mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Haji perlu disegerakan

HAJI merupakan satu ibadah istimewa dengan setiap rukun dan amalannya mempunyai signifikan tersendiri selain membawa maksud tersirat di sebalik tuntutan tersebut.

Bukan sekadar untuk mendidik keinsafan diri tetapi juga menerapkan nilai semangat keazaman untuk berusaha serta melakukan persiapan menuju ke kota Baitullah.

Umum mengetahui bukan satu urusan mudah dalam mengerjakan haji kerana setiap umat Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai persiapan rohani dan material.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Muhd. Najib Abdul Kadir, haji adalah satu ibadah yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Ujar beliau, keunikan itu adalah kemampuan menunaikan ibadah haji yang terbahagi kepada fizikal dan material.

Jika dibandingkan dengan solat, ujar Muhd. Najib ibadah itu wajib dilaksanakan sama ada kurang kemampuan wang atau tidak. Tetapi ibadah haji wajib ditunaikan apabila seseorang umat Islam mampu daripada faktor kewangan dan sihat tubuh badan.

Maka melihat ukuran itu, beliau berkata seharusnya setiap umat Islam melaksanakan ibadah haji dalam usia muda yang dilihat mempunyai kadar keupayaan dan kesihatan sempurna berbanding warga tua.

"Jarak tempat penginapan Muassasah jemaah Malaysia berukuran hampir 800 atau 600 meter untuk Masjid Haram. Jika pergi dan balik, mereka berjalan hampir 1.2 kilometer sehari.

"Tetapi itu baru perjalanan sekali, tidak termasuk jika berulang alik selama tiga kali," jelas Muhd. Najib.

Oleh demikian, beliau berkata adalah tepat pada masanya jika melaksanakan ibadah haji dalam usia yang muda apatah lagi generasi kini sudah semakin berkemampuan daripada kadar pendapatan.

Beri pelbagai alasan

Dalam pada itu, terdapat generasi kini memberikan pelbagai alasan untuk enggan menunaikan haji dan antaranya memberikan sebab 'tidak sampai seru.'

Selain itu, terdapat kalangan mereka menyatakan pelbagai alasan lain seperti tidak bertaubat lagi, belum sampai masanya dan sebagainya.

Namun alasan itu menurut penulis buku Rahsia Haji itu adalah tidak relevan kerana umat Islam perlu sentiasa dalam keadaan bersih daripada segala dosa dan tidak perlu menunggu saat bertaubat pada usia senja.

Hal berkenaan jelas Muhd. Najib termasuklah ibadah haji yang wajib dilaksanakan sekiranya cukup syarat-syaratnya seperti mana tertulis dalam hukum fikah.

"Malah dalam soal ini, para sahabat pernah bertanyakan kepada Rasulullah adakah haji perlu dilaksanakan pada pengakhirannya. Namun baginda menjawab, segera laksanakannya kerana kamu tidak tahu yang akan terjadi pada masa hadapan.

"Sabda Rasulullah itu cukup menggambarkan ibadah haji tidak kira usia sama ada tua atau muda, jika seseorang itu mampu, hendaklah laksanakan dengan segera," kata Muhd. Najib.

Sehubungan itu stigma bahawa haji khususnya untuk usia senja perlu ditepis dengan kerana ibadah itu meliputi setiap lapisan umur apatah mempunyai tubuh badan yang sihat seperti orang muda.

Namun demikian, beliau melihat situasi hari ini apabila timbul kesedaran dalam kalangan generasi muda yang cuba menyimpan wang di akaun Tabung Haji demi semata-mata mengejar ibadah berkenaan.

"Kita tahu haji memerlukan kos yang tinggi, tetapi terdapat kesedaran dalam kalangan anak muda yang menyimpan sedikit demi sedikit duit ke dalam akaun Tabung Haji.

"Malah saya melihat ramai yang mengambil peluang bercuti dengan melaksanakan ibadah umrah di samping melancong ke tempat sejarah umat Islam sama ada di Mekah atau Madinah," kata Muhd. Najib.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130926
Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments