mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pelampau agama ancam keharmonian

Selasa lalu kita sambut Hari Raya Korban. Tapi bukan satu dunia raya hari yang sama. Ada yang sama zon waktu pun raya hari berlainan.

Kalau tak silap Kunta Kinte, orang Islam di India sambut Hari Raya Haji pada hari Rabu, 16 Oktober. Macam itu juga Brunei. Itu ikut kira negara atau pihak berkuasa agama masing-masinglah.


Sekarang ini, Kunta Kinte tengok makin ramai orang kita buat korban. Kunta Kinte rasa ada dua sebab. Nombor satu, orang kita makin ambil berat hal-hal agama. Bukan saja fardu ain, tapi juga fardu kifayah dan amalan-amalan sunat.

Kita boleh tolak ansur dengan agama lain. Kunta Kinte rasa tak banyak negara Islam yang tolak ansur macam kita. Tapi janganlah kita tolak ansur dan mengalah sampai ada orang berani pijak kepala kita”

Nombor dua, makin ramai orang Islam di negara kita yang mampu untuk buat korban, beri sedekah dan buat kerja-kerja kebajikan sebab dah senang sikit.

Alhamdulillah, semua ini adalah hasil daripada kebolehan umat Islam Malaysia memimpin, memerintah dan mentadbir dengan agak baik. Tak banyak negara pelbagai agama, bangsa dan suku kaum yang aman dan maju macam Malaysia.

Usah bertindak melampau

Jadi, Kunta Kinte haraplah, tak kira apa pegangan dan falsafah politik kita, kita janganlah bertindak secara melampau dan buta tuli sampai rosakkan keamanan dan kemajuan negara.

Marilah sama-sama kita jadi contoh dan teladan orang Islam yang baik. Sekarang tambah banyak negara dan masyarakat Islam yang bergolak, bergaduh dan berbunuhan sama sendiri. Musuh Islam dah tak payah buat apa-apa. Orang Islam dah buat lebih teruk kepada sesama Islam.

Macam tahun-tahun lepas juga, Kunta Kinte turut buat korban. Tapi tahun ini Kunta Kinte hanya buat di luar negara, iaitu di Sri Lanka di mana umat Islamnya minoriti dan miskin.

Kita boleh tolak ansur dengan agama lain. Kunta Kinte rasa tak banyak negara Islam yang tolak ansur macam kita. Tapi janganlah kita tolak ansur dan mengalah sampai ada orang berani pijak kepala kita.

Jadi Kunta Kinte sangat gembira dan syukur bila Mahkamah Rayuan Putrajaya tolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang benar surat khabar Katolik bernama Herald guna kalimah ‘Allah’ dalam edisi bahasa Melayunya.

Mana-mana pihak pun boleh tuntut dan boleh bawa kes mereka ke mahkamah. Tapi benda-benda yang tak patut dicabar atau yang bukan jadi amalan harian sejak turun tak perlulah dituntut dan diungkit.

Perbuatan macam ini boleh ancam sikap tolak ansur orang Islam dan orang Melayu. Tak eloklah cabar setakat nak tunjuk berani atau atas alasan kebebasan.

Bila benda-benda macam ini berlaku, orang yang baik, yang duduk aman damai pun boleh ubah sikap jadi keras dan bermusuh.

Kekalkan keamanan

Kunta Kinte lahir dan dewasa dalam zaman toleransi. Dalam zaman orang Melayu, Cina dan India hidup aman damai. Zaman orang Islam, Buddha, Hindu, Kristian berbaik-baik satu sama lain.

Banyak yang Kunta Kinte lalui dan amalkan benda yang boleh jadi bagi sesetengah orang Islam hari ini tak betul atau tak serasi dengan akidah.

Misalnya, Kunta Kinte kerap hadiri majlis-majlis perayaan orang bukan Islam atau melawat mayat orang bukan Islam.

Baru-baru ini Kunta Kinte lalui satu pengalaman macam itu yang menyentuh perasaan dan pada masa yang sama gambarkan kemajmukan negara kita Malaysia.

Kunta Kinte hadiri majlis menghormati kematian seorang wanita Cina beragama Buddha di Rumah Pengurusan Mayat, Cheras. Apa yang menarik adalah mendiang tinggal dan hembus nafas terakhir di rumah anak lelakinya seorang mualaf.

Anaknya itu sudah lama memeluk Islam, berumah tangga dan beranak-pinak, tapi dia tetap mahu tinggal dengan anaknya itu walaupun dia ada beberapa orang anak lain yang satu agama dengan dia. Masa saya hadir upacara itu, ramai juga orang Islam dan orang Melayu termasuk menantu dan cucu-cucunya yang beragama Islam turut hadir.

Begitu juga bila Kunta Kinte ziarah jenazah orang Islam. Bukan saja orang Islam yang hadir, sahabat taulan bukan Islam pun hadir sama. Masa Kunta Kinte membesar di kampung dulu, acara pengebumian orang Cina jadi sebahagian daripada kegiatan masyarakat.

Orang Melayu ikut sama. Kita dijamu ‘air minet’ (lemonade) dan kacang goreng. Malah, ada orang Melayu yang ikut sama dalam perarakan mayat kerana mereka berjiran dan bersahabat dengan si mati.

Jadi tak eloklah sekarang kalau kita nak gaduh dan nak masam muka pasal ada segelintir pelampau agama yang lebih utamakan fahaman mereka daripada hidup aman damai. Wallahualam.

Kunta Kinte Berita Harian Online Rencana 19/10/2013
Tags: aman, harmoni, korban, pelampau
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments