mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Interaksi majikan, pekerja bawa kejayaan

Interaksi berkesan adalah amalan mulia serta petunjuk bagi majikan yang prihatin. Ia bermaksud hubungan dan komunikasi dua hala antara majikan dengan pekerja secara baik lagi beradab serta berjaya mencapai matlamat diinginkan.

Komunikasi itu tidak mengeksploitasi tenaga, manipulasi kepentingan atau apa juga yang boleh mengakibatkan kemudaratan.

Untuk menjadikan interaksi itu berkesan, ia perlu menekankan gerak kerja secara bersama dalam suasana muhibah, tempat kerja selamat, kondusif lagi menyeronokkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Umatku yang baik ialah masyarakat yang mengasihi pemimpin dan pemimpin yang mengasihi masyarakatnya.” Dalam konteks organisasi, kesalingan yang wujud dalam interaksi berkesan antara majikan dan pekerja perlu menekankan nilai mesra serta beradab.

Dukung hasrat

Namun, bekerja bersama-sama tidak akan menguatkan interaksi itu jika tidak bersama dalam mendukung hasrat dan matlamatnya. Inilah asas kepada interaksi berkesan bagi sesebuah organisasi.

Keperluan memberikan kefahaman dan keyakinan pekerja melalui penjelasan serta perbincangan adalah penting khasnya dalam masyarakat berpengetahuan masa kini.

Kajian banyak membuktikan penentuan matlamat organisasi bukan menjadi keutamaan sebaliknya penghayatannya oleh warga kerja, itu yang lebih utama.


Penjelasan matlamat elak bosan

Aspek inilah yang kadangkala gagal diusahakan secara komited oleh majikan menyebabkan suasana bekerja yang kaku serta boleh menimbulkan kebosanan.

Menjelaskan matlamat dan hasrat organisasi perlu meliputi beberapa perkara termasuk penjelasan kepada pekerja mengenai matlamat yang ingin dicapai.

Ini termasuk kepentingan matlamat kepada pekerja, pelanggan dan organisasi untuk jangka masa pendek serta panjang; kaedah efektif untuk melaksanakannya; kemampuan modal, material, keupayaan sedia ada dan yang bakal diusahakan untuk menjayakan hasrat, impak positif pelaksanaan dan kemungkinan berhadapan risiko serta pelan alternatif pengurusannya.

Usaha ini termasuklah dalam melaksanakan sesuatu tugasan, projek apatah lagi dasar baru.

Ia perlu dibuat secara berkala dan konsisten kerana ia akan dapat melancarkan kerja dengan kefahaman serta mengelak banyak tanda tanya, salah faham dan kekeliruan dalam kalangan pekerja.

Semua ini musuh yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati serta menghambat fokus bekerja.

Justeru, kerana pelbagai kesan buruk yang boleh tercetus ekoran tiada penjelasan yang baik, Islam melarang berprasangka buruk seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”


Elak sangkaan buruk

Penjelasan dan perbincangan dapat mengelakkan sangkaan buruk yang dilarang dalam Islam. Bahkan bagi majikan ia menjadi suatu tanggungjawab dan amanah untuk mencapai matlamat disasar tetapi pada masa sama tidak membuka pula jurang perhubungan atau komunikasi dua hala.

Tanggungjawab ini bukan sesuatu yang baru atau asing sama ada dari sudut teorinya mahupun pelaksanaan di negara ini.

Ia telah dijadikan prinsip teras perkhidmatan oleh kebanyakan organisasi awam mahupun swasta. Interaksi juga menjadi berkesan apabila pihak majikan mengambil kira penyertaan menyeluruh warga organisasi.

Pandangan, cadangan dan maklum balas mereka dialu-alukan dalam pelbagai medium yang bersesuaian dengan tahap, bentuk peranan serta sumbangan mereka.


Amalkan syura

Hal inilah yang terangkum dalam kewajipan mengamalkan syura. Menurut Al-Nasafi, syura adalah perbincangan yang membawa kepada kebenaran dan penyelesaian masalah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat untuk berbuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Amalan ini membuka ruang hujah, perbincangan dan maklum balas secara sihat lagi tuntas bagi memperoleh kata putus yang terbaik untuk manfaat semua pihak.

Dengan itu, peluang dan ruang amalan interaksi syura perlu dibudayakan bersesuaian dengan konteks dan kehendak semasa.

Natijahnya, hasrat majikan akan berjaya dihayati serta menjadi hasrat seluruh warga organisasi.

Kekuatan kefahaman, kesediaan mental dan emosi akan menjadi pendukung hasrat dan memudahcarakan pencapaiannya ke arah kecemerlangan.

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail ialaha Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Berita Harian Online Agama 28/09/2013
Tags: interaksi, syura
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments