mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hikmah Al-Quran: Pejuang kebenaran kena fahami tipu daya musuh

Kemenangan, kecemerlangan hanya diberi kepada orang bertakwa

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 40)

Ayat ini menceritakan sebahagian daripada episod hijrah Rasulullah SAW. Sebahagian kita menyangka ia turun sewaktu peristiwa besar itu berlaku atau sesudahnya. Sebenarnya, ayat itu turun sembilan tahun selepas peristiwa hijrah. Ia membayangkan peristiwa hebat itu seolah-olah hidup sepanjang masa dan zaman.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Ilal Wa Adwiyah menyebut, ingatan al-Quran terhadap peristiwa hijrah adalah rentetan daripada tindakan Rom ketika itu yang menentang dan menyanggah risalah tauhid dibawa pejuang Islam, menghalang serta menghalau mereka daripada berdakwah.

Rom ketika itu adalah kuasa tunggal yang menguasai dunia setelah berjaya menumpaskan Parsi. Setelah Rasulullah SAW membuat keputusan menentang Rom, ia menimbulkan kejutan dalam kalangan sahabat.

Mereka bercakap sesama mereka, bagaimana hendak berhadapan dengan kuasa besar itu, lalu Allah SWT menurunkan ayat 40, surah at-Taubah untuk menghilangkan segala kelemahan serta menggesa mereka untuk keluar berhadapan dengan Rom tanpa merasa takut dan bimbang.

Allah mengingatkan bagi yang merasa berat untuk berjihad bahawa kemenangan itu adalah dari sisi Allah SWT tanpa mengira soal berapa jumlah pejuang terbabit atau persiapan yang telah dibuat. Pelajaran daripada peristiwa hijrah diingatkan kembali.

Saat bagaimana Rasulullah SAW keluar dari kota Makkah ditemani oleh Saidina Abu Bakar As-Sidiq, bersembunyi seketika dalam gua dengan keadaan musuh berada hanya beberapa meter saja dan ungkapan keimanan jitu daripada Rasulullah SAW.

Hasilnya, Allah SWT tidak pernah mempersia-siakan orang yang berpaut dan bersandar kepada-Nya. Selepas beberapa tahun Rasulullah SAW dan sahabatnya berhijrah ke Madinah, akhirnya diberi ruang kembali ke Makkah untuk membukanya dengan meninggikan nama Islam.

Umat Islam perlu mempunyai kekuatan

Pengajarannya ialah umat Islam perlu mempunyai kekuatan dan persiapan. Pasti Allah SWT tidak menolong umat yang tidak berbuat apa-apa, lemah dan malas. Bagaimana untuk Allah SWT menolong mereka sedangkan mereka tidak mahu menolong diri sendiri.

Hijrah untuk orang yang bertawakal setelah berusaha, berikhtiar dan merancang sungguh-sungguh bukan untuk orang yang berpura-pura bertawakal, tetapi menunggu segala-galanya daripada Allah SWT sedangkan mereka tidak melakukan sesuatu pun.

Ayat berkaitan hijrah ini turun selepas kejayaan dan kemenangan. Ia adalah pemisah dalam dua fasa perjuangan Rasulullah SAW di Makkah dan Madinah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu ialah orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.” (Surah al-Nahl, ayat 41-42)

Orang yang berhijrah dari Makkah menuju Madinah telah membuat keputusan besar dalam hidup mereka dengan meninggalkan tanah tumpah darah, harta dan segala kenangan hidup. Mereka meninggalkan bumi Makkah kerana Allah SWT dan memilih untuk bersama Nabi Muhammad SAW.

Pengajaran daripada peristiwa hijrah

Antara pengajaran yang boleh kita pelajari daripada peristiwa hijrah, kita mendepani cabaran semasa ialah kemenangan Allah SWT hanya boleh diperoleh setelah umat Islam bersabar, berkorban dan membetulkan cara hidup di atas landasan yang benar.

Kemenangan dan kecemerlangan sebenar hanya diberikan kepada orang yang bertakwa. Islam tidak akan mati, yang mati ialah jiwa-jiwa yang hendak mempertahankan Islam. Justeru setiap dari kita harus menjadi benteng kepada Islam.

Pertarungan antara kebenaran dan kebatilan akan berterusan, ia memerlukan pejuang kebenaran memahami tipu daya musuh. Persaudaraan dan perpaduan hakiki hanya boleh dicapai melalui kasih sayang yang diterapkan al-Quran.

Justeru, peristiwa hijrah yang berlaku lebih 1400 tahun lalu sepatutnya dianalisis, dipelajari dan dihayati kerana kisahnya sesuatu yang hidup bukan sekadar dibaca sebagai sejarah sudah berlalu.

Ahmad Shukri Yusoff ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources. Berita Harian Online Agama 01/11/2013
Tags: al-quran, hijrah, hikmah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments