mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Haji di usia muda tidak mustahil

IBADAH haji merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam sekiranya cukup syarat-syarat seperti mana termaktub dalam hukum fikah.

Kitab Fiqh Imam Syafie kemudiannya merumuskan bahawa terdapat lima syarat wajib haji dan umrah iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkuasa.

Para ulama kemudian mendefinisikan takrifan berkuasa sebagai mempunyai perbelanjaan untuk dirinya, sihat tubuh badan, berkesempatan masa dan sebagainya.

Bagaimanapun apa yang berlaku di Malaysia sejak dahulu sehingga kini, ibadah haji sering kali dikatakan ditunaikan ketika usia warga emas atau selepas pencen.

Anggapan itu telah menyebabkan rata-rata jemaah haji Malaysia terdiri daripada kalangan warga emas yang kebanyakan sudah uzur dan mempunyai kesihatan kurang sempurna.

Memang diakui bahawa usaha untuk menunaikan ibadah haji bukan satu perkara mudah dan perlu mempunyai kemampuan daripada segi wang ringgit dan tenaga.

Malah sebagai warganegara Malaysia, seseorang itu hendaklah mendaftar terlebih dahulu dengan Lembaga Tabung Haji (TH) selain mempunyai deposit TH dengan baki minimum RM1,300. Juga tiada rekod pendaftaran haji yang aktif selain tidak dibenarkan yang baru menunaikannya dalam tempoh lima tahun.

Daripada segi kewangan pula, kos menunaikan jemaah haji Muassasah berjumlah RM15,555 namun RM5,575 daripadanya adalah ditanggung oleh kerajaan.

Oleh itu, para jemaah haji Muassasah hanya perlu membayar RM9,980 bagi kos keseluruhan menunaikan ibadah itu.

Mengambil kira tahap kemajuan pendidikan Malaysia telah menyebabkan ramai generasi muda kini mendapat tempat dalam pelbagai kerjaya, lalu menyebabkan mereka mempunyai kadar pendapatan yang tinggi.

Maka dengan sebab itu, menurut bakal haji Irwan Anuar, 37, berkata sudah tidak menjadi alasan dalam kalangan generasi muda pada hari ini untuk tidak menunaikan ibadah haji dengan memberikan sebab kekurangan kemampuan kewangan.

Irwan yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 2 Oktober ini berkata, wang tidak wajar dijadikan alasan kerana sebaiknya ia disimpan dalam akaun Tabung Haji berbanding menggunakannya untuk pergi melancong ke negara-negara luar lain.

Namun jelas eksekutif korporat di sebuah syarikat petroleum di ibu negara itu, terpulang kepada mana-mana pihak untuk berbelanja sama ada melancong ataupun memenuhi keperluan diri, tetapi sebaiknya duit itu disimpan untuk kegunaan haji.

Irwan berkata lagi, usia muda perlu direbut dengan menanam azam untuk menunaikan haji di Tanah Suci dengan menepis tanggapan 'tunggu datang seru' memandangkan ibadah haji merupakan satu kewajipan.

Anak sulung kepada tiga adik-beradik itu yang mendaftar haji sejak 2006 dan mendapat giliran lapan tahun kemudiannya berkata, sepanjang tempoh beliau berpeluang untuk menyimpan wang semata-mata untuk melaksanakan ibadah berkenaan.

"Di sebalik penantian saban tahun itu, saya merasakan diri ini dekat dengan Allah apabila setiap hari dan tahun cuba melakukan persiapan dengan muhasabah diri sendiri.

"Bahkan saya sebenarnya teruja untuk ke sana tidak lama lagi sebab penantian sejak 2006 setelah mendaftar giliran haji akhirnya tiba tahun ini," jelas Irwan.

Jadi contoh taulan

Panggilan seruan ke Tanah Suci telah memberikan satu inspirasi kepada kehidupan Irwan apabila ia sedikit sebanyak telah memberi kesedaran kepada rakan-rakan lain untuk mencontohinya dalam menunaikan haji.

Bakal haji itu menjelaskan, terdapat kawan-kawannya yang seusia dengannya sependapat bahawa tuntutan berkenaan tidak wajar hanya dilakukan dalam usia emas sahaja, tetapi keazaman dan kegigihan, jalan ke Tanah Suci pasti dimudahkan Allah.

Di sebalik mengerjakan suruhan Allah, Irwan menambah kedatangannya ke kota Baitullah selain untuk mendapat keredaan Allah dan haji mabrur, bertujuan membalas jasa kedua-dua ibu bapa yang turut bersamanya menunaikan haji.

Irwan menzahirkan dalam isi hatinya walaupun jasa mereka sukar dibalas hatta sekalipun diberikan emas dan permata, hasrat untuk membawa kedua-dua ibu bapa ke Tanah Suci adalah salah amanah seorang anak termasuk melayani mereka sepanjang 44 hari berada di sana.

"Sebenarnya, saya seronok dapat pergi bersama ibu bapa kerana perasaannya lain jika pergi seorang diri. Di sana nanti sudah tentu kita mahu merebut pahala termasuklah melayani mereka.

"Saya terharu melihat semangat ibu bapa walaupun kesihatan mereka kurang sempurna, namun mereka bersemangat untuk ke sana," jelas Irwan.

Dalam pada itu, Irwan menasihatkan generasi muda lain untuk menolak tanggapan bahawa haji dikhususkan kepada golongan emas sahaja apatah lagi ibadah itu tidak meletakkan had usia sebagai syarat.

JUANI MUNIR ABU BAKAR & MAZNAH MOHD. ARSAD Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130926
Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments