mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ganjaran syurga bagi ibu ikhlas urus keluarga

Cabaran isteri dan ibu, khususnya mereka yang berkerjaya adalah membahagikan masa menguruskan rumah tangga serta memastikan tugas di pejabat disempurnakan sebaiknya. Disebabkan kesibukan itu, ibu mungkin terlupa mengenai himpunan ganjaran dikumpulkan mereka.

Niat ikhlas melakukan apa juga tugas diamanahkan adalah syarat utama, justeru, ibu dan isteri perlu ikhlas melunaskan tanggungjawab dan amanah. Ini kerana banyak ganjaran menanti hingga untuk sekecil-kecil kebaikan yang dilakukan.

Anas bin Malik berkata, “Seorang wanita menemui Aisyah dan Aisyah memberinya tiga biji kurma. Lalu, wanita itu memberikan kurma itu kepada dua orang anaknya, masing-masing sebiji. Dia sendiri memegang sebiji kurma untuk dirinya. Setelah kedua-dua anaknya menghabiskan kurma itu, mereka memandang kepada ibunya. Wanita itu membelah kurma yang ada di tangannya dan membahagikannya kepada anak-anaknya. Kemudian, Rasulullah pulang dan Aisyah memberitahu perkara itu kepadanya. Rasulullah bersabda: Apa yang membuatkan kamu kagum terhadap perkara itu? Allah telah merahmatinya kerana kasih sayangnya kepada anak-anaknya.” (Riwayat al-Bukhari)

Menyayangi anak menjanjikan ganjaran besar, tetapi ada juga ibu yang tertekan kerana perlu melakukan dua tugas. Malah, suri rumah sepenuh masa turut berdepan tekanan menguruskan rumah tangga dan keperluan anak-anak.

Gagal kawal tekanan

Disebabkan gagal mengawal tekanan, berlaku masalah dalam hubungan suami isteri dan ibu bapa dengan anak-anak. Banyak kes penderaan anak, pergaduhan suami isteri dan kekerasan rumah tangga dilaporkan.

Sebaliknya, jika masing-masing berusaha menunaikan tanggungjawab dan memperbaiki kekurangan yang ada, semua masalah dapat diselesaikan. Pada masa sama, sentiasa muhasabah hubungan dengan Allah SWT supaya hidup sentiasa dalam rahmat-Nya.

Abu Umamah berkata, Rasulullah SAW melihat seorang wanita yang membawa anak-anaknya. Seorang didukung, sedangkan anak-anak yang lain berjalan di belakangnya. Rasulullah bersabda: “Ibu-ibu yang mengandung, melahirkan dan menyayangi anak-anaknya, sekiranya mereka tidak menderhakai suami dan mendirikan solat, nescaya mereka akan dimasukkan ke syurga.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibu juga diingatkan supaya tidak mendoakan perkara tidak baik kerana sesungguhnya doa itu termasuk dalam kumpulan doa yang dimakbulkan Allah SWT. Sebaiknya, apa juga dugaan dihadapi, ibu perlu mendoakan segala kebaikan untuk ahli keluarganya.

Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah mendoakan keburukan untuk diri kamu, anak-anak kamu, pekerjaan kamu atau harta-harta kamu, supaya permohonan kamu tidak bertepatan dengan waktu Allah memakbulkan doa hamba-hambaNya.” (Riwayat al-Bukhari)


Berita Harian Online Agama 15/10/2013
Tags: ibu, isteri, syurga
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments