mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bumi Allah itu luas

BUMI, menurut tafsiran yang khusus adalah tanah tempat kita berpijak. Manakala dalam erti yang luas mencakupi lautan, udara, daratan dan segala isinya. Oleh itu, ada istilah'perut bumi' yang mengandungi air, minyak dan batuan, yakni tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tertimbun selama jutaan tahun.

Allah SWT memilih bumi sebagai tempat tinggal yang kaya dan subur untuk penghidupan manusia (rujuk al-Baqarah: 22, ar-Ra'd: 3, Qaf: 53-54) dan diciptakan-Nya pula gunung untuk mengukuhkannya agar manusia dapat hidup di atasnya tanpa ketakutan. (rujuk al-Naml: 61)

Bumi Allah

Di dalam surah az-Zumar, ayat 30, disebut bahawa bumi Allah SWT itu luas. Makna yang terkandung dalam ayat ini adalah kita akan mendapat kebaikan jika kita beriman, berbakti kepada Allah SWT dan bersabar.

Perkara berlawanan bagi ayat di atas dapat dibaca di dalam surah Taha, ayat 124 yang menyatakan bahawa siapa yang berpaling ingkar daripada petunjuk Allah SWT, maka baginya kehidupan yang sempit.

Katakanlah, Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas. (az-Zumar: 10)

Padang Mahsyar

Di bumi, manusia hidup dan mati, lalu dibangkitkan kembali di Padang Mahsyar pada hari kiamat (rujuk al-A'raf: 25). Ertinya, segala yang ada di bumi dijadikan manusia (rujuk al-Baqarah: 29), tetapi hanya sebagai tempat sementara.

Dalam hadis riwayat Bukhari daripada Ibnu Umar ra., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah orang asing atau penyeberang jalan." Oleh itu, manusia harus mengetahui erti dan tujuan hidupnya di bumi, yakni menyembah dan beribadat kepada-Nya. (rujuk az-Zariyat: 56)

Tanggungjawab manusia

Secara harfiah, surah az-Zumar, ayat 10, boleh ditafsirkan bahawa bumi Allah SWT itu begitu luas, sehingga tidak ada alasan bagi manusia untuk tidak berbuat baik dan berbakti. Kita digalakkan menjelajah bumi dan meningkatkan rasa tanggungjawab serta martabat kita sebagai manusia.

Dalam al-Quran, ada kritikan terhadap orang yang menyerah dan tidak mahu berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang bertanggungjawab serta meningkatkan martabatnya. (rujuk an-Nisa: 97)

Khalifah di muka bumi

Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah di muka bumi. (rujuk al-Baqarah: 30) Hanya manusia, bukan jin atau malaikat yang diberi kepercayaan oleh Allah untuk memelihara bumi (rujuk al-A'raf: 56 dan 85), kerana hanya manusia yang memiliki akal serta fikiran untuk memahami tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT di muka bumi. (rujuk ar-Rum: 22)



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131001
Tags: bumi, khalifah, manusia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments