mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Senyum kepada anak berpahala

SEBAGAI seorang ayah, saya sangat terganggu apabila membaca berita jenayah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Hati saya terasa dicarik-carik walaupun mangsa bukan keluarga saya, bahkan tidak saya kenali.

Rasa sayang kepada kanak-kanak adalah fitrah semula jadi manusia. Orang yang tidak beragama sekalipun menyayangi anaknya. Bahkan haiwan yang tidak berakal pun sangat sayang kepada anak dan selalu bersiap sedia melindunginya.

Islam ialah agama fitrah. Maknanya, ajaran-ajaran Islam sejalan dengan fitrah manusia yang cinta dan kasih kepada kanak-kanak. Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa bukan hanya menyediakan nafkah zahir bagi anak-anak, tetapi juga mewajibkan kedua-duanya mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada mereka.

Perlakuan kita kepada anak-anak menandakan darjat iman kita. Ketinggian iman selalu beriringan dengan sikap lembut kepada anak-anak kecil. Dan kerendahan iman selalu ditunjukkan dengan sikap keras dan kasar kepada anak-anak.

Satu hari Rasulullah mencium cucunya yang bernama Hasan bin Ali. Melihat perlakuan ini, Aqra bin Habis berkata: "Saya memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka."

Rasulullah memandang wajah orang ini. Lalu baginda bersabda: "Siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Istimewa

Anak-anak mendapat tempat istimewa dalam Islam. Mereka wajib dilayan dengan baik, didengar keluhan mereka dan dipenuhi keperluannya.

Setiap ibu bapa yang gagal melakukan tugasan ini dikira berdosa.

Rasulullah bersabda: "Cukuplah satu dosa apabila kita mengabaikan orang yang menjadi tanggungan kita." (riwayat al-Bukhari)

Pada saat yang sama, Islam tidak menyukai kekerasan hati. Islam membenci manusia-manusia yang ramah apabila di pejabat, namun bersikap dingin kepada anak isterinya di rumah.

Allah SWT tidak menyukai kaki pukul walaupun ia selalu hadir dalam solat berjemaah dan sentiasa melakukan puasa sunat.

Pernah satu ketika Rasulullah menjadi imam dalam satu solat berjemaah. Apabila beliau sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya dalam masa yang cukup lama.

Selepas solat, para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa tuan memanjangkan sujud? Adakah wahyu telah diturunkan kepada tuan?"

Rasulullah menjawab: "Tidak. Akan tetapi cucuku menaiki bahuku apabila aku tengah sujud. Aku membiarkannya bermain-main hingga ia puas." (riwayat al-Nasa'i)

Hak mereka

Dalam konteks moden di mana kedua-dua ibu bapa bekerja di luar, mereka mesti pandai mengatur suasana hatinya.

Mereka kerunsingan dalam pekerjaan dan ini tidak boleh mempengaruhi perilakunya apabila berinteraksi dengan anak-anak di rumah.

Sepenat mana pun bekerja, kita mesti meluangkan masa untuk mereka bermanja.

Sebab bermanja dan perhatian ialah salah satu hak mereka yang wajib dipenuhi ibu bapa.

Sekali lagi, ibu bapa bukan hanya wajib memberi nafkah zahir, namun juga nafkah batin.

Teladanilah sikap para sahabat Nabi yang bernama Zaid bin Thabit. Al-Zahabi menceritakan bahawa tokoh sahabat ini sangat berwibawa apabila berada di tengah masyarakat. Namun sangat kelakar apabila bersama keluarganya.

Justeru, senyumlah kepada anak sebab ia berpahala.



UMAR MUHAMMAD NOOR PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131022
Tags: pahala, senyum
Subscribe

  • Makrifat kepada Rasulullah

    ALHAMDULILLAH pada kali ini saya sengaja membincangkan isu berkaitan Rasulullah SAW sementelahan pula dengan kedatangan bulan Rabiulawal. Lebih…

  • Makrifatullah perisa ibadah

    SUATU hari seorang ulama terkenal bernama Abdullah bin Al-Mubarak berkata: "Kasihan ahli dunia. Mereka keluar dari dunia sebelum merasai…

  • Khutbah Jumaat: Persamaan Dalam Perbezaan

    Petikan Khutbah Jumaat 17 September 2021M / 10 Safar 1443H JAKIM Persamaan Dalam Perbezaan Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments