mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nilai kemanusiaan sebalik sambutan Aidiladha

Hikmah disyariatkan ibadah korban dapat dilihat dari tiga aspek iaitu ketaatan kepada syariat (ajaran), pengorbanan seperti pengorbanan Nabi Ibrahim ketika diperintahkan menyembelih anaknya, pembahagian daging korban kepada fakir miskin.

Nabi Ibrahim seorang insan yang banyak melakukan pengorbanan bermula daripada berdakwah kepada Islam sehinggalah perintah menyembelih anak yang amat disayangi, Nabi Ismail. Inilah yang sepatutnya menjadi inspirasi umat kini dalam menghayati ibadah korban.

Nilai ketuhanan

Dari sudut tauhid, ibadah korban mempunyai nilai ketuhanan yang sangat tinggi. Ibadah korban Nabi Ibrahim memperlihatkan keimanan dan ketaatannya hanya kepada Allah SWT.

Nabi Ibrahim berhasil melepaskan diri dan jiwanya daripada pengaruh dunia dalam menjalankan perintah Allah SWT.

Hal ini sekali gus menolak sebarang bentuk pengorbanan untuk makhluk bagi menolak bala dan sebagainya kerana ia mengundang syirik yang sangat merbahaya.

Bukan menunjuk-nunjuk

Keimanan merangkumi keikhlasan yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah SWT. Ibadah korban untuk menunjuk-nunjuk tidak akan diterima Allah SWT, bahkan pelakunya akan mendapat dosa daripada apa yang dilakukan.

Islam agama yang tidak dapat dipisahkan daripada hubungan sesama manusia kerana nilai kemanusiaan sangat dituntut seperti berbaik kepada jiran, menolong orang lain, berbakti kepada kedua orang tua, mengasihi anak yatim, menziarahi orang sakit dan memberi makan fakir miskin.

Oleh itu, tujuan ibadah korban dan ibadat lain bukan hanya untuk mencapai kemaslahatan di akhirat, tapi bagi kemaslahatan dunia kerana setiap pensyariatan dalam Islam untuk mencapai dua matlamat iaitu dunia dan akhirat.

Pengorbanan adalah satu bentuk didikan moral di mana yang kaya akan berkorban dengan hartanya untuk orang miskin seterusnya mendekatkan jurang antara kedua-duanya. Marilah kita mengikhlaskan diri menunaikan ibadat korban demi mencapai keredaan Allah SWT.

Berita Harian Online Agama 21/09/2013
Tags: aidiladha, korban
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments