikasi wujudnya keselesaan bekerja dan sokongan terhadap majikan.

Tanpa kesetiaan, seseorang pekerja sanggup beralih tempat kerja walaupun menyandang jawatan tinggi atau menerima gaji lumayan. Bagi sesetengah pekerja keselesaan dan keserasian bekerja adalah lebih diutamakan.

Hargai pekerja setia

Kebanyakan organisasi awam telah mengambil inisiatif untuk memberi penghargaan kepada pekerja yang setia berkhidmat dalam tempoh tertentu dengan penganugerahan Khidmat Setia.

Majikan perlu peka dan sensitif jika bilangan yang ingin berhenti meningkat dengan mengenal pasti faktornya kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar pusing ganti pekerja. Kedua-dua implikasi ini akan merugikan organisasi ekoran peningkatan kos untuk latihan dan masa penyesuaian bagi pekerja baru mempengaruhi kualiti serta kuantiti.

Kajian menunjukkan kadar berhenti daripada perkhidmatan ada kaitan dengan keselesaan dan kepuasan kerja yang menjadi salah satu faktor pekerja setia.

Justeru, dalam Islam kesetiaan adalah kaedah asas untuk memberikan mandat kepada ketua yang dipercayai. Ia terangkum dalam konsep yang dinamakan bai’ah sughra (ikrar janji setia kecil). Iaitu sepakat dan mengikat janji setia untuk melakukan sesuatu kewajipan.

Ia seperti keharusan memenuhi janji atau akad baik antara seseorang dengan Allah SWT, atau antara seseorang dengan hamba Allah SWT, serta keharusan untuk saling tolong-menolong ke arah kebaikan dan ketakwaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Penuhilah janji-janji.” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Usaha dan persepakatan hendaklah tidak bercanggah dengan syarak atau memudaratkan pekerja kerana tiada kesetiaan pada hal yang membawa kepada kemudaratan.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada ketaatan kepada sesiapa dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya taat hanya kepada perkara yang makruf (baik).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesetiaan kepada organisasi dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya penerimaan dan keyakinan pekerja terhadap hala tuju organisasi, gaya kepemimpinan, suasana bekerja, nilai kerja, ganjaran dan imbuhan serta interaksi antara pekerja dengan organisasi.

Interaksi baik telah dikenal pasti sebagai faktor utama keselesaan pekerja untuk setia berkhidmat. Antara bentuk interaksi tersebut ialah komunikasi majikan melalui pengarahan tugas, perbincangan, dan aktiviti.


Ketua bersifat terbuka


Selain sifat ketua yang terbuka kesediaan mendengar, memahami dan menghargai pandangan pekerjanya akan menghasilkan golongan pekerja yang setia lagi bermotivasi. Pada masa sama, pekerja perlu tahu cara komunikasi berhemah sesama rakan sekerja, memberi maklum balas kepada pelanggan pelanggan dan individu.

Di sinilah antara hikmah mengapa ajaran Islam amat menekankan aspek interaksi melalui tatacara komunikasi beradab. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Allah SWT juga menyuruh berinteraksi dengan sopan dan mengambil kira pandangan orang lain dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun dari mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Interaksi berhemah

Islam juga menekankan kepentingan interaksi berhemah melalui komunikasi yang benar. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada hamba-Ku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. Menggunakan perkataan yang baik.” (Surah al-Isra’, ayat 53)

Bagi mendapatkan mandat kesetiaan daripada pekerja, majikan hendaklah memastikan interaksi berhemah dan beradab melalui pelbagai bentuk komunikasi atasan dan bawahan dikawal dengan baik.

Majikan juga perlu sedar bahawa kesetiaan pekerja amat berharga serta membawa manfaat yang besar kepada organisasi untuk terus melonjak tinggi.


Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Berita Harian online Agama 21/09/2013
Tags: berhemah, interaksi, ketua, setia
Subscribe

  • Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

    Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM Jiwa Merdeka Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.…

  • Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

    Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS Membina Kekayaan Jiwa Harta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang…

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments