mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ketaatan, maksiat tak boleh bercampur

Hubungan suami isteri adalah ikatan yang menterjemahkan hakikat kehidupan begitu indah dan bermakna. Perkahwinan satu tuntutan dalam Islam dan antara perkara penting diberi perhatian ialah pemilihan jodoh kerana dari sinilah bermulanya masa depan rumah tangga.

Jika rumah tangga dibangunkan dengan keimanan, ketakwaan, kasih sayang dan penuh amanah, maka ia menjadi pemangkin kepada kewujudan generasi baik dan cemerlang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang yang jahat; mereka itu akan beroleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia.” (Surah an-Nur, ayat 26)

Rumah tangga yang dibina suami isteri soleh dan solehah sudah pasti akan rukun berpandukan aturan Allah SWT dalam syariat Islam. Suami isteri yang soleh sentiasa menjadikan Islam sebagai kayu pengukur dalam setiap perbuatan dan perkataannya.

Garis panduan pilih pasangan hidup

Islam menyediakan garis panduan lengkap memilih pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Dikahwini wanita kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, utamakanlah wanita yang beragama nescaya kamu akan beruntung.” (Riwayat Muslim)

Ciri paling baik mencari jodoh ialah memilih pasangan yang berilmu dan beramal dengan ajaran agama. Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam sangat menekankan isu ini disebabkan kesannya yang besar dalam kehidupan bermasyarakat. Setiap ibu bapa perlu menanamkan asas agama yang kukuh ke dalam jiwa anak sejak kecil supaya mereka bakal menjadi suami atau isteri soleh dan solehah.

Berikan bimbingan dan panduan tepat kehidupan berkeluarga supaya anak faham adab pergaulan sesama berlainan jantina, mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain serta batas yang sesuai dengan ajaran agama serta adat budaya tempatan.

Mana mungkin kehidupan rumah tangga yang bercampur ketaatan dengan maksiat dapat mewujudkan generasi cemerlang dan sejahtera.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua-dua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Seperti seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong.” (Riwayat Abu Hurairah)

Hadis ini menjelaskan ibu bapalah yang mencorak keperibadian anak. Bapa Anas Bin Malik ketika ditanya bagaimanakah beliau mendidik anaknya sehingga menjadi seorang ulama besar, beliau menjawab: “Ia bergantung kepada cara memilih calon ibunya.”

Dengan kata lain, pemilihan calon pasangan hidup yang tepat dari perspektif Islam adalah satu detik permulaan yang penting dalam menentukan hala tuju sesebuah rumah tangga dan keluarga yang hendak dibina.

Suami soleh

Suami yang soleh sentiasa melaksanakan kewajipan kepada Allah SWT dan keluarganya dengan penuh keikhlasan. Mereka bukanlah seorang yang tamak, malahan lebih mengutamakan kewajipannya daripada menuntut haknya. Mereka juga sentiasa bertolak ansur dan memaafkan isteri atau sesiapa yang sepatutnya menunaikan hak kepadanya.

Justeru, keteguhan pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan supaya kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah satu ujian. Dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Kelebihan sesebuah rumah tangga yang dihuni oleh suami isteri yang soleh dapat melahirkan kegembiraan kepada pasangan masing-masing. Mereka juga menjadi ibu bapa yang penyayang kepada anak serta sanggup bersusah payah untuk kebahagiaan mereka.

Rasulullah SAW mendidik sahabat mengamalkan akhlak mulia terutama dalam mendokong peranan sebagai seorang suami dan bapa. Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik pada isterinya.” (Riwayat Abu Hurairah)

Sesungguhnya anak hari ini bakal membentuk rumah tangga pada masa depan. Kita hendaklah memastikan setiap anak mempunyai akidah yang kukuh, mulia akhlaknya dan istiqamah dalam ibadahnya.

Apabila ini dapat dilaksanakan, sebarang bentuk ancaman akan dapat dihadapi dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan atau dakyah yang menyeleweng.

Nik Salida Suhaila ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama 10/10/2013
Tags: maksiat, soleh, suami, taat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments