mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bahaya pelampau rosak perpaduan ummah

Sikap taksub sebabkan seseorang terkeluar Islam

Kewujudan pelampau agama atau mereka yang mengada-adakan ajaran baru bukanlah perkara baru kerana sudah lahir bertahun lama sejak kewafatan Nabi Muhammad SAW. Selepas baginda wafat, muncul individu mendakwa dirinya rasul, nabi, Imam Mahdi serta menyebarkan ajaran melampau mereka kepada masyarakat.


Antaranya Musailamatulkazab, Al Aswad Al Anusi, Talhah Al Asady dan lain-lain lagi. Namun, pelampau agama mula dijenamakan semula dengan pelbagai istilah dan terma. Kini istilah pelampau sering disebut sebagai ekstrem, radikal, fundamental dan digunakan dengan nuansa tertentu.

Seseorang yang menjadi pelampau juga berpegang kepada sesuatu fahaman secara berlebihan dan memaksa orang lain mengikut apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT kepada hambanya" Prof Dr Yusof, Al-Qaradhawi

Rasulullah SAW bersabda: “Berhati-hatilah dengan pelampau agama. Orang dulu binasa/mundur disebabkan sikap melampau dalam beragama.” (Riwayat Ahmad, An-Nasa’I, Ibnu Majah, Hakim)

Sabda baginda lagi: “Janganlah terlalu menyusahkan diri kamu. Sesungguhnya orang dulu dari kamu menimpa kebinasaan kerana sikap melampau dan menyusahkan diri mereka sendiri. Saki baki mereka ini masih lagi boleh didapati di tempat ibadat.” (Riwayat At-Tabrani)

Tidak adil melabelkan seseorang itu pelampau jika dia tegas berpegang kepada pandangan hukum atas dasar hujah tanpa bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Sudah menjadi kehendak Allah menciptakan manusia dengan akal fikiran, pandangan serta cita rasa berbeza.

Malah ini juga salah satu bukti kekuasaan Allah. Sahabat nabi juga ada kalanya berbeza pendapat umpamanya Ibnu Abbas memilih jalan yang mudah dan Ibnu Umar pula memilih jalan susah.

Dr Thaha Jabir Fayyadh Al-Alwani dalam kitab Adab Perbezaan dalam Islam menyatakan, perbezaan pendapat adalah fenomena tabii, tetapi jangan sampai melampaui batas, sentiasa menjaga adabnya dan tidak bercanggah dengan wahyu.

Namun, pelampau agama dari sudut akidah boleh mengancam agama Islam. Pelampau agama masa kini menggunakan modus operandi menubuhkan gerakan bertopengkan atas nama agama, tetapi di sebaliknya mempunyai agenda sesat tersendiri.

Oleh itu, mari kita teliti dan kenal enam tanda-tanda pelampau agama berdasarkan pandangan Profesor Dr Yusof Al-Qaradhawi. Pertama, taksub dengan pendapat tertentu sehingga tidak mahu langsung menerima atau mendengar pandangan orang lain.

Pandangan sempit

Sikap fanatik kepada pandangan sempit dan berkepentingan adalah tanda pertama bermulanya aliran dan pegangan seseorang itu dianggap sebagai pelampau. Puak pelampau sering membuat kenyataan kontroversi seperti mengaku guru mereka wali atau mempunyai keramat, mampu memberi syafaat malah lebih parah mendakwa sebagai Imam Mahdi atau rasul.

Sedangkan sudah jelas diberitahu oleh Allah SWT yang menjadi petunjuk kebenaran Rasulullah sebagai Khattami Al-Nabiyyin (nabi yang terakhir).

Sikap taksub dan fanatik boleh merosakkan persaudaraan umat Islam dan paling membimbangkan jika sikap taksub menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.

Seseorang yang menjadi pelampau juga berpegang kepada sesuatu fahaman secara berlebihan dan memaksa orang lain mengikut apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT kepada hambanya.

Pelampau ini mendesak supaya mengerjakan serta seolah-olah itu wajib, makruh serta haram. Disebabkan kedangkalan ilmu agama, mereka sering menuduh orang lain ‘meringan-ringankan’ agama sedangkan mereka tidak menyalahi hukum dan nas.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah suka kamu melakukan perkara yang mudah dan tidak mahu kamu melakukan perkara yang susah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Pelampau suka bersikap melampau yang tidak kena tempat seperti terlalu keras dan sempit ketika berdakwah kepada sasaran dakwah yang baru berjinak-jinak memantapkan penghayatan Islam atau saudara baru.

Pelampau ini bermati-matian mempertahankan perkara furuk berbanding memantapkan rukun Islam dan rukun Iman kepada masyarakat awam yang masih lemah pemantapan akidahnya.

Cintai perdamaian

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang Arab mengenai perkara fardu maka Nabi menjawab: “Solat lima waktu, memberi zakat, berpuasa. Orang Arab itu bertanya: Ada yang lain lagi? Nabi menjawab: Tidak, kecuali kamu mahu melakukannya secara sukarela.”

Islam adalah agama yang mencintai perdamaian, persaudaraan dan melarang umatnya bersikap ganas serta keras dalam berdakwah. Pelampau agama terkenal dengan sikap ganas dan keras ketika mempertahankan pendirian mereka atau menuntut sesuatu kebenaran.

Sikap ekstrem sering mengundang mereka menubuhkan kumpulan militan atau kumpulan radikal yang akhirnya merugikan agama Islam. Mereka hanya mentafsirkan al-Quran dan hadis secara dasar tanpa memahaminya dengan disiplin ilmu agama yang tersusun.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Pelampau agama sering memandang orang lain dengan sinis, buruk sangka, tidak cukup ilmu dan lain-lain sangkaan buruk. Islam mengajar umatnya sentiasa bersangka baik kepada orang lain dan bersederhana dalam kehidupan.

Kemuncak pelampau agama ialah mengkafirkan orang lain kerana menurut hawa nafsu. Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang umatnya mengkafirkan sesama Islam. Nabi Muhammad SAW juga mencirikan pelampau agama seperti membunuh saudara sesama Islam dan menuduh menyembah berhala.

Lebih membimbangkan pelampau agama ini menjanjikan masuk ke syurga secara ‘ekspres’ dan kemewahan dunia yang menjadi daya tarikan kepada orang ramai yang nipis imannya.

Oleh itu, umat Islam haruslah menjauhi sikap melampau dalam agama atau mendekati kelompok bersikap melampau dalam tindakan dan pemikiran mereka. Berpegang teguhlah kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan akidah di negara ini.

Islam seperti disebarkan oleh Rasulullah SAW menganjurkan kesederhanaan atau wasatiyyah. Rasulullah SAW terkenal dengan sikap kesederhanaan dalam kehidupannya dan dakwahnya. Sikap itu yang membuka hati ramai penduduk Arab memeluk Islam dan membentuk satu kesatuan ummah yang kuat.

Mohd Hariri Mohamad Daud adalah Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Online Agama 19/10/2013
Tags: damai, taksub, ummah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments