mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bukan semua prinsip hak asasi bersifat sejagat

Gelombang hak asasi berpaksikan akal naluri manusia dan meletakkan kebebasan diri tanpa sempadan agama bagai begitu mendapat tempat dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

Perkara ini jelas selepas pembentangan pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, baru-baru ini. Antara lain, kita mengambil maklum bahawa COMANGO dilaporkan sebagai menuntut kebebasan orientasi seksual.

Perlu ditegaskan, tuntutan sebegitu jelas bertentangan dengan kefahaman, pendirian dan prinsip Islam. Begitu juga dengan ketidakselarasan tuntutan itu dengan hala tuju dan ideologi negara.

Kita perlu sedar, itulah hakikat kedudukan hak asasi di Malaysia. Tuntutan itu jelas menunjukkan konflik yang sedang kita hadapi mengenai falsafah atau prinsip hak asasi.

Kita lihat pihak yang menyokong hak asasi berpaksikan akal naluri manusia itu membawa hujah kesejagatan hak asasi. Dalam erti kata lain, hak asasi seperti itu mendapat pengiktirafan dunia. Saya tidak menafikan hujah kesejagatan hak asasi. Ada beberapa perkara yang kita harus terima bahawa hak asasi mempunyai elemen kesejagatan.

Usah ketepi elemen tempatan

Namun, pihak itu harus menerima hakikat hak asasi juga mempunyai elemen tempatan. Tidak semua prinsip dalam hak asasi itu sejagat. Apa yang dimaksudkan dengan hak asasi serta ideologi dan falsafahnya juga perlu diterima masyarakat setempat.

Hak asasi mempunyai nilai tempatan dan perlu boleh diterima oleh masyarakat. Oleh itu ‘paksaan’ ke atas kita untuk menerima hak asasi yang dikatakan sejagat sebenarnya juga satu pencerobohan ke atas hak asasi. Ia pencerobohan untuk kita menentukan hala tuju hak asasi berdasarkan ideologi dan falsafah negara.

Warga Malaysia perlu mengenali dan memahami falsafah negara sendiri. Prinsip Rukun Negara perlu diberi perhatian. Prinsip Rukun Negara adalah penzahiran daripada falsafah dalam Perlembagaan. Oleh itu, menghormati Rukun Negara juga seperti menghormati Perlembagaan yang menjadi sumber ideologi dan sistem pentadbiran negara. Banyak pihak yang sudah menjelaskan Islam adalah ideologi negara dan kedudukan agama lain juga penting bagi mendasari falsafah negara.

Kita juga harus meletakkan satu titik yang jelas dalam konteks hak asasi supaya hujah kesejagatan yang dibawa itu tidak menceroboh hak asasi kita dan seterusnya merosakkan identiti negara.

Satu lagi berkaitan hak asasi ialah perkara kemoralan. Mereka yang mendukung kesejagatan hak asasi mahukan kemoralan menjadi perkara peribadi. Dihujahkan bahawa apa yang bermoral atau tidak bermoral itu terlalu abstrak – berbeza penilaiannya antara seorang dengan seorang lain atau antara satu pihak dengan pihak lain.

Falsafah kemoralan

Soal kemoralan, kata orang, mungkin berubah dari satu masa ke satu masa lain. Soal kemoralan juga mungkin berubah dan berbeza daripada fahaman dan nilai masyarakat yang berlainan. Sebagai hujahan balas, walau apapun perbezaan maksud moral, bagi tujuan sebuah negara, demi kelangsungan sistem dan identiti serta jati diri, kita perlu ‘memaksa’ semua golongan menerima falsafah kemoralan sebagai mana kehendak ideologi atau falsafah negara.

Agak jelas, negara kita menjaga soal kemoralan. Dengan prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ maka falsafah kemoralan agak jelas kedudukannya dalam sistem perundangan dan sistem sosial negara.

Sudah tiba masa untuk setiap kita warga Malaysia kembali kepada ajaran agama. Sekiranya seorang Islam, kembalilah kepada ajaran Islam sebenar. Jika beragama Hindu, Buddha atau Kristian, kembalilah kepada ajaran sebenar agama masing-masing dan bukan membuat tafsiran agama berdasarkan kehendak peribadi.

Saya percaya, walaupun agama mempunyai falsafah berbeza, semua agama membawa penganutnya ke arah kemoralan yang akan membawa kepada satu hakikat kemoralan yang tidak jauh bezanya antara kepercayaan agama itu – sekurang-kurangnya dalam hal kebebasan orientasi seksual, kita tidak mempunyai banyak perbezaan dalam ajaran agama.

Saya percaya, dalam hal orientasi seksual ini agama ada titik persetujuan bahawa ia perkara tidak bermoral.


Shamrahayu A Aziz Berita Harian Online Rencana 30/10/2013
Tags: comango, islam, ngo, perlembagaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments