mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ulul Albab di sekolah harian suatu langkah bijaksana

Kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai sekurang-kurangnya satu sekolah Ulul Al bab di setiap negeri pada tahun depan adalah suatu langkah bersesuaian dan bijaksana.

Pengubahsuaian kurikulum secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah adalah ke arah melahirkan generasi seimbang dan harmonis seperti yang terungkap dalam falsafah pendidikan kebangsaan.

Ulul Albab berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik ke arah melahirkan generasi seimbang dari segi kecemerlangan akademik, ilmu agama dan berkeperibadian Islam.

Quranik bermaksud dengan hafazan al-Quran dan menjadikan al -Quran sebagai sumber ilmu, tasawwur yang bakal terbina dalam kalangan pelajar adalah tasawwur Qurani. Al-Quran dihubungkan sebagai hudan linnas- hudan lilmuttaqeen - petunjuk untuk manusia dan orang yang bertaqwa.

Ensaiklopedik membolehkan ilmu-ilmu deeniah (agama) dipelajari dan dalam masa sama ilmu-ilmu yang mempunyai manfaat berbanding ditekuni terutama dalam bidang sains dan teknologi. Penguasaan ilmu-ilmu Islam yang mengarah kepada ketamadunan bagi membangunkan sistem adalah penting.

Ijtihadik membawa maksud keupayaan para pelajar yang memiliki kekuatan dari al-Quran dan ilmu berbanding membolehkan kemahiran berfikir tinggi berkembang dan ia asas memberikan tafsiran yang lebih bertenaga sesuai dengan perkembangan zaman.

Sewaktu Idris menjadi Menteri Besar Terengganu, konsep Imtiaz di bawah kelolaan Yayasan Terengganu diperkenalkan dan sewaktu menjadi Pengerusi MARA, Ulul Albab di tiga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjalan dengan baik.

Ia bakal mengukuhkan lagi program Jawi, Quran dan Fardhu Ain (J-QAF) sejak 2005 supaya para pelajar tidak saja menerima asas kemahiran yang berkaitan dengan agama tetapi ada kesan penghayatan di kalangan mereka.

Sekiranya J-QAF dapat dilanjutkan di sekolah menengah ia bakal menghasilkan para huffaz yang mahir Jawi, memilih asas kukuh Fardhu Ain dan dalam masa sama pendidikan al-Quran dalam maksud yang lebih luas akan terjadi.

Ulul Albab tidak sekadar memberi kemahiran tetapi yang amat penting adalah kefahaman supaya fikrah terbina. Kelemahan umat Islam sekian lama adalah fikrah umat Islam tidak integratif.

Ia menyebabkan secara zahiri produktiviti rohaniah semacam meningkat tetapi produktiviti amaliah relatif rendah. Umat Islam tidak terlihat pada watak dan amalan sehingga menyebabkan tamadun tidak lahir dan kita kekal menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain.

Ada tiga faktor penting untuk membangunkan tamadun umat secara jangka panjang. Pertama asas epistemologi (keilmuan) yang sifatnya merangkumi.

Kedua, tradisi kecendekiawanan yang berkembang dan ketiga keupayaan menghasilkan modal insan yang mempunyai ilmu dan keterampilan untuk membangunkan sistem dan peradaban.

Dewasa ini kecenderungan sebahagian ibu bapa umat Islam menghantar anak-anak mereka ke pondok dan Pusat Tahfiz harus seiring dengan pembangunan potensi mereka supaya ilmu dan kemahiran yang dimiliki relevan dengan zaman dan cabaran perubahan.

Mereka memerlukan corak pengajian tingkat tinggi supaya ilmu yang dimiliki dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan supaya mereka terus menyumbang ke arah pembangunan umat Islam dan tamadun.

Memperkasakan Ulul Albab oleh kerajaan ini bertepatan dengan pengumuman terdahulu penubuhan Kolej Universiti al- Quran Malaysia. Ia bakal menjadi tempat menampung lulusan Ulul Albab yang memiliki kemahiran tiga bahasa Melayu, Arab dan Inggeris dan juga pusat-pusat tahfiz lain.

Jika ini terjadi Malaysia bakal menghasilkan generasi penerus yang baik dalam bidang deeniah atau agama dan dalam masa sama mempunyai pengkhususan dalam pelbagai disiplin ilmu. Generasi muda mampu mempelajari ilmu-ilmu insaniah (sains kemanusiaan) tetapi menjadikan al Quran sebagai sumber.

Graduan Kolej Universiti al-Quran nanti yang bakal menghafaz al-Quran, tahu ilmu tafasir dan taranum dan dalam masa sama memiliki etika tinggi supaya nilai guna teknologi dan sains memberi manfaat kepada pembangunan negara dan juga kemanusiaan. Malaysia bakal muncul sebagai negara contoh menghubungkan ilmu naqli dan aqli yang Qurani secara intergratif.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131105
Tags: al-quran, ulul albab
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments