mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Boros guna air ketika berwuduk perbuatan tercela

Menjauhi perbuatan berunsur pembaziran dalam segenap sudut adalah langkah bijak lagi terpuji selari dengan agama yang mesti dipenuhi setiap Muslim. Bertepatan dengan pendapat Ibnu Kathir yang menyatakan, pembaziran perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara maksiat yang dimurkai-Nya.

Orang yang tidak bersyukur dengan nikmat pemberian Allah dianggap sombong, lupa diri dan kufur.
Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab.” (Riwayat Ahmad)

Menyentuh konsep pembaziran, kita percaya ramai daripada kita tersalah memberi tafsiran yang hanya nampak pembaziran itu seolah-olah terhad kepada soal wang ringgit dan harta saja.

Skop pembaziran cukup luas termasuk material (benda) dan bukan material seperti usia, tenaga dan ilmu.

Pembaziran masa

Pembaziran di sudut perkara bukan material seperti masa. Ramai kalangan umat Islam tidak suka memanfaatkan masa sebaliknya dihabiskan dengan perbuatan merugikan seperti berbual kosong di kedai kopi.

Menyedari kepentingan waktu mendorong umat Islam sentiasa bersegera melakukan ibadah serta amalan yang memberi faedah seperti membaca buku, menghadiri majlis ilmu atau berusaha demi meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Bagi menguruskan harta kita dinasihatkan supaya mengamalkan sikap berjimat cermat mengikut keperluan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak boros dan tidak pula bakhil dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah al-Furqan, ayat 68)

Ada juga segelintir masyarakat kita yang hanya tahu berjimat cermat apabila berada dalam keadaan miskin atau dilanda kesusahan. Pada hal kita disuruh berjimat cermat dalam semua perkara dan sepanjang masa.

Bazir air ketika wuduk Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat bernama Saad bin Abi Waqqas kerana terlalu boros dalam penggunaan air ketika berwuduk. Teguran itu mengejutkan Saad kerana pada fikirannya air adalah perkara kecil saja.

Lalu beliau bertanya Rasulullah SAW: “Apakah terhadap air juga dikatakan boros? Maka segera Rasulullah bersuara: Memang, hingga jikalau engkau berada dalam sungai yang mengalir (sekalipun).” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Apabila kita berjimat cermat dan bersederhana dalam mengurus harta, jiwa akan tenang, hidupnya mempunyai perancangan yang baik dan dapat menjamin kehidupan yang sempurna pada masa depan tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Orang yang menghargai nikmat Allah SWT adalah golongan yang tidak meremehkan pemberian Allah SWT, tidak merungut dan sentiasa berpuas hati jika memperoleh rezeki yang sedikit. Beginilah perangai dan tindakan golongan yang bersyukur kepada Allah.

Orang yang bersyukur, disayangi Allah SWT dan tetap mendapat ganjaran pahala daripada-Nya seperti firmanNya yang bermaksud: “Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang yang bersyukur.” (Surah Ali-Imran, ayat 145)


Mohd Adid Ab Rahman Berita Harian Online Agama 25/09/2013
Tags: boros, wuduk
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments