mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kemelut nafkah

MASIH ramai dalam kalangan umat Islam negara ini kini yang keliru berkenaan definisi nafkah. Mereka memberikan pelbagai takrifan dan andaian tersendiri terhadap tanggungjawab itu.

Ada yang mengatakan tanggungjawab memberi nafkah adalah khusus untuk golongan lelaki sahaja. Hal berkenaan tidak termasuk dakwaan mengatakan definisi nafkah adalah daripada segi bentuk wang ringgit.

Kekeliruan berkenaan telah menyebabkan lambakan kes di mahkamah syariah di mana isteri menuntut nafkah kepada suami dengan mendakwa sepanjang perkahwinan mereka, pasangan tidak pernah memenuhi amanah tersebut.

Sebaliknya kaum lelaki pula mengatakan nafkah tidak wajar diberikan sekiranya isteri gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah.

Pertikaian itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada institusi keluarga. Malah akan merosakkan tujuan pembinaan sesuatu negara.

Lebih dikesali apabila anak-anak menjadi mangsa akibat daripada pertelingkahan kedua-dua ibu bapa.

Menurut Hakim Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Abdul Halim Abdullah, hal itu terjadi kerana masih ramai pasangan suami isteri tidak memahami asas perkahwinan dan tujuan pensyariatan nafkah oleh agama Islam.

Abdul Halim menerangkan, asas nafkah adalah apabila wujud perkahwinan dengan termeterainya ikatan janji antara lelaki dan wanita untuk hidup bersama-sama dalam menuju kebahagiaan rumah tangga.

Jelas beliau, bersandarkan ikatan itu, maka wujudlah hak antara sesama sendiri dan soal demikian termasuklah tanggungjawab menunaikan nafkah.

Maka sebab itu, Abdul Halim berkata, ramai tidak mengetahui bahawa nafkah tidak terbeban kepada kaum lelaki sahaja. Tanggungjawab itu turut terletak di bahu si isteri.

"Dalam perkara tersebut, tanggungjawab nafkah suami adalah memberikan makanan, tempat tinggal dan pakaian. Manakala isteri pula dipertanggungjawabkan memasak, mengemas rumah, melayani pasangannya dan anak-anak dan sebagainya.

"Demikian adalah nafkah isteri yang kita boleh rumuskan bahawa tanggungjawab itu tidak dikhususkan untuk suami sahaja tetapi secara bersama," terang Abdul Halim.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Isu-Isu Munakahat yang bertajuk Nafkah: Ditunai Atau Diabai anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Bangi, baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Halim berkata, ramai terkeliru dengan definisi nafkah dengan mengaitkannya dalam bentuk wang ringgit. Sedangkan menurut takrifan ilmu fikah adalah membabitkan makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Tambah Abdul Halim, mengikut uruf (kebiasaan sesuatu masyarakat) Malaysia, definisi nafkah diperluaskan kepada kelengkapan rumah, keperluan sampingan, utiliti, perkakasan rumah dan pembantu rumah jika mampu.

"Ketidakfahaman dan salah tanggapan telah menyebabkan kes di mahkamah tidak menyebelahi isteri walaupun terdapat peruntukkan undang-undang syariah untuk membenarkan mereka berbuat demikian.

"Bagaimanapun, berdasarkan keterangan dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak, mahkamah berhak menentukan keputusannya sama ada suami diperintahkan bayar nafkah atau sebaliknya," jelas Abdul Halim

Prinsip nafkah

Sering kali tuntutan nafkah dibuat melalui prosiding di mahkamah syariah selepas terputusnya ikatan perkahwinan. Tetapi sepanjang tempoh menjalani bahtera rumah tangga, tidak timbul pula isu itu.

Dalam mengulas isu berkenaan, Abdul Halim berkata, tindakan berkenaan terjadi apabila nafsu seperti geram dan dendam kesumat menguasai diri lalu menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

Salah satu contoh kata beliau, apabila bekas isteri menuntut nafkah wang persekolahan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan.

Ujar Abdul Halim, berdasarkan keterangan para ulama jika tindakan itu berlaku dalam tempoh lama, maka ia dianggap sebagai satu keredaan. Oleh demikian, tuntutan tersebut tertolak.

"Saya menasihatkan kepada pihak berkenaan, dalam soal nafkah anak-anak, janganlah terlalu berkira kerana ini berkaitan dengan anak kandung masing-masing. Tidak wajar ia dianggap sebagai hutang?

"Melainkan apabila isteri ditinggalkan terlalu lama dan hidup sebatang kara. Barulah ia diambil kira oleh mahkamah," kata Abdul Halim.

Dalam pada itu kata Abdul Halim, suami wajib memberikan nafkah rumah tangga kepada isteri walaupun wanita itu berkerja.

Bagaimanapun kata hakim syarie itu, tanggungjawab tersebut tidak terbeban di atas bahu suami sekiranya melibatkan urusan pejabat isteri, contohnya wang belanja isteri pergi berkursus.

"Nafkah tidak berlaku jika ia membebankan sama ada suami atau isteri. Islam itu adil di mana ia telah menggariskan hak masing-masing. Tetapi kemelut nafkah sering berlaku kerana mereka tidak jadikan Islam sebagai panduan.

"Kerajaan sebagai ulil amri (pemerintah) telah laksanakan pelbagai usaha antaranya penggubalan akta atau enakmen, penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan sebagainya.

"Namun, sekiranya rumah tangga tidak diisi dengan roh-roh agama, akhirnya benteng itu akan roboh jua suatu hari nanti walaupun pihak berwajib telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara keutuhan institusi keluarga," jelas Abdul Halim.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131001

Tags: kahwin, nafkah
Subscribe

  • Sifat malu halang kemungkaran

    Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang…

  • Malu bukan penghalang wanita berjaya

    Golongan beriman tahu menjaga kesucian diri lebih dihormati masyarakat Setiap wanita harus bijak mengurus kehidupan sesuai dengan sifat malu yang…

  • Sifat malu benteng elak kemungkaran

    Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi, malah pelakunya tiada perasaan malu melakukan perbuatan itu terang-terangan. Apabila hilang perasaan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments