mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islam adalah pilihan terbaik

ENTAH kenapa hati saya terasa berdebar-debar ketika menyelak dan membaca halaman di buku 7 Dosa Besar. Seperti ada sesuatu perasaan pelik yang hadir dalam diri saya secara tiba-tiba," kata Muhammad Azmi Ng Abdullah.

Anak kelahiran negeri Sarawak itu berkata, tidak menyangka sejak itulah hatinya mula diketuk untuk mendekati ajaran Islam yang selama ini tidak pernah difikirkan apatah lagi memeluk agama suci Allah SWT itu.

Tambah Azmi, segala kekusutan dan masalah yang dihadapi akhirnya terlerai selepas beliau membuat keputusan melafazkan kalimah syahadah pada usia 18 tahun walaupun mendapat tentangan ramai, lebih-lebih lagi ahli keluarganya sendiri.

Dia yang kini salah seorang pengajar di Pusat Kegiatan Saudara Baru, Kompleks Al-Sa'adah Seremban berkata, ternyata keputusan yang dibuat mengubah hidupnya sehingga mampu menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan diharap sehingga ke akhirat.

"Sebelum ini saya tidak pernah terfikir mengenai agama Islam, apatah lagi berniat untuk memeluk agama Islam. Bagi saya sudah selesa dengan fahaman agama ibu bapa saya yang juga kepercayaan turun temurun nenek moyang.

"Namun, ketika di sekolah menengah, satu persatu masalah yang saya hadapi termasuk masalah keluarga membuatkan saya terlalu tertekan dan perasaan kecewa itu menghantui hidup saya setiap hari.

"Tidak tahan dengan itu, saya kemudian mengadu kepada salah seorang rakan kelas yang beragama Islam. Selepas menasihati saya, dia memberikan buku 7 Dosa Besar kepada saya," katanya ketika ditemui.

Azmi berkata, hatinya bagaikan tersentak selepas terbaca dan melihat salah satu daripada dosa besar yang disebutkan dalam buku tersebut adalah mensyirikkan Allah SWT.

"Saya tersentak melihat betapa azabnya balasan yang Allah SWT janjikan kepada manusia yang menduakan Allah SWT atau mengaku ada tuhan lain selain daripada-Nya. Sejak dari itu saya mula mempelajari agama Islam secara sembunyi-sembunyi.

"Pada waktu itu, saya mula merasakan ketenangan dan satu perasaan yang belum pernah saya rasai. Sehinggalah saya mengambil keputusan untuk bertukar agama setelah benar-benar yakin agama Islam adalah agama yang benar," jelas Azmi yang mengajar pelajaran al-Quran di Kompleks Al-Sa'adah.

Diugut

Berkongsikan kisah hidupnya, Azmi berkata seperti nyawa dihujung tanduk, dia pernah diugut untuk dihalau ketika memberitahu keluarganya rancangan untuk bertukar agama.

"Walaupun belum memeluk Islam, tetapi saya sudah mula mengamalkan serba sedikit ajaran Islam dan menjauhi apa yang dicegah. Rancangan saya menyembunyikan status ingin bertukar agama akhirnya terbongkar apabila saya diminta untuk membeli babi sebagai juadah.

"Saya bertegas tidak mahu membeli kerana tidak mahu memegang haiwan najis itu apatah lagi memakannya. Melihat situasi itu, ibu bapa saya telah menghalau saya keluar daripada rumah selepas saya berterus terang ingin memeluk Islam," katanya.

Membawa diri tanpa sebarang pekerjaan, Azmi terpaksa menumpang di rumah rakannya yang kemudian membawa diri menuntut ilmu agama di Kelantan dengan bantuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) selama enam tahun.

Didorong dengan minatnya untuk mendalami ilmu agama, Azmi seterusnya berhijrah ke Batu Pahat, Johor dengan mempelajari pengajian tahfiz sebelum bertugas di Kompleks Al-Sa'adah.

"Saya bersyukur, dengan apa yang saya lalui dan peroleh ini, saya dapat berkongsi bersama rakan-rakan saudara baru seperti saya. Memeluk Islam adalah pilihan terbaik dalam hidup saya kerana telah mengubah kehidupan saya kepada lebih baik.

"Selepas lebih 20 tahun memeluk Islam, saya kini telah mula diterima keluarga. Dalam masa sama saya sentiasa meraikan budaya nenek moyang saya yang tidak menyalahi ajaran Islam," katanya yang telah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata.

MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130926

Tags: islam
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments