mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memakmurkan kehidupan

ALHAMDULILLAH syukur kita kehadrat-Nya kerana masih lagi mampu meneruskan sisa kehidupan untuk mengisi acara ibadat kepada-Nya. Dalam melayari bahtera kehidupan sewajarnya kita berusaha dan bekerja untuk memakmurkan kehidupan kita ini.

Diri manusia dan bahan-bahan yang terdapat dalam alam ini, sedia untuk dibangunkan, dikembangkan serta dimanfaatkan. Antara nikmat Allah SWT yang terbesar kepada manusia ialah Allah SWT menjadikan alam ini bersedia untuk dimanfaatkan oleh manusia dalam lingkungan tugasnya sebagai khalifah.

Allah SWT berfirman: Dialah yang menjadikan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya. (Hud: 61)

Untuk membolehkan manusia memainkan peranan mentadbir bumi Allah SWT dalam lingkungan tugasnya sebagai khalifah, mereka mestilah membangunkan diri dan melengkapkannya dengan pelbagai keupayaan.

Oleh kerana memahami, menyusun dan mengolah kembali alam ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan ilmu, maka manusia mestilah melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan.

Manusia mestilah menggerakkan potensi diri yang dikurniakan oleh Allah SWT lalu mengembangkannya untuk tujuan pembangunan. Ini bermakna manusia mestilah menggunakan akalnya semaksima mungkin sehingga berfikir, berfikir tentang dirinya dan alam ini.

Potensi fitrah manusia perlu ditonjolkan, supaya berkembang menuju pembangunan dan bukan membawa keruntuhan. Sikapnya, keinginannya, perasaannya mestilah dikembangkan berasakan kepada nilai-nilai murni dan dibangunkan mengikut acuan yang sesuai dengan tuntutan pembangunan menuju kesempurnaan insaniah dan kemanusiaan.

Oleh kerana manusia itu sebahagian daripada alam, maka pembangunan alam mestilah selari dengan pembangunan manusia. Kepincangan akan berlaku, sekiranya pembangunan alam tidak selari dengan pembangunan manusia.

Bangunan-bangunan indah dan tinggi dengan peralatan canggih, tidak bermakna jika penghuninya ialah manusia yang rosak akhlaknya, rendah perasaan kemanusiaannya, rakus perasaannya dan tidak bertamadun daripada segi sikap dan kelakuannya.

Manusia yang membangun ialah manusia bertamadun. Manusia yang bertamadun ialah manusia yang tinggi daya pemikirannya, teratur dan tersusun kelakuannya, berbudi bahasa, berjiwa maju serta hidup beradab dan bersistem.

Manusia yang bertamadun juga ialah manusia yang seimbang dan jauh pandangannya. Jangkauan pandangannya tidak hanya sekadar di dunia tetapi juga di akhirat, begitulah sebaliknya. Mengimbangi kehidupan duniawi dan ukhrawi adalah sifat manusia yang bertamadun.

Ini kerana pandangan yang seimbang akan melahirkan manusia yang tidak rakus di dunia dan tidak pula pasif dan beku. Ia akan bersifat sederhana, tidak melampau dan tidak jumud. Kesederhanaan adalah lambang keharmonian perasaan. Ia juga menjadi tanda kesejahteraan.

Manusia yang mempunyai pandangan seimbang, sentiasa berusaha bagi menjamin kebahagiaannya di akhirat tanpa mengabaikan nasib dan tangungjawabnya di dunia. Ia membangunkan bumi dengan penuh kesungguhan, tetapi tidak pula lupa daratan dan sentiasa beristighfar kepada Allah SWT yang menciptakannya kerana dia tahu bahawa dia akan kembali kepada Allah SWT.

Manusia yang seimbang sentiasa yakin bahawa tanggungjawabnya membangunkan bumi adalah dalam lingkungan ibadah kepada Allah SWT. Ia mencebur diri dan bergiat dalam perniagaan, perusahaan, pertanian dan sebagainya semata-mata kerana ibadah kepada Allah SWT.

Manusia yang seimbang, berusaha membangunkan bumi ini, dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa bumi ini adalah amanah Allah SWT. Apa sahaja usaha pembangunan yang dilakukan ia mestilah menjurus ke arah kebaikan berdasarkan ilmu.

Justeru, pembangunan yang dilakukan hendaklah berdasarkan prinsip-prinsip tertentu:

lMenjauhi pembaziran dan mengelakkan diri daripada bersikap rakus terhadap alam.

lSentiasa memelihara dan menjaga alam supaya tidak rosak binasa. Umpamanya, kerja-kerja pembalakan tidaklah sehingga menyebabkan keringnya sungai-sungai. Caranya ialah dengan menetapkan dasar bahawa pembalakan tidak boleh dijalankan di tempat-tempat tadahan air dan di hulu-hulu sungai. Ini kerana kerosakan alam semulajadi akan membawa bencana kepada makhluk Allah SWT dan kepada kehidupan manusia sendiri.

lMembangunkan bumi adalah untuk kesejahteraan manusia dan bukan semata-mata kerana pembangunan. Oleh sebab itu, dalam usaha pembangunan, hendaklah terlebih dahulu difahami aspek manakah yang benar-benar membawa kesejahteraan manusia, pemeliharaan maruah dan kehormatannya. Ini kerana tidak bermakna pembangunan jika ia membawa penderitaan kepada manusia.

lPembangunan hendaklah dilaksanakan untuk kepentingan ramai bukan untuk segelintir manusia serta mencabuli hak-hak majoriti dan makhluk Allah SWT yang lain.

Semoga kita menjadi manusia yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131011
Tags: makmur
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments